Meja Poedjangga Malaysia bersama rakan usaha Youth Beat Event Management dan Ikatan Kopi Sastera sebagai sebuah badan kesenian bebas dengan kerjasama Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan sokongan Think City, Dewan Bahasa dan Pustaka, Cititel Hotel Penang dan Pusat Pelancongan Malaysia ingin merayakan seni dan sastera Melayu seNusantara dengan mengadakan acara Festival Puitika Penang.
Festival Puitika Penang dianjurkan sebagai sebuah konsert puisi dan muzik yang ditunjangi oleh Penyair Muda ASEAN 2015 dari Malaysia iaitu Umar Uzair yang akan berkolaborasi bersama Penerima Anugerah Sastera ASEAN 2000 – Profesor Madya Dr. Lim Swee Tin, Shirley Idris (Deklamator & Aktivis Seni), Regina Ibrahim, Aina Nabila, Persatuan Teater Alor Setar (PENTAS), Azam Rais, Kumpulan Kesenian Anak Kayan dari Pahang, En. Zaidi – pelukis dan pencanting tempatan Pulau Pinang.
Objektif pelaksanaan acara ini adalah untuk memupuk semangat positif dan kreatif dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya dengan mempamerkan rasa cinta terhadap budaya dan bahasa. Ia didatangkan dalam dua buah slot; Puitikata – sebuah perbincangan ilmiah tentang sastera perdana dan sastera indie manakala sebelah malam dipersembahkan Konsert Puitika Penang – sebuah persembahan muzikalisasi yang teradun deklamasi, lagu puisi, muzik, teater pendek dan lukisan catan secara langsung berdurasi selama 1 jam 45 minit yang bertemakan perpaduan dan kedamaian dalam kesejagatan masyarakat.
Hal ini bersesuaian dengan semangat dan kualiti seni yang dipamerkan oleh Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang aktif dan positif untuk mengdukungi acara kesenian dan kepuisian negara.
Program ini turut dilaksanakan sebagai merayakan seni, kesenimanan dan langkah menghargai penglibatan belia dalam usaha memperkasakan Bahasa Melayu dan sastera serta kesusasteraan dari peringkat awal serta penglibatan masyarakat. Program ini turut disimpulkan sebagai kesinambungan tradisi yang berteraskan kepada sastera yang jelas dan unggul. Ia diwujudkan dalam bentuk persembahan, muzik & pembacaan puisi untuk memacu pembangunan seni budaya dan kesusasteraan untuk menghargai pejuang bahasa dan sasterawan negara.
Sebagai maklumat, acara ini bertitik tolak dari kejayaan Meja Poedjangga (M) Ent dengan kerjasama Youth Beat Event Management yang telah mengadakan Konsert Puitika Pujangga 2017 di Istana Budaya pada Aprill 2017. Membawa konsep dan pendekatan dalam nuansa yang serupa bagi meneruskan usaha yang amat murni, acara ini diadakan sebagai merayakan industri bahasa dan seni Malaysia dalam usaha memperkasa dan mengantarabangsakan budaya dan sastera di dalam negara yang akan dibawa secara berterusan kepada belia dan masyarakat. Ia juga diadakan sebagai sebuah usaha menjambatani hubungan masyarakat melalui puisi dan sastera.