Kerana mahu memenangi hati gadis pilihan kedua orang tuanya, Zoey Rahman dipaksa untuk mempelajari rukun-rukun yang ada di dalam Islam. Itulah jadinya apabila terlalu dimanjakan.
Tetapi sebenarnya, Zoey hanya perlu belajar rukun-rukun tersebut di dalam drama terbaharu yang telahpun memulakan siaran pada 25 Oktober menerusi slot Kelakarama di TV9. Drama bersiri Mat Rukun ini mengisahkan Roslan dan Khatijah mempunyai seorang anak tunggal iaitu Mamat.
Roslan dan Khatijah risau kerana walaupun sudah berusia 21 tahun, perangai manja Mamat masih tidak berubah. Di majlis sambutan hari lahir Mamat, Roslan dan Khatijah membuat kejutan untuk mengahwinkan Mamat. Mereka merasakan dengan berumah tangga perangai Mamat akan lebih matang dan bertanggungjawab. Roslan dan Khatijah tidak mahu Mamat terus membuang masa dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah.
Pada awalnya, Mamat tidak bersetuju kerana merasakan dirinya masih terlalu muda dan tidak puas untuk berseronok. Setelah didesak Mamat bersetuju tetapi dengan syarat Roslan dan Khatijah mahu gadis yang berkulit cantik dan gebu. Roslan dan Khatijah meminta pertolongan rakan-rakan mereka di grup sembang “Whatsapp”.
Akhirnya mereka menemui calon sesuai iaitu seorang gadis kampung yang cantik dan sopan yang tinggal di kaki Gunung Jerai. Roslan dan Khatijah merasakan Ayu amat sesuai untuk mengubah Mamat. Mereka membuat keputusan untuk terus merisik Ayu. Keluarga Ayu bersetuju kerana tidak sabar untuk menerima menantu dan mereka terus ditunangkan.
Pada mulanya Mamat tidak mengendahkan siapakah gadis pilihan ibu-bapanya. Tetapi apabila terlihatkan gambar Ayu yang dihantar oleh ibunya, hatinya terus tertarik. Mamat pula tidak sabar dan terus pergi ke kampung Ayu. Apabila Mamat tiba di kampung Ayu, keluarga Ayu sedikit terkejut dengan perangai Mamat yang seperti tidak beradab lebih-lebih lagi Tok Wan. Tok Wan mahu Ayu mendapat suami yang baik dan boleh mendidik Ayu, bukan seperti Mamat. Ayu juga pada mulanya tidak berkenan dengan Mamat kerana mendengar cerita yang tidak baik daripada mulut rakannya Rozie.
Walau bagaimanapun, Tok Wan sedia memberi peluang kepada Mamat. Mamat perlu mempelajari rukun-rukun yang penting sebagai seorang Islam. Mamat perlu membuktikan dia boleh menjadi suami yang baik untuk Ayu. Mampukah Mamat mempelajari dengan baik kesemua rukun-rukun tersebut seterusnya menawan hati Ayu dan keluarganya?
Saksikan drama Mat Rukun yang dilakonkan oleh Zoey Rahman, Elisha Sandha, Fazlina Ahmad Daud, Illya Buang, Marisa Yasmin, Ropie, Syed Ali, Chik Pak Man Telo, Feiyna Tajuddin dan Aliff Yasyaff setiap Selasa hingga Ahad, jam 8.30 malam. Drama Mat Rukun juga boleh ditonton di portal video tonton iaitu www.tonton.com.my.