in

Hargai Pekerjaan Dalam Telemovie ALAMAK BAKAR

Kadang-kadang kita harus melakukan apa yang kita tak suka, untuk mendapat peluang apa yang kita suka. Justeru rebutlah peluang yang ada di depan mata kerana tidak mustahil menerusinya kita berjaya mencapai cita yang seperti yang diimpikan.

Masih lagi dalam ‘mood’ meraikan sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei lalu, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan telemovie bertajuk “Alamak Bakar?” yang bakal menemui penonton pada 7 Mei ini, pukul 10.05 pagi menerusi saluran TV1.

Hargai Pekerjaan Dalam Telemovie Alamak Bakar? di TV1

Menampilkan pelakon Arin Raja Lawak, Ilya Buang, Julie Woon, Fadhil Dhani, Fauziah Nawi, Accapan, Azman Hassan dan Taiyuddin Bakar, drama komedi mencuit hati ini mengajak anda menghargai pekerjaan seseorang terutama apabila melibatkan kerjaya mengawal dan menjaga ketenteraman juga keselamatan awam.

Mungkin ramai yang beranggapan kerjaya sebagai polis dengan pengawal keselamatan besar jurangnya. Namun realitinya matlamat dan tugas mereka sama menjaga ketenteraman masyarakat setempat dan mencegah jenayah daripada terus berleluasa.

Kisah sama diangkat dan ‘dihidupkan’ watak Bakar, antara pemuda yang gagal mencapai cita-cita. Namun, hidup harus diteruskan dan Bakar menjadikan impian Mak Ijah, ibunya yang buta sebagai pencetus semangat meneruskan hidupnya. Mak Ijah mahukan Bakar menjadi seorang polis seperti arwah suaminya. Tanpa pengetahuannya, Bakar kerap kali gagal dalam temu duga anggota polis.

Untuk tidak mengecilkan hati Mak Ijah, Bakar memberitahu temu duganya lulus dengan jayanya dan dia akan dipanggil bertugas. Wajah riang Mak Ijah menimbulkan rasa bersalah yang tidak terhingga dalam hati Bakar. Bakar meminta pendapat Pak Usin, mentornya. Pak Usin menyarankan Bakar untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan, sekurang-kurangnya skop tugas dan baju seragamnya menyamai polis.

Kehidupan malang Bakar dikusamkan lagi dengan pekerjaannya yang sangat membosankan. Bakar hilang arah dan hilang punca, justeru, dia mula endah tak endah dengan pekerjaannya. Bakar terlibat perselisihan dengan Geng Jambu di mana, dia dibelasah teruk. Keesokan harinya, Bakar dipecat. Bakar kecewa dengan nasibnya. Namun, apabila menatap semula wajah ibunya, Bakar bertekad untuk bekerja dengan lebih rajin, tambahan pula, Mak Ijah yang sedang sakit memerlukan peruntukan kewangan yang lebih.

Majikan Bakar memberinya peluang terakhir tetapi kali ini Bakar terpaksa menjaga sebuah pangsapuri lama yang menyeramkan bersama seorang Nepal, Rajendra. Selepas mengalami beberapa kes menakutkan, Bakar terserempak dengan Hannah, seorang polis wanita undercover yang sedang menyiasat kes pengedaran dadah berpusat di pangsapuri lama tersebut.

Bakar dan Hannah akhirnya dapat merungkai rangkaian jenayah terancang Geng Jambu yang diketuai oleh Rajendra. Kes itu berjaya ditangani dengan penuh keperwiraan oleh Bakar.

Bakar akhirnya mengaku kepada Mak Ijah, kegagalannya di dalam SPM telah menyukarkannya untuk menjadi polis. Umurnya juga semakin lanjut untuk diterima sebagai Polis Bantuan.

Namun Bakar tidak pernah mengenal putus asa. Dia kemudiannya meminta bantuan Hannah untuk memberi sokongan kepadanya menjadi seorang polis. Atas sokongan Hannah, dapatkah Bakar diterima menjadi seorang Polis Bantuan yang menjaga kawasannya daripada sebarang jenayah?

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Drama Bersiri Sesuci Syahadah Pengorbanan Seorang Mualaf

Adaptasi Novel SRENGENGE Karya Sasterawan Negara, Shanon Ahmad