in ,

Tayangan Perdana Video Muzik Rasmi PERTAMA KALI dari SHAA Hari Jumaat Ini

Lagu yang diberi judul “Pertama Kali” melonjakkan nama bakat baru SHAA dalam sekelip mata apabila dikeluarkan lebih kurang 4 bulan yang lalu di bawah syarikat rakaman Nova Music.

Selepas hanya 4 minggu dikeluarkan, lagu tersebut telah berjaya menjuarai carta radio ‘Hits Gegar’ dan mengekalkan kejuaraan selama sejumlah 6 minggu! Lagu tersebut juga telah menjuarai carta ‘Manis 17’ sejumlah 8 minggu dan carta ‘Hits Tempatan’ Joox; dan mencapai kedudukan Top 10 di carta ‘era 40’ dan Top 30 di carta ‘Hot fm 30’ setakat ini. “Pertama Kali” juga tinggi di strim di pelbagai pelantar striming muzik seperti Spotify, Joox, Yonder dan Apple Music.

SAKSIKAN TAYANGAN PERDANA EKSKLUSIF VIDEO MUZIK RASMI “PERTAMA KALI” SHAA DI SALURAN YOUTUBE NOVA MUSIC VIDEOS PADA HARI JUMAAT, 18HB. OGOS JAM 9.00 MALAM!

SHAA atau nama sebenarnya, Juzratul Nisha Binti Johari (22 tahun) adalah bakat baru dalam dunia muzik tanahair dan bermula sebagai penyanyi jalanan bersama kumpulan Darulaman Buskers yang berasal dari Alor Setar, Kedah.

Persembahan SHAA mendendangkan lagu-lagu yang bernada tinggi sering kali menambat hati penonton. Apalagi bila SHAA gemar membawa lagu-lagu popular nyanyian penyanyi terkenal, Ziana Zain.

SHAA mula mendapat perhatian syarikat-syarikat rakaman apabila rakaman video beliau menyanyikan lagu “Putus Terpaksa” Ziana Zain menjadi viral di laman media sosial. Malah, banyak syarikat rakaman berebut untuk mendapatkan tandatangan SHAA sebagai artis mereka tetapi SHAA akhirnya membuat keputusan untuk bersama Nova Music setelah disunting oleh komposer tidak asing lagi, Eddie Hamid yang bertugas sebagai Pengarah A&R Nova Music.

Setelah sah menjadi artis rakaman mereka, Nova Music telah membuat keputusan untuk merakam “Pertama Kali, lagu ciptaan SHAA sendiri yang ditulis semasa dia berumur 15 tahun. Menariknya, lagu tersebut yang dimuat naik ke YouTube dengan judul ‘untukmu sayang (pertama kali)’ pada awal tahun 2015 menampilkan hanya nyanyian dan lirik tanpa sebarang muzik mencatat tontonan lebih daripada 700,000 ketika itu.

Video lirik lagu “Pertama Kali” telah pun mencatat tontonan lebih daripada 8 juta di YouTube setakat ini. Kini, video muzik rasmi lagu tersebut yang amat dinanti-nantikan peminat bakal disiarkan secara eksklusif di saluran YouTube Nova Music Vidoes pada hari Jumaat, 18hb. Ogos, jam 9 malam. Pastikan semua tidak ketinggalan menyaksikannya!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Kerjaya Mencabar Dalam Dokumentari SHAMWARI : A WILD LIFE

Fakta Yang Anda Patut Tahu Tentang Lagu Tema KL2017 – BANGKIT BERSAMA