Pertandingan nyanyian popular yang ditunggu-tunggu sudahpun tiba. Pastinya, para peminat seni hiburan tanah air sudah tidak sabar lagi untuk menantikan pentas ‘Gegar Vaganza’ musim terbaharu dibuka secara rasminya untuk menyaksikan gegaran bintang kembali menyengat. Lebih mengujakan, penganjuran tahun ini juga berjaya menembusi tembok nusantara apabila produksi Astro membuka penyertaan artis-artis dari negara jiran iaitu Singapura dan Indonesia.
Konsert Gegar Vaganza di minggu pertama akan dibuka dengan tema ‘Masihkah Kau Ingat’ yang pastinya bakal mengimbau memori lama kerana para peserta yang disegani telah diberi cabaran untuk menyanyikan semula lagu-lagu hits mereka yang pernah menjadi siulan suatu ketika dahulu.
Untuk pusingan ini, Hazami bakal menyanyikan lagu ‘Mungkir Bahagia’, Tia Jinbara (Farhana), Lan Kristal (Seragam Hitam), Aqasha (Embun), Firman Siagia (Kehilangan) dan Ferhad (Kasih Berubah). Manakala Liza Hanim pula akan membawakan lagu ‘Siapa Sangka Siapa Menduga’, Elyana (Tak Tercapai Akalmu), Syura (Nazam Berkasih), Raja Azura (Hati Terkunci), Haida (Zapin Usik Mengusik) dan Aishah (Janji Manismu).
Siaran Langsung Konsert Gegar Vaganza Musim 4 (Minggu Pertama) akan berlangsung pada 29 Oktober 2017 (Ahad) di Dewan Sri Putra.