in

Ejen Ali & AirAsia Lancar Impian Dalam #MisiAspirasiAirAsia

Ejen Ali dan AirAsia hari ini mengumumkan kolaborasi kedua- dua pihak melalui kempen #MisiAspirasiAirAsia di sidang media yang bertempat di Ibu Pejabat AirAsia – RedQ. Kempen yang dilancarkan ini merupakan satu usaha Ejen Ali dan AirAsia sebagai galakan dan inspirasi untuk kanak-kanak menjadi pemimpin dunia di masa akan datang.

Bagi Ejen Ali, sesiapa sahaja berpotensi untuk diangkat sebagai wira dan tiada misi akan dipandang rendah, manakala AirAsia pula ingin menerapkan nilai-nilai beraspirasi tinggi, baik hati, bijak berbelanja dan mesra tapi dalam masa yang memberi keseronokkan kepada kanak- kanak. Kolaborasi ini menggabungkan kesemua kualiti seorang wira yang diharapkan boleh menjadi inspirasi kepada kanak-kanak untuk menyerlahkan potensi yang ada pada diri mereka.

Main photo_AA EjenAli Launch

Selain itu, peminat Ejen Ali boleh menonton siri animasi Ejen Ali musim pertama secara PERCUMA menerusi ROKKI WIFI yang menawarkan hiburan dalam penerbangan (in-flight entertainment) termasuklah permainan,muzik dan kandungan video tanpa henti sesuai untuk menghiburkan kanak-kanak di dalam penerbangan AirAsia.

Di samping itu juga, AirAsia turut memperkenalkan Kombo Bintang Riang edisi Ejen Ali, hidangan khas yang direka mengikut kesesuaian selera kanak-kanak. Justeru, ibu bapa yang melancong bersama anak-anak boleh membuat tempahan hidangan tersebut secara atas talian (online) merentasi kesemua destinasi penerbangan AirAsia di airasia.com dengan harga RM10 bagi penerbangan AirAsia (kod penerbangan AK) dan RM15 bagi Air Asia X (kod penerbangan D7).

Tambahan lagi, dengan menunjukkan bungkusan Kombo Bintang Riang edisi Ejen Ali di kaunter jualan tiket KidZania Kuala Lumpur, peminat Ejen Ali bakal menikmati diskaun sebanyak 30% apabila membeli tiket masuk.

Bagi memulakan kempen ini, Ejen Ali dan AirAsia ingin menjemput para ibu bapa untuk menghantar video anak-anak mereka beraksi sambil menunjukkan kualiti-kualiti seorang wira melalui laman sosial Instagram atau Twitter. Pertandingan ini dibuka dari 29 September 2017 hingga 31 Disember 2017.

10 Ejen cilik terbaik akan dipilih untuk menyertai Ejen Ali dan AirAsia dalam sebuah misi rahsia untuk membawa lebih banyak bantuan dan kegembiraan kepada dunia, berserta dengan hadiah-hadiah menarik termasuklah PENERBANGAN PERCUMA selama setahun bagi seisi keluarga. Maklumat lanjut mengenai pertandingan ini boleh didapati di www.ejenali.my/airasia.

Melalui kerjasama ini juga, Ejen Ali and AirAsia akan memperkenalkan Jet Perisik MATA, sebuah pesawat khas yang dihiasai dengan elemen Ejen Ali, di dalam pesawat AirAsia Airbus A320. Jet Perisik MATA ini bakal melancarkan penerbangannya pada Januari 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar berkata,

“Kami sangat berbesar hati untuk bekerjasama dengan AirAsia dalam menjadikan Ejen Ali sebagai contoh yang baik kepada kanak-kanak yang dilihat sebagai ejen perubahan. Tambahan pula, kerjasama ini bersesuaian dengan misi Primeworks Studios untuk membawa nilai Asian Stories for the World dan menyebarkan sayap Ejen Ali ke seluruh rantau ini.”

“Ini merupakan satu penghormatan untuk bekerjasama dengan syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia selama sembilan tahun berturut-turut seperti AirAsia melalui Ejen Ali. Kami di WAU sentiasa ingin menjadikan Ejen Ali sebagai sumber inspirasi kepada para penonton menjangkaui aspek hiburan, dan saya percaya bahawa kolaborasi ini memenuhi visi itu secara besar-besaran,” kata Usamah Zaid, Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation.

Aireen Omar, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad berkata, “Kami teruja dengan kolabarasi bersama Media Prima bagi mengkentahkan karakter animasi Ejen Ali sebagai duta kami. Tetamu kanak-kanak adalah amat penting kepada kami sebagaimana pentingnya ibubapa kepada kami. Kerjasama bersama Ejen Ali ini bertujuan untuk memberi pengalaman menyeronokkan kepada pengembara dalam kalangan golongan muda selain daripada menggalakkan golongan muda menyerlahkan bakat mereka, mengejar impian dan mencapai kejayaan di usia muda seperti Ejen Ali.

“Kini, semua penumpang kami boleh menonton siri animasi Ejen Ali di dalam penerbangan AirAsia, dan menikmati hidangan khas kanak-kanak yang menampilkan Ejen Ali. Terdapat lebih banyak lagi perancangan menarik yang telah disusun bagi masa akan datang. Kami di AirAsia sentiasa mencari inisiatif yang inovatif bagi memastikan para penumpang kami, tanpa mengira usia, mempunyai pengalaman penerbangan yang menyenangkan bersama kami.

Setelah menerima sambutan positif tahun lalu, musim kedua Ejen Ali akan menemui peminat di kaca televisyen bermula 22 September 2017 di saluran TV3, setiap hari Jumaat jam 5.30 petang dan siaran ulang secara dalam talian melalui www.tonton.com.my.

AA Ejen Ali Launch

Mengenai Ejen Ali

Ejen Ali merupakan sebuah siri animasi dan harta intelek pertama hasil usaha sama Primeworks Studios Sdn. Bhd. dan Wau Animation Sdn. Bhd. Siri yang bijak, menghiburkan dan sarat dengan stail tersendiri, Ejen Ali adalah siri aksi yang ditujukan bagi penonton berumur 7 hingga 14 tahun. Nilai-nilai yang diterapkan di dalam siri animasi ini merangkumi sifat tanggungjawab tanpa mementingkan diri sendiri, penentuan dan kepercayaan diri, keluarga dan persahabatan, imaginasi dan mimpi. Di bandaraya Cyberaya yang futuristik, keadaan semuanya tampil aman setelah dalang jahat Uno dikalahkan oleh Ejen Ali dalam pertempuran epik di dalam bunker rahsia MATA. Setelah membuktikan komitmennya terhadap MATA, Ali teruja untuk menyertai Akademi Latihan MATA secara rasmi, di mana ejen muda terpilih dilatih untuk menguasai seni pengintipan. Ketika Ali berjuang untuk membuktikan dirinya, jauh di sisi gelap bandar Cyberaya, sebuah ancaman semakin membina apabila Uno giat merancang pembalasan dendamnya ke atas MATA. Bolehkan Ali mengatasi cabaran baru ini?

Mengenai AirAsia
AirAsia, syarikat penerbangan kos rendah terbesar dan terkemuka di Asia, menyediakan rangkaian yang luas dengan lebih daripada 120 destinasi. Sejak memulakan operasi pada tahun 2001, AirAsia telah membawa lebih dari 400 juta penumpang dan mengembangkan armadanya dari hanya dua buah pesawat ke lebih 200 buah. Syarikat penerbangan ini bangga menjadi syarikat penerbangan Asean (Persatuan Bangsa-bangsa Asia Tenggara) dengan operasi yang berpangkalan di Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina serta India dan Jepun, dengan perkhidmatan rangkaian merentasi Asia, Australia dan New Zealand, Timur Tengah dan AS. AirAsia telah dinamakan Penerbangan Tambah Rendah Terbaik Dunia di acara tahunan Skytrax World Airline Awards tsebanyak sembilan kali berturut-turut dari tahun 2009 hingga 2017.

AirAsia juga dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Dunia untuk empat tahun berturut-turut pada World Travel Awards 2016, di mana ia bersaing dengan syarikat-syarikat penerbangan perkhidmatan penuh yang lain dalam menjadi syarikat penerbangan tambang rendah yang pertama untuk memenangi Perkhidmatan Dalam Penerbangan Terkemuka Dunia.

Mengenai Wau Animation
Wau Animation merupakan studio animasi kesan khas (CG) yang ditubuhkan pada 18 Mac 2013 oleh sekumpulan bakat kreatif yang mempunyai 10 tahun pengalaman dalam menghasilkan pelbagai siri animasi dan filem kesan khas yang pernah merangkul pelbagai anugerah. Misi utama Wau Animation adalah keazaman untuk menghasilkan animasi yang mampu memberi impak kepada para penonton. Kami juga bermatlamat untuk menghasilkan cerita-cerita yang menghiburkan dan mampu memberi inspirasi, pada masa yang sama menerapkan intipati tempatan. Ini adalah kerana kami meletakkan harapan yang tinggi dalam mengetengahkan identiti Malaysia yang unik.

Mengenai Primeworks Studios Sdn Bhd
Primeworks Studios merupakan anak syarikat Media Prima Berhad yang merupakan syarikat penerbitan terbesar di Malaysia. Terlibat dalam penghasilan program TV sejak tahun 1984 dan filem sejak tahun 1994, Primeworks menerbitkan lebih 5,000 jam kandungan TV setahun. Selain penerbitan program televisyen dan kandungan lain, Primeworks Studios turut terlibat dalam pengedaran dan pemasaran kandungan. Primeworks Studios penyumbang terbesar kandungan kepada empat saluran televisyen komersil dalam kumpulan Media Prima, iaitu TV3, NTV7, 8TV dan TV9 – merangkumi kandungan pelbagai genre seperti program hiburan, majalah, dokumentari, drama dan sukan. Rancangan yang popular merangkumi Anugerah Juara Lagu, Majalah 3, Nona, Welcome to the Rail World, Best in the World, Hip-Hoppin’ Asia, Jalan Jalan Cari Makan, Mentor, Melodi dan Jejak Rasul.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Hazama Hadiahkan AKU BUKAN DEWA Istimewa Untuk Peminat

Apabila Bell Ngasri, Along Eyzendy & Shah Sulaiman Tangkap Hantu