Apabila ditanya tentang perasaan ketika membaca komen-komen negatif mengenai dirinya dan juga peserta-peserta lain di Clever Girl Malaysia, pelakon jelita dari negeri Perlis Indera Kayangan bernama Hani Nazrina Binti Hanizar hanya tersenyum lalu menjawab, “Sebenarnya, kita tidak boleh nak lakukan apa-apa dengan segala kritikan yang dilemparkan terhadap saya mahupun rakan-rakan yang lain.”
“Namun, saya menganggap kesemua komen tersebut sebagai kritikan membina, dan akan cuba untuk memperbaiki kelemahan diri. Bukan semua orang yang akan berpuas hati dengan pencapaian kita, tetapi saya tidak akan berputus asa dan akan terus yakin dengan kebolehan diri saya sendiri,” ujar Hani lagi.
RM1,000 & Imuniti menjadi milik Hani dari Perlis
Barangkali sikap optimistik dan riang Hani inilah antara sebab mengapa dia berjaya merangkul gelaran Juara Mingguan, dan sekaligus memenangi hadiah wang tunai RM1,000 serta imuniti daripada penyingkiran pada minggu hadapan. Turut menyertai Hani sebagai salah seorang peserta terbaik pada minggu lepas ialah Sara yang berasal dari Perak.
Sama cantik sama cerdik, Hani dan Sara telah berentap di Pusingan Juara Mingguan untuk membuktikan kepintaran masing-masing. Hani telah mendahului Sara dengan merampas markah untuk soalan pertama dalam pusingan Juara Mingguan. Walaupun kedua-duanya mendapat markah seri selepas itu, Hani terus menyerlah apabila dia berjaya menewaskan saingannya itu dengan menjawab soalan tie-breaker secara tangkas dan tepat.
Selepas tamatnya Pusingan Juara Mingguan, rakyat Malaysia sekali lagi menyaksikan Fadila (Negeri Sembilan) yang telah berada di tangga tercorot selama dua minggu berturut-turut, berjuang untuk mengekalkan dirinya di program Clever Girl Malaysia dengan bersaing dalam Pusingan Penyingkiran bersama lawannya iaitu Visha (Johor).
Mungkin nasib kurang menyebelahi Visha pada malam itu, setiap jawapan yang dipilihnya langsung tidak tepat, lantas peserta paling muda ini pun terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada 10 gadis Clever Girl Malaysia yang lain setelah dia diumumkan tersingkir.
“Saya mengaku memang saya agak tergesa-gesa sedikit pada malam ini, dan mungkin sebab itulah saya telah melakukan beberapa kesalahan secara tidak sengaja. Walau bagaimanapun, saya telah mendapat pengalaman yang amat berharga sepanjang berada di program ini. Terima kasih saya ucapkan kepada pihak produksi dan juga para penyokong yang tidak pernah lupa untuk memberi kata-kata semangat dan motivasi kepada saya selama 4 minggu ini. Selain itu, saya juga ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada rakan-rakan saya yang masih kekal di Clever Girl Malaysia,” kata Visha.
Program Clever Girl Malaysia yang dihoskan oleh Alif Satar ini merangkumi tiga segmen utama. Dalam Pusingan Pertama, para peserta perlu menjawab 10 soalan, di mana setiap soalan bernilai 5 markah. Sementara itu, markah bagi Pusingan Kedua pula adalah antara 10 hingga 100 markah, dan ianya berbeza mengikut soalan-soalan yang telah ditentukan.
Untuk Pusingan Juara Mingguan, dua peserta yang berada di kedudukan teratas akan berentap untuk menjawab soalan yang dikemukakan dengan pantas. Peserta yang berjaya di dalam Pusingan Akhir ini akan membawa pulang hadiah mingguan serta diberi Imuniti.
Dua peserta dengan markah terendah harus bersaing dalam Pusingan Penyingkiran, di mana mereka mungkin akan dinilai menerusi ketangkasan dan kemahiran mereka untuk menyelesaikan ujian IQ. Seorang peserta yang berjaya menyelesaikan soalan dengan paling tepat akan terselamat daripada tersingkir.
Program Clever Girl Malaysia juga menyediakan talian hayat yang memberi peluang kepada para penonton unruk mengambil bahagian dalam program ini dengan membantu para peserta menjawab soalan-soalan yang sukar di Pusingan Penyingkiran. Terdapat satu cara untuk melakukan demikian iaitu menerusi laman web www.tv3.com.my/clevergirl. Dengan melayari www.tv3.com.my/clevergirl, para penonton akan dibawa ke skrin yang memaparkan soalan tersebut dan boleh memilih jawapan objektif A,B,C atau D.
Lebih menarik lagi, Clever Girl Malaysia musim kedua ini dibawakan khas oleh Sayangku Ratna, keluaran Serai Mas, Jangan Berhenti Memuji selaku penaja utama. Program ini turut menampilkan Nin Jiom, Ubat Batuk Cap Ibu dan Anak sebagai penaja bersama, dan disokong oleh tonton sebagai Geng Digital, Harian Metro dan New Straits Times sebagai Geng Media dan Hot FM sebagai Geng Radio.
Berikut ialah senarai para peserta Clever Girl Malaysia musim kedua:
Nama | Negeri |
Sara Amelia Binti Muhammad Bernard (Sara, 24 tahun, Asasi Psikologi Ekonomi & Matematik) | Perak |
Hani Nazrina Binti Hanizar (Hani, 21 tahun, Usahawan & Graduan Sains Aktuari) | Perlis |
Noor Syakirah Binti Mohd Azam (Kiera, 27 tahun, Usahawan & Graduan Sains Kejuruteraan) | P.Pinang |
Nur Iylia Binti Badaruddin (Iylia, 27 tahun, Mahasiswi Perakaunan) | Kedah |
Fadila Zukaira Binti Mohd Nor (Fadila, 24 tahun, Mahasiswi Pendidikan) | N.Sembilan |
Mas Syahmi Izzah Binti Izhar (Mas, 24 tahun, Mahasiswi Kejuruteraan Mekanikal) | W.Persekutuan |
Nurul Shazalina Zainudin (Shaza, 30 tahun, Mahasiswi Perubatan) | Kelantan |
Nur Emyllia Binti Halmi (Emyllia, 28 tahun, Eksekutif Pemasaran & Graduan Sains Kimia) | Terengganu |
Syafiqah Binti Ishak (Ika, 30 tahun, Usahawan & Mahasiswi Keusahawanan) | Sabah |
Shazana Binti Kamarnzaman (Shazana, 24 tahun, Mahasiswi Perubatan) | Selangor |
Krew penerbitan diketuai oleh Nazatul Fariz Mohd. Aziz sebagai penerbit eksekutif dan Shazreena Mohd. Kassim sebagai penerbit.
Siapakah antara 12 orang gadis ini layak menjadi “Clever Girl” yang seterusnya? Marilah ramai-ramai berikan sokongan kepada wakil negeri anda dalam Clever Girl Malaysia yang bersiaran secara langsung dari studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada setiap hari Jumaat selama satu jam bermula dari pukul 9.00 malam – 10.00 malam, hanya di TV3! Bagi sesiapa yang terlepas untuk menonton pada hari tersebut, anda juga boleh menonton siaran ulangan pada setiap hari Khamis, pukul 2.00 petang.
Selain itu, pelbagai hadiah menarik turut boleh dimenangi oleh para penonton di rumah yang ingin merasai pengalaman menjawab kuiz seperti 14 peserta program ini. Anda boleh menyertai kuiz mingguan ini dengan melayari laman web www.tv3.com.my/clevergirl.
Untuk maklumat lanjut anda boleh layari laman web www.tv3.com.my/clevergirl dan ikuti juga laman sosial Facebook, Twitter dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia. Meriahkan lagi dunia maya Clever Girl Malaysia dengan hashtag #clevergirlmy di laman media sosial anda. Para penonton juga boleh menyaksikan program ini melalui strim secara langsung definisi tinggi di www.tonton.com.my.