in

Far East Lancar Album Saat Lafaz Sakinah

Semasa Budiey menerima jemputan Sidang Media dan Pelancaran Album Nasyid Kumpulan Far East, Budiey tersedar kumpulan ini masih lagi wujud. Maklumlah, dah lama tak mendengar berita tentang kumpulan yang pernah dicalonkan dalam Anugerah Industri Muzik ini.

Padahal, grup nasyid ini antara grup yang paling aktif di Malaysia. Budiey baru perasan Far East dah lama tak keluarkan album terbaru mereka.

Di pelancaran album terbaru mereka semalam, barulah Budiey dapat tahu, rupanya dalam diam-diam, Far East juga punya perancangan sendiri untuk berkembang ke rantau dunia dan terbaru mereka akan menjejak kaki ke India untuk merakam lagu nasyid dalam bahasa Tamil yang akan dilancarkan di Chenai.

Selama 10 tahun berjuang dalam industri irama nasyid, Far East telah melahirkan 4 buah album dan yang terbaru ini, album berjudul Halawatul Iman II – Saat Lafaz Sakinah. Rasanya kita pun dah tahu, apabila sebut aje tentang Saat Lafaz Sakinah ianya berkait rapat dengan majlis akad nikah. Saat di mana ayah pengantin perempuan melepaskan anaknya untuk dipertanggungjawabkan oleh pihak pengantin lelaki. Jadi album dirasakan begitu sesuai untuk dimiliki oleh semua lapisan masyarakat di mana semua antara kita akan dan telah pun menjejakkan kaki ke alam perkahwinan. Betul tak?

Budiey difahamkan album ini adalah kesinambungan dari album ke-3 mereka iaitu Halawatul Iman yang mana album ini berkonsepkan lagu-lagu yang berunsurkan tarannum.

Kepada pembaca yang masih samar-samar, Far East dianggotai oleh Ahmad Fadzli Bakar, Azwan Ibrahim, Shairiman Badzri dan Nabil Ahmad. Ramai yang sedia maklum kumpulan ini juga tak lepas dari masalah ahli kumpulan mereka bertukar ganti. Itu sebenarnya realiti biasa yang terpaksa ditempuhi kerana untuk komited dalam muzik berkumpulan ini memang agak susah. Ini kerana masing-masing ada komitmen dan agenda yang lain yang bagi mereka lebih penting untuk menjamin masa depan. Budiey diberitahu, ada antara bekas anggota Far East terpaksa berundur untuk sambung belajar seperti adik kepada Faizal Tahir yang ke United Kingdom untuk menyambung pengajian di sana.

Semalam, bertempat di Restoran Saloma Bistro, Kumpulan Far East telah melancarkan album ke-4 mereka dalam satu majlis yang ringkas tapi punya simbolik. Sepertimana konsep kulit albumnya dan juga konsep album ini sendiri yang menjurus kepada kebahagiaan dan kasih sayang sepasang suami isteri yang mendirikan rumah tangga.

Di majlis itu, wakil dari Inteam Records, saudara Shahril turut memberikan ucapan.

Menurut Saudara Shahril, untuk memperhebatkan jualan, pihak Inteam Records telah menganjurkan satu peraduan untuk semua pembeli album ini di mana mereka boleh memenangi pelbagai hadiah. Antara hadiah utama ialah pemenang bakal dihadiahkan dengan persembahan dari Far East di majlis perkahwinan secara percuma!

Konsep design kulit album ini pun agak menarik. Ia dibuat seperti kad jemputan kahwin. Menggunakan warna merah hati dan ada bentuk hati – simbolik kepada cinta yang menjadi asas kepada perkahwinan itu sendiri.

Album ini dilancarkan dengan penuh simbolik iaitu dengan melepaskan seekor burung dari sangkar.

Album ini mengandungi 10 buah lagu yang segar dan menyentuh rasa di lubuk hati yang menyegarkan jiwa. Antara lagu yang Budiey suka dengar ialah Aman, Saat Lafaz Sakinah dan Ala Baladi.

Selain 3 buah lagu ini, Budiey pasti lagu-lagu seperti Qasidah, Keunggulan Iman Berteraskan Al-Quran, Syahdu, Mabrur, Eksplorasi Hati, Safa Marwah, Asmaul Husna dan Maafkan Ibu Tidak Sempurna bakal menjadi halwa telinga anda.

Bagi peminat irama nasyid, Budiey rasa agak berbaloi untuk memiliki album ini kerana lagu-lagu dalam album ini dihasilkan dengan gabungan sentuhan kreatif dari pelbagai pihak bagi memastikan kualiti yang diberi adalah di tahap profesional. Antara yang terlibat ialah Adnan Abu Hassan yang telah menerima Anugerah Wirama di AIM yang lalu, Hafiz Hamidun – siapa yang tak kenal dengan komposer dan penyanyi nasyid yang pernah menggondol anugerah ini serta Fadzli Far East yang bertindak sebagai penerbit album ini.

Antara pemuzik yang menjayakan album ini ialah Rusdi Uchik – sebagai pemain perkusi, Adnan Abu Hassan, Belle, Burn Crissfire, Wan Sallehuddin, Eddie Marzuki dan Hafiz Hamidun yang diberi kepercayaan sebagai penyusun muzik.

Greg Shafiq Henderson, Adnan Abu Hassan dan Quantize Team pula bekerja keras sebagai juruadun, manakala juru master bagi album ini disandarkan kepada Fauzi Marzuki.

Jadi, melihat kepada senarai nama yang rasanya tak asing bagi kita, sudah tentu album ni dianggap satu karya yang berkualiti. Ini dihasilkan untuk menjadi pendengar dan peminat berpuas hati. Far East berharap album ini memenuhi kehendak pendengar.

Lagu Saat Lafaz Sakinah dicipta oleh Fadzli Far East dan lirik pula ditulis oleh isteri beliau sendiri. Ironinya, lirik ditulis oleh isteri sehari selepas ibunya meninggal dunia.

Album ini mengambil masa selama 2 bulan lebih untuk disiapkan. Rakaman album dibuat di studio Adnan Abu Hassan.

Untuk mendapatkan album yang diterbitkan dan diedarkan oleh Inteam Records Sdn Bhd ini, anda boleh mendapatkan secara online dengan melayari laman sesawang www.inteammobile.com dengan harga yang sangat ideal dengan pasaran semasa iaitu RM25.90. Untuk yang beli secara online, ada sikit diskaun menjadikan harga RM23 sahaja.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Peraduan Jom Tonton WWII Lost Films History Channel

Rentak Juara Suku Akhir 2 Bertemakan Lagu Filem