in

Watak Gila Fazlina Ahmad Daud Dalam Telemovie TOPENG Memang Real

Kerana terlalu menyayangi anaknya seorang ibu sanggup berkorban melakukan apa sahaja semata-mata mahu melihat anak yang dikandungnya sembilan bulan hidup bahagia. Apatahlagi dengan keadaan ibu tersebut yang sememangnya dikenali masyarakat setempat kerana digelar kurang siuman. Bila kemarahan mengatasi segalanya dengan akal fikiran yang tidak berfungsi sempurna seperti orang lain, lalu terjadilah perkara di luar jangka.

Topeng_104

Menerusi telemovie terbaharu yang bakal disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM), pelakon berbakat Fazlina Ahmad Daud mencabar diri dan keupayaannya cuba menghayati watak ibu bernama Jamiyah yang realitinya dilihat kurang siuman. Namun di sebalik pelbagai kejadian yang berlaku tersimpan rahsia besar yang disembunyikannya demi mempertahankan maruah anaknya yang telah tercalar.

Watak Gila Fazlina Ahmad Daud Dalam Telemovie “Topeng” di TV1

Telemovie diberi tajuk “Topeng” yang disiarkan mengisi slot Panggung Seri di TV1 pada 7 Oktober ini, pukul 10.00 malam turut menampilkan lakonan mantap Ruhainies, Mubarak Majid, Qazem Nor, dan Siti Fazurina.

Turun naik konflik telemovie ini bermula dengan memperkenalkan watak Haji Ramli seorang pesara guru dan aktivis teater mengajar sekumpulan pemuda seni teater. Namun kisah malang dalam hidup mereka sekeluarga bermula apabila suatu hari anaknya Wani dirogol oleh pemuda yang memakai topeng.

Topeng_12

Haji Ramli mendapati topeng itu juga digunakan oleh anak murid Hj Ramli semasa berlatih teater. Lalu Haji Ramli dan tiga anaknya mengesyaki perbuatan itu dilakukan oleh Tajul, seorang pelatih teaternya. Rasa syak wasangka mereka menebal kerana sebelum ini Tajul sering mengganggu Wani.

Tajul kemudiannya dibelasah separuh mati oleh Hj Ramli dan anaknya tanpa belas kasihan bila rasa marah dan ingin membalas dendam mengatasi segalanya. Tajul yang mengalami cedera parah itu ditinggalkan di dalam kebun sendirian dengan harapan lelaki itu akan diselamatkan oleh orang lain. Namun keesokan harinya kampung mereka dikejutkan dengan berita Tajul yang ditemui mati.

Dengan sedikit info yang diperolehi daripada orang kampung, Haji Ramli dan dua anak lelakinya ditahan polis untuk siasatan. Begitu pun tidak lama keraba mereka kemudian dibebaskan kerana bukti meragukan.

Siasatan terus dilakukan oleh Md Nor, peguam Hj Ramli yang kemudiannya mendapati Muaz adalah pelaku sebenar yang telah merogol Wani. Muaz terus ditangkap dan didakwa. Misteri kematian Tajul terus berpanjangan kerana polis masih gagal menangkap pembunuh Tajul yang sebenarnya.

Namun apakah hubungannya dengan Jamiyah, ibu Wani yang kurang siuman dengan kes tersebut? Adakah dia pembunuh sebenarnya? Dapatkah pihak polis menjejak pembunuh tersebut? Ikuti kesudahannya dalam drama kekeluargaan penuh misteri ini.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Topeng_109

Topeng_116

Topeng_114

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Video Elak Bersalam dengan David Beckham untuk Bergambar Trending di Youtube Malaysia

Drama MATA CINTA Lakonan Che Puan Juliana Evans & Julien Buteau