Acara larian berhalangan, Viper Challenge akan berada di Cyberjaya pada 2 Disember tahun ini. Dikenali sebagai Great Eastern Viper Challenge Cyberjaya 2017, acara ini adalah yang paling kemuncak bagi siri ini dan bakal menjadi Viper Challenge Series Finisher untuk tahun 2017. Ianya juga turut menjadi acara terbesar- dengan pelbagai jenis halangan baru dan merangkumi jarak sejauh 20km.
Great Eastern Viper Challenge 2017 bukan sahaja merupakan kali pertama diadakan di Cyberjaya malahan ia juga merupakan acara kemuncak sempena ulang tahun ke-20 Cyberjaya – memberikan satu kelainan dalam ‘series finisher’.
Setia Haruman yang merupakan pemaju utama Cyberjaya sedia menjadi tuan rumah kepada acara larian berhalangan terbesar Asia itu.
Sepanjang tahun ini, Cyberjaya telah menjadi tuan rumah kepada pelbagai acara di bawah Setia Haruman yang merupakan pemaju utama bandar berkenaan bersama-sama beberapa pihak berkepentingan lain sekaligus menunjukkan kemampuan bandar itu. Dengan jalan rayanya yang luas serta kepelbagaian kawasan hijau di sekitarnya yang direka untuk menggalakkan gaya hidup aktif di kalangan komuniti Cyberjaya, ia membolehkan banyak acara khususnya acara sukan dapat dijalankan.
“Tahun ini merupakan tahun hebat untuk Viper Challenge dengan enam siri merangkumi jarak sejauh 69km secara keseluruhannya dan 20 halangan yang pasti memberikan kepuasan kepada para peserta dari seluruh dunia,” kata Selva Kumar, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Original Bootcamp Sdn Bhd.
Tambah beliau lagi, “Tiada lagi cara yang lebih baik untuk menutup tirai siri larian berhalangan kami ini selain mengadakan kemuncaknya di lokasi yang unik seperti Cyberjaya. Saya yakin bahawa setiap seorang daripada kami – termasuklah pihak krew, penaja, rakan kongsi kami dan yang paling penting para peserta akan dapat pengalaman yang hebat di sini , sepertimana lima siri Viper Challenge tahun ini di lokasi sebelumnya.”
“Kami gembira menjadi tuan rumah bagi Viper Challenge kerana ia membolehkan lebih ramai penggemar sukan lasak dan sihat seperti ini mengenali Cyberjaya sebagai satu destinasi sukan. Kami telah menganjurkan pelbagai acara sukan, namun Viper Challenge akan menjadi acara terbesar kami. Pastinya kami sangat teruja untuk semua ini. Tiada lagi masa yang lebih baik untuk kerjasama ini kalau bukan ketika kemuncak ulang tahun ke-20 kami,” kata Pengerusi Setia Haruman Sdn Bhd, Ahmad Khalid bin Mustapha Kamal.
Dianjurkan oleh Original Bootcamp Sdn Bhd, siri Viper Challenge ini merupakan ujian halangan fizikal sukar yang perlu ditempuhi sepanjang laluan dengan jarak sekurang-kurangnya 7km. Pada Disember ini, dianggarkan 15,000 orang peserta akan berkumpul di Cyberjaya untuk melepasi cabaran menarik ini.
Great Eastern Life memainkan peranan penting sebagai penaja utama bagi siri Cyberjaya dan juga 3 siri sebelum ini. Kerjasama dengan Great Eastern Life selama dua tahun juga merupakan sebuah inisiatif di bawah Live Great Programme, satu program kesihatan dan kecergasan pertama yang dilaksanakan oleh sebuah syarikat insurans di rantau ini dengan tujuan untuk membantu rakyat Malaysia hidup dengan lebih sihat dan lebih baik.
Malaysia Major Events iaitu satu bahagian di bawah Biro Pameran & Konvensyen Malaysia (MyCEB), yang merupakan agensi naungan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Malaysia (MoTAC) juga terus memberikan sokongan padu terhadap Viper Challenge sejak ia mula dianjurkan hinggalah siri ini telah menjadi tumpuan peminat sukan lasak.
Siri Viper Challenge telah berjaya merekodkan kehadiran seramai 40,000 peserta pada tahun lepas dan menjelang kemuncak siri itu nanti, dijangka seramai 60,000 peserta dapat dikumpulkan secara keseluruhan. Edisi Viper Challenge 2017 melibatkan enam lokasi, bermula dengan Viper Challenge Singapura pada bulan Februari, disusuli Pulau Pinang, Johor, Genting Highlands, dan Shah Alam sebelum acara kemuncak di Cyberjaya.
Untuk maklumat lanjut mengenai Viper Challenge, sila layari www.viperchallenge.com.