Tanpa kita sedari, dalam diam dua kumpulan gengster kini sedang melakukan persiapan yang cukup rapi untuk menguasai malam hujung minggu rakyat Malaysia dengan lawak spontan mereka yang pecah perut dalam program realiti lawak spontan, Super Spontan Superstar 2017.
Dianggotai oleh tujuh orang gengster bagi setiap kumpulan, pertarungan antara mereka bakal disiarkan secara langsung di saluran Astro Warna dan Maya HD, serta menerusi aplikasi Astro GO.
Sepanjang lapan minggu, gengster-gengster tersebut yang juga merupakan barisan pelawak favourite peminat tegar dunia komedi di Malaysia akan bekerjasama dengan selebriti tanah air untuk bermain pelbagai jenis permainan yang melucukan secara spontan. Kumpulan yang mendapat undian terendah pada setiap akhir program harus menyingkirkan salah seorang anggota kumpulan mereka.
Masa semakin hampir untuk kesemua 14 orang gengster ini memunculkan diri di khalayak. Mereka sudah pun bersiap sedia sepenuhnya. Punchline kini hanya di hujung jari manakala taktik serang balas lawak spontan kumpulan lawan juga telah pun dikuasai. Menariknya, terdapat empat orang jelitawan popular akan turut menyertai kumpulan-kumpulan gengster ini. Siapakah mereka? Semuanya bakal diketahui pada majlis sidang media kelak.