SEHARI selepas pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim menerima hukuman 11 tahun di dalam penjara oleh mahkamah Indonesia atas cubaan menyeludup dadah jenis syabu ke Sumatera, adiknya pelakon Elza Irdalynna membuat luahan tentang isu tersebut.
Menerusi akaun Twitter, Elza meluahkan perasaannya tentang aktor berusia 38 tahun itu, yang lebih popular dikenali sebagai Benjy.
Dalam entri tersebut, Elza seperti mahu memberitahu kepada orang ramai bahawa kesalahan Benjy itu telahpun dimaafkan oleh mereka sekeluarga dan hubungan antara adik-beradik tidak akan terputus meskipun lelaki itu telah dipenjarakan di negara seberang.
“Bercerita tentang Ben. Sebelum ini, saya menahan diri daripada membuat sebarang kenyataan. Namun hari ini saya berasa terpanggil untuk mengatakan sesuatu.
“Ben, dengan segala keburukan dan kesalahannya, ialah darah daging saya. Dia merupakan abang yang menjaga saya dan adik perempuan saya semasa kedua-dua ibubapa kami keluar bekerja. Sejak kecil lagi dia diberi tanggungjawab untuk menjaga rumah kami dan terpaksa mengorbankan masa bermainnya dengan rakan sebaya supaya dia boleh menjaga kami.
“Ben, dengan segala kesilapan dan keputusan tidak baiknya, ialah abang saya. Dialah yang melindungi saya ketika saya perlukannya, dia merupakan ‘perisai’ adik-adik perempuannya. Saya jadi lebih berani, kerana saya tahu dialah abang saya.
“Ben, dalam segalan kesalahan dan dosanya, ialah ahli keluarga saya. Dan tidak kira berapa tahun sekalipun, sama ada 14 atau 11, masa tidak akan menjarakkan hubungan kami adik-beradik.
“Saya tidak memandang Ben dari sudut kesalahannya. Saya menyayanginya sebagai abang. Saya maafkannya sebagai ahli keluarga. Tetap saya, sebagai adiknya, akan sentiasa berada bersamanya sehingga akhir nanti,” tulis anak kedua arwah pelakon Azean Irdawaty yang meninggal dunia pada 2013.
Di samping hukuman penjara, Benjy juga diarahkan untuk membayar denda US$74,000 (RM312,539) oleh Mahkamah Daerah Medan.