Malam Ahad lalu telah berlangsungnya episod kesembilan Da’i Pendakwah Nusantara Musim Kelima secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.
Buat pertama kalinya, program realiti ini memperkenalkan konsep dan format yang baharu iaitu “Pengajian Kitab”. Para peserta telah memberikan tazkirah secara berpasangan dan bergilir untuk menerangkan petikan hadis daripada kitab ‘Riyadus Solihin’ oleh juri tetap Ustaz Zarifi Daud dan Prof. Madya Dr. Sharifah Hayaati. Setelah keenam-enam peserta selesai memberikan tazkirah, Da’i Adneen telah diumumkan tersingkir di akhir rancangan malam itu.
Pada malam Ahad itu, para peserta Da’i telah dipasangkan kepada tiga pasangan. Da’i Fahmi bergandingan dengan Da’i Afiqah, Da’i Aiman bersama Da’i Syafiqah, dan Da’i Hakim bersama Da’i Adneen. Setiap pasangan akan dibacakan dua petikan hadis daripada Kitab Riyadus Solihin. Setiap seorang daripada mereka diberikan masa sebanyak dua minit untuk memberikan penerangan setiap petikan hadis yang dibacakan.
Menurut Juri Tetap Da’i Pendakwah Nusantara musim ke-5, Prof. Madya Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail “Alhamdulillah saya dapat saksikan satu sejarah program realiti Dai Pendakwah Nusantara kerana buat pertama kalinya memaparkan konsep dan format yang baharu. Mengupas hadis merupakan antara asas tazkirah seorang pendakwah. Malam ini saya amat teruja dan berbangga dengan prestasi peserta kerana mereka dapat memberikan penerangan dengan tenang sambil menyampaikan dengan kreativiti masing-masing. Saya berharap agar format ini dapat dikekalkan di musim-musim akan datang kerana ini merupakan penyediaan kepada para peserta bagi menghadapi dunia pendakwah yang sebenar di luar sana.”
“Buat Da’i Adneen, jangan menyerah kerana Adneen mempunyai potensi yang amat besar. Dari awal musim ini kita telah memberikan satu label kepada Adneen sebagai seorang yang kecil-kecil cili padi kerana adneen mempunyai hati yang besar dan penuh dengan ilmu. Walau bagaimanapun, saya nasihatkan kepada Adneen supaya jangan berhenti belajar, kerana Adneen mempunyai masa depan yang cerah, Insya Allah.” tambahnya lagi.
Para peserta pada malam itu telah mempersembahkan topik-topik dari kitab Riyadus Salihin yang telah diberikan oleh penerbit mengikut urutan berikut:
PESERTA | TAJUK | PETIKAN |
DA’I FAHMI & DA’I AFIQAH | Mimpi | 1. NO. 847
Daripada Jabir RA, daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda: (yang bermaksud…)
“Jika salah seorang daripada kalian bermimpi melihat sesuatu yang dibenci, maka hendaknya dia meludah ke samping kirinya 3 kali, berlindung kepada Allah SWT daripada syaitan sebanyak 3 kali, dan mengubah posisi tidurnya daripada posisi yang semula.” Diriwayatkan oleh Muslim.
2. NO. 844 Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: (yang bermaksud…)
“Barangsiapa yang melihatku dalam tidur, maka dia akan melihatku dalam keadaan sedar, atau seakanakan melihatku dalam keadaan sedar, kerana syaitan tidak boleh menyerupai aku.” Muttafaq ‘Alaih.
|
DA’I AIMAN & DA’I SYAFIQAH | Infaq
(Waqaf / Sedekah / Hadiah / Nafkah) |
1. NO. 557
Daripada Abu Umamah Shudai bin Ajlan RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: (yang bermaksud…)
“Wahai anak Adam, jika kamu memberikan apa yang lebih dari keperluanmu, maka itu lebih baik bagimu, dan jika kamu menahannya, maka itu buruk bagimu. Dan kamu tidak dicela kerana menahan apa yang menjadi keperluanmu, dan mulailah (memberi nafkah) kepada orang yang menjadi tanggunganmu. Tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah.” Diriwayatkan oleh Muslim.
2. NO. 553 Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: (yang bermaksud…)
“Tiada hari di mana manusia memasuki waktu pagi pada hari itu melainkan ada dua malaikat turun, yang satu berkata, ‘Ya Allah, berikanlah ganti kepada orang yang berinfak.’ Sedangkan yang lain berkata, ‘Ya Allah, berikanlah kebinasaan kepada orang yang menahan hartanya.’” Muttafaq ‘Alaih.
|
DA’I HAKIM & DA’I ADNEEN | Musafir | 1. NO. 990
Daripada Ibnu Umar RA, beliau berkata: (yang bermaksud…)
“Apabila Rasulullah SAW bepergian lalu malam datang menjelang, Baginda membaca, ‘Wahai bumi, Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah. Aku berlindung kepada Allah daripada kejahatanmu, kejahatan yang ada dalam dirimu, kejahatan makhluk yang ada padamu, dan kejahatan makhluk yang merayap di atasmu. Dan aku berlindung kepadaMu daripada kejahatan singa dan seseorang, daripada kejahatan ular dan kala jengking, daripada kejahatan penghuni negeri ini dan daripada kejahatan iblis dan anak-anaknya.’” Diriwayatkan oleh Abu Dawud.
2. NO. 994 Daripada Anas RA, beliau berkata: (yang bermaksud…)
“Kami pulang bersama Nabi SAW hingga ketika kami sampai di satu tempat di mana kota Madinah terlihat dari situ, Baginda mengucapkan, ‘Kami kembali, bertaubat, beribadah, dan kami memuji kepada Tuhan kami.’ Baginda terus membacanya sehingga kami memasuki Madinah.” Diriwayatkan oleh Muslim.
|
“Kami pulang bersama Nabi SAW hingga ketika kami sampai di satu tempat di mana kota Madinah terlihat dari situ, Baginda mengucapkan, ‘Kami kembali, bertaubat, beribadah, dan kami memuji kepada Tuhan kami.’ Baginda terus membacanya sehingga kami memasuki Madinah.”
Diriwayatkan oleh Muslim.
Da’i Pendakwah Nusantara Musim Ke-5 ini masih mengekalkan Datuk Ustaz Kazim Elias sebagai Mursyid. Di mana tugasnya adalah untuk menasihati para Da’i juga merangkap sebagai ketua tenaga pengajar. Murabbi yang terdiri daripada Ustaz Roslan Mohamed dan Ustazah Asni Abu Mansor Al-Hafizah pula, merupakan tenaga pengajar utama peserta Da’i yang akan meluangkan masa bersama mereka sepanjang program ini berlangsung. Di samping itu, peserta Da’i juga akan turut menimba ilmu daripada juri-juri tetap pada setiap siaran langsung program ini. Juri-juri tetap yang akan bersama mereka adalah Ustaz Mohamad Zarifi bin Mohamad Daud dan Prof. Madya Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail.
Sistem pemarkahan untuk musim ini adalah 70% dari juri tetap, iaitu daripada Ustaz Mohamad Zarifi bin Mohamad Daud dan Prof. Madya Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail masing-masing akan mengadili dari sudut isi dan hafazan sebanyak (35%), manakala (35%) lagi adalah melalui personaliti serta gaya persembahan. 20% akan diberikan oleh Murabbi iaitu Ustaz Roslan Mohamed dan Ustazah Asni Al-Hafizah. Akhir sekali, 10% dari juri awam yang diundang pada setiap episod.
Juara Da’i Pendakwah Nusantara musim kelima ini akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 serta trofi Da’i Pendakwah Nusantara. Pemenang saguhati akan mendapat wang tunai berjumlah RM5,000 serta trofi Da’i Pendakwah Nusantara. Manakala penyandang gelaran Da’i Pilihan Penonton akan diumumkan di Pentas Akhir Da’i Pendakwah Nusantara.
Pemenang Da’i Pilihan Penonton ini akan dipilih berdasarkan jumlah kemenangan sebagai Da’i Pilihan Penonton setiap minggu yang ditentukan melalui jumlah hashtag nama mereka pada setiap minggu. Contohnya, jumlah sebutan #daifahmi di laman sosial Twitter adalah yang terbanyak pada satu minggu itu, akan dipilih sebagai Da’i Pilihan Penonton minggu tersebut. Sekiranya, Da’i Fahmi telah dinobatkan sebagai Da’i Pilihan Penonton yang terbanyak sepanjang musim, secara automatik Da’i Fahmi akan memenangi gelaran Da’i Pilihan Penonton musim kelima.
Da’i Pendakwah Nusantara musim Ke-5 bertuah kerana sekali lagi mendapat sokongan dari penaja iaitu Almas Beauty & Health. Tambahan pula, penaja utama turut memberikan sumbangan kepada para pemenang untuk tahun ini. Juara Pendakwah Nusantara Musim Ke-5 akan menerima sebuah pakej Umrah untuk 2 orang. Manakala pemenang saguhati dan Da’i Pilihan Almas masing-masing akan menerima sebuah pakej percutian kapal persiaran.
Penonton juga berpeluang untuk menyaksikan Jurnal Da’i yang bersiaran pada setiap hari Ahad, jam 6.00 petang dan dihoskan oleh Da’i Syed (musim ke-4). Jurnal Da’i akan memaparkan perjalanan pembelajaran mereka sebelum bergelar Da’i, di belakang tabir kelas bersama Murabbi dan Mursyid, aktiviti-aktiviti riadah dan juga aktiviti bersama penaja.
Program Da’i Pendakwah Nusantara musim ke-5 ini diterbitkan oleh Primeworks Studio dan diterajui oleh saudara Shukri Ibrahim selaku penerbit. Program ini dihoskan oleh Datuk Rosyam Noor selaku pengacara utama dan Tuan Haji Zainal Ariffin Ismail selaku pengacara bersama Da’i Pendakwah Nusantara.
Siapakah Juara Da’i Pendakwah Nusantara musim ke-5? Ayuh sama-sama kita saksikan program realiti keagamaan nombor satu negara ini pada setiap hari Ahad, 9.00 malam bermula 16 Julai 2017 dan ikuti juga Jurnal Da’i pada pukul 6.00 petang di TV3. Selain itu, penonton juga boleh saksikan program ini melalui portal video nombor satu Malaysia, tonton di www.tonton.com.my. Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini, layari laman sosial Facebook, Instagram & Twitter TV3Malaysia. Gunakan hashtag #DaiTV3 untuk hangatkan lagi perbualan tentang program ini di laman sosial.