Warnai sambutan Deepavali anda yang diraikan pada 18 Oktober depan bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi tayangan filem “Chennai Express” dibintangi aktor hebat Shah Rukh Khan di samping pelakon Deepika Padukone, Sathyaraj, Nikitin Dheer dan ramai lagi.
Disiarkan pada 18 Oktober ini, pukul 9.30 malam di TV2, kisahnya berlegar dengan watak utama Rahul Mithaiwala merancang mahu bercuti ke Goa bersama dua sahabatnya. Rahul sedia maklum segalanya tidak mudah kerana datuknya pasti membantah rancangannya itu. Sejak kecil Rahul dibesarkan oleh datuk dan neneknya hingga usianya kini menginjak 40 tahun. Lantaran kedua orang tuanya meninggal dunia dalam kemalangan ketika usianya 8 tahun.
Namun, pada hari itu bersamaan menjelang sambutan ulang tahun datuknya yang ke-100, dia dan kawan-kawannya cuba meminta keizinan datuknya dengan kerana dalam situasi gembira itu pasti datuknya akan memberikan keizinan. Rahul juga menggunakan alasan mereka mahu menambah cawangan kedai mereka di Goa.
Datuknya mengangguk dan mengiakan saja, walaupun sebenarnya tidak tahu apa yang mereka rancangkan. Ianya disebabkan kerana datuknya itu sedang asyik menonton pertandingan kriket antara India dan Pakistan. Malahan datuknya meminta semua yang ada di rumah untuk menyaksikan pertandingan penting tersebut.
Lalu, ketika pemain idola datuknya Sachin Tendulkar pada saat terakhir gagal memukul bola, neneknya tiba-tiba menjerit sehingga mengejutkan semua orang. Rahul pelik dan bertanyakan punca neneknya itu berteriak. Neneknya yang masih terkejut menunjuk ke arah suaminya yang duduk di kerusi sudah tak bernyawa.
Sehabis membakar mayat datuknya, Rahul menghampiri kedua temannya dan membisikkan perjalanan mereka ke Goa akan diteruskan. Rahul pun meminta izin kepada neneknya. Dia tidak memberitahu mereka akan ke Goa, sebaliknya mengatakan dia ingin melakukan apa yang dia inginkan.
Neneknya tak melarang keinginan Rahul, malah menyokongnya. Namun, sebelum Rahul memenuhi keinginannya itu, neneknya memintanya memenuhi wasiat datuknya untuk membuang abunya di dua sungai, Gangga dan Rameswaram.
Rancangan ke Goa tetap diteruskan. Rahul pun esoknya berangkat menaiki kereta api (Chennai Express). Neneknya sempat memberitahu kereta api yang dinaiki Rahul tidak menuju ke destinasi yang sepatutnya. Rahul meyakinkan neneknya yang dia sengaja melakukannya agar dapat lebih lama dengan abu datuknya. Rahul sebenarnya berbohong, dia sudah berjanji dengan kedua sahabatnya agar menunggunya di stesen berikutnya. Terus ke Goa.
Sesampainya di sana, Rahul bergabung dengan kedua sahabatnya yang sudah tak sabar ke Goa. Namun, Rahul baru menyedari abu datuknya telah tertinggal dalam kereta api. Rahul bergegas cepat, takut kereta api tersebut akan terlepas. Rahul menarik nafas lega, abu datuknya masih dapat diselamatkan.
Namun, ketika dia hendak turun, seorang wanita cantik sedang berusaha keras mengejar kereta api yang sudah mulai bergerak laju. Rahul seperti pahlawan menolong wanita itu dan sempat saling berkenalan setelah menolongnya. Gadis bernama Meenamma itu rupanya dikejar samseng yang ingin menculiknya. Baru Rahul tahu bahwa ia telah menolong orang yang salah dan ia pun menjadi tawanan penculik bersenjata itu.
Pelbagai usaha dilakukan Rahul untuk mereka berjaya meloloskan diri. Akhirnya baru Rahul mengetahui bahawa tiga lelaki itu bukannya penculik sebaliknya sepupu Meenamma yang diarahkan keluargnya membawa gadis itu pulang ke rumah. Meenamma melarikan diri dari rumah apabila dijodohkan ayahnya, Dugeshwara Azhagusundaram dengan Tangaballi.
Ayah Meenamma adalah ketua mafia di daerah Komban, daerah bawah pengaruhnya hingga pihak polis pun takut padanya. Meenamma meminta Rahul berpura-pura menjadi kekasihnya. Rahul dengan berat hati setuju. Setibanya di Komban, Meenamma dijemput oleh ayah dengan puluhan anak buahnya.
Pelbagai situasi mencabar dilalui mereka hingga akhirnya mereka benar-benar jatuh cinta. Namun segalanya tidak mudah kerana mereka terpaksa berdepan dengan cabaran yang hampir-hampir meragut nyawa mereka.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.