BIARPUN tidak bergelar juara dalam program Akademi Fantasia Megastar, tetapi Syamel telah mendapat peluang mewakili Malaysia dalam acara ABU TV Song Festival 2017.
Acara itu akan berlangsung di Chengdu, China pada 1 November yang akan datang.
Bagi Syameel Aqmal Mohd Fodzly atau Syamel, dia berasa agar berdebar kerana itu merupakan pertama kali dia bakal menjayakan acara nyanyian di peringkat antarabangsa.
Namun, bagi bekas pelajar Akademi Fantasi 2015 itu, dia berjanji akan membuat bersembahan yang terbaik.
“Pada festival itu nanti, saya akan menyanyikan lagu yang menjadi single kedua saya, Lebih Sempurna. Mungkin saya perlu menyelitkan sedikit lirik dalam bahasa Cina sebagai kelainan, selain menjiwai lagu itu dengan sebaik mungkin.
“Jujurnya, saya juga sangat gementar kerana acara kali ini turut menyaksikan penampilan penyanyi hebat daripada kira-kira 13 negara lain, yang menjadi anggota Kesatuan Penyiaran Asia-Pasifik (ABU),” katanya dipetik daripada BH Online.
Syamel turut bersyukur kerana dipilih bagi mewakili negara kerana sebelum ini kebanyakan artis Malaysia yang terpilih, merupakan bakat daripada program realiti terbitan RTM.
Ketika ditanya mengenai persiapan jika diberi peluang untuk mencipta populariti di peringkat yang lebih tinggi, penyanyi berusia 24 tahun itu menjawab dengan nada yang merendah diri.
“Tak tahu nak cakap macam mana. Ia terpulang pada pendengaran mereka. Kalau mereka suka, saya bersyukur. Bagi saya, apa paling penting, saya dapat menimba pengalaman baharu ketika berada di sana,” tambahnya.
Antara negara yang bakal menyertai festival bukan berbentuk pertandingan itu ialah peserta dari Afghanistan, China, Hong Kong, India, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Macau, Maldives, Vietnam, Zambia, Kazakhstan dan Turkmenistan.
Semoga Syamel dapat memberikan persembahan yang terbaik dalam membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa. Mudah-mudahan selepas ini rezekinya akan lebih mencurah-curah.