Dalam kalangan masyarakat kita seorang anak itu mudah menjalinkan hubungan akrab dengan ibunya. Mereka berkongsi apa sahaja terutama yang melibatkan soal hati dan perasaan dengan wanita yang mengandungkan mereka 9 bulan 10 hari tersebut. Ia kerana mereka beranggapan sifat semulajadi wanita yang lembut mudah memahami perasaan mereka. Apatahlagi bila melibatkan anak lelaki yang dilihat lebih terdorong mendahulukan ibunya walau dalam apa juga perkara.
Kasih Ayah dan Anak Lelakinya Dalam Telemovie RINDU YANG TERTUNDA Di TV1
Di sinilah terbitnya juga antara anak dengan si ayah. Si ayah rasa dipinggirkan bila anak ternyata lebih mendahulukan ibu. Sedangkan dalam hati si ayah ternyata merindui hubungan mesra dengan si anak. Masa berlalu hinggalah mereka dewasa dan hubungan tersebut semakin hambar.
Cuba menyelami hati seorang ayah yang melalui pengalaman tersebut, Radio Televisyen Malaysia (RTM) membawakan telemovie bertajuk “Rindu Yang Tertunda” pada 10 September ini, pukul 10.05 pagi mengisi slot Panggung Ahad di TV1.
Dibawakan watak utamanya oleh Kazar Saisi sebagai Haji Kareem dan dua anaknya, Bell Ngasri dan Azam Pitt membawakan watak anak bernama Ibrahim dan Yusuf, selain dibantu oleh Jasmin Hamid dan Delimawati, plot kisahnya berlatarkan kesungguhan si ayah mahu menjalinkan semula kemesraan dengan anak-anaknya sebelum dia menutup mata.
Ia berkongsi memaparkan kisah Haji Kareem yang merupakan seorang duda mengidap barah otak mengambil kesempatan sisa-sisa hidupnya yang masih berbaki dengan mengajak kedua-dua anaknya Ibrahim dan Yusuf untuk menemui semua bekas teman wanitanya untuk meminta maaf.
Anaknya yang sulung iaitu Ibrahim seorang kontraktor dan sudah punya isteri tetapi dikawal rapi oleh isterinya manakala Yusuf pula seorang pereka grafik bebas yang lurus bendul.
Sepanjang perjalanan bermacam situasi suka duka dilalui bersama. Sejujurnya ia bukan saja merapatkan kembali hubungan ketiga beranak tersebut yang telah semakin renggang malah membuka mata kedua-dua anaknya tentang kehebatan dan kepintaran bapa mereka untuk menarik perhatian wanita dalam suasana yang lucu.
Tibalah kepada lokasi terakhir perjalanan mereka selama seminggu itu berakhir di pusara isteri Haji Kareem. Namun sebelum kedua-dua anaknya pulang ke bandar, bapa mereka jatuh sakit kerana kanser yang di hidapinya semakin teruk. Namun adakah perjalanan mereka itu merupakan sambutan Hari Ayah yang terakhir buat Ibrahim dan Yusuf?
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.