MENGIKUTI kisah hot Syahir dan Mona Shamimi – ia terasa melucukan. Rasa macam nak gelak pun ada melihat gelagat si kantoi. Rasa sendu pun ada, bila membaca kisah si makan hati.
Apa pun, dunia artis yang sensasi sentiasa memberi pengajaran.
Secara umumnya, ayat mudah untuk ibrah bagi kes ini ialah: Jangan menggatal.
Kena selalu ingat: Kemasyhuran ada racunnya. Apabila kita popular, gangguan manipulasi akan selalu mengejar artis. Saat kita alpa, glamor menjadikan kita berasa status jadi artis laksana dewa-dewa.
Manakala, bagi wanita pula – ia gambaran: Sekali termakan jebak, apa akan jadi apabila dipanah dewa. Setelah panah cinta menembus jantung, sasau kita jadinya.
Lebih malang, apabila panah kasmaran sudah menembusi jantung, Sita Dewi sudah tertikam, sang Dewa akhirnya cuba melepaskan diri.
“Itu bukan panah saya!” jerit Sang Dewa.
Alamak – meranalah Sita Dewi.
Dunia artis mengajar kita. Glamor dan populariti ada madu dan racunnya. Bagi Syahir, tidak perlunya gabra sampai nak tarik diri daripada final AF Mega.
Ia bukan jalan keluar. Ia hanya menambahkan nilai jenaka sahaja dalam kisah epik yang kelakar ini.
Bagi Mona Shamimi, anda nampak sangat berani menyatakan apa yang terjadi. Nampaknya, sekelip mata sudah punya pacar baharu. Footballer lagi. Eloklah move on.
Bagi pembaca, sesekali elok menonton filem Fatal Attraction (1987). Filem popular terbitan 30 tahun lalu, pasti ada signifikannya.
Filem lakonan Micheal Douglas dan Glenn Close ini membawa pengajaran: Jangan menggatal tak tentu hala.