Chef Armand begitu dikenali dengan resipi makanan hebat beliau. Sajian tradisional yang disediakan acap kali menjadi hidangan pilihan pengunjung di restoran-restoran terkemuka di ibu kota. Setiap satu air tangan beliau berjaya memenangi hati penggemar makanan sehinggakan mereka berkehendakkan lebih pilihan menu dari Chef Armand. Semuanya dilihat sempurna pada diri Armand. Seorang tukang masak yang hebat, bekerjaya, muda, dikurniakan seorang isteri yang cantik dan keluarga yang berlatarbelakangkan orang baik-baik.
Alif Satar Tampil Dengan Sisi Berbeza Dalam Filem TV Terbaru Astro First Eksklusif, MEMORI PAJERI NANAS
Namun begitu, itu adalah sekadar luaran dan tidak mencerminkan apa yang terbuku di hati Armand. Armand mula kehilangan sentuhan masakannya. Mahligai perkahwinan yang dibina atas dasar cinta kini goyah dek kerana kesibukan masing-masing. Armand pula dilihat dari hari ke hari semakin tertekan dan beliau mula mengadu nasib kepada kawan baik beliau yang turut merupakan bekas teman wanitanya ketika di universiti.
Keadaan tersebut mewujudkan perasaan cemburu yang meluap-luap dalam diri seorang isteri dan ia mengeruhkan lagi keadaan yang sedia ada berkecamuk. Armand cukup serabut dan buntu memikirkan pengakhiran kisah yang bakal terlakar sebagai sebahagian dari kanvas kehidupannya. Apakah kesudahannya? Begitulah sedikit gambaran naskhah terkini milik sutradara bernama Aidilfitri Mohamed Yunos, figura yang sebelum ini pernah menzahirkan judul ‘Aku Haus Darahmu’ yang pernah disiarkan di saluran Astro First.
Keserasian dua bintang hebat, Tiz Zaqyah dan Siti Saleha turut berjaya menghidupkan naskhah romantik komedi arahan Aidilfitri Yunos
‘Memori Pajeri Nanas’ merupakan judul filem televisyen (FTV) terbaru yang akan disiarkan di platform Astro First Eksklusif (saluran 480) mulai 20 Julai ini. Berdurasi selama 90 minit, naskhah romantik yang sarat dengan drama ini juga boleh didapati menerusi platform On Demand.
Penolong Naib Presiden Kanan Astro First & Astro Best, Sharmin Parameswaran berkata, “Kami menaruh sepenuh kepercayaan akan karya terkini yang dizahirkan oleh saudara Aidilfitri ini, selaku pengarah ‘Memori Pajeri Nanas’. Kombinasi yang beliau tampilkan dalam setiap aspek utama FTV ini menjanjikan hasil akhir yang cukup positif. Dari segi jalan penceritaan, gabungan barisan pelakon hebat, sinematografi menarik dan visual setiap resipi tradisional yang diambil sempurna oleh lensa kamera pengarah fotografi dilihat menyokong sesama sendiri.
Tambah unik lagi apabila Aidilfitri bertindak bijak menyulam alunan indah lagu irama keroncong moden nyanyian pendatang baru, Athia Haron, sebagai audio latar belakang di kala pelakon utamanya, Alif Satar yang membawakan watak sebagai chef profesional sedang menyediakan sajian-sajian tradisional beliau di dapur. Kami lihat, pendekatan ini cukup berbeza terutamanya apabila ramai di antara kita, masyarakat moden hari ini, dilihat seakan-akan lupa akan keindahan irama keroncong.
Dalam pada itu, kami rasakan percaturan Aidilfitri dalam menggabungkan kisah perkahwinan dan elemen cinta pada masakan adalah sangat berani. Beliau begitu memberi penekanan akan setiap aspek terutamanya dari segi masakan, kualiti dan piawaian penyampaian sesebuah sajian yang ditampilkan.
Bagi memastikan ia mengikut standard sajian yang dihasilkan oleh barisan chef profesional di luar sana, pihak produksi turut menggunakan khidmat chef sebenar untuk memberi panduan sewajarnya akan kaedah pengendalian di ruang dapur yang betul. Ketelitian dalam setiap perincian yang diangkat oleh pihak produksi inilah yang menyumbang ke-arah kekuatan ‘Memori Pajeri Nanas’. Faktor-faktor inilah yang membuatkan FTV ini cukup unik dan kami yakin ia mampu memenuhi citarasa penonton.”
Pada masa yang sama, Pengarah ‘Memori Pajeri Nanas’, Aidilfitri Mohamed Yunos turut mengulas akan pemilihan tonggak-tonggak utama dalam filem TV ini, “Alif Satar, Tiz Zaqyah dan Siti Saleha adalah tiga nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam industri hiburan tanah air.
Memiliki kekuatan masing-masing, Alif, Tiz dan Siti Saleha sentiasa menjadi pilihan pembikin filem dan drama untuk menggalas watak-watak utama dalam naskhah pelbagai genre, sama ada aksi, komedi, seram, romantik, misteri dan banyak lagi. Ternyata setiap watak yang diberikan berjaya diterjemahkan dengan baik dan mampu meninggalkan kesan dalam diri penonton. Justeru, kami di TSAR Asia Sdn. Bhd. begitu gembira apabila berjaya menggabungkan ketiga-tiga nama besar ini untuk menjayakan filem TV ini. Lebih teruja lagi apabila keserasian yang tercetus secara spontan di set secara tidak langsung memudahkan lagi proses penggambaran yang hanya berlangsung selama 15 hari di sekitar Lembah Klang. Kerjasama dan sokongan yang diberikan oleh semua yang terlibat baik di barisan pelakon serta produksi melancarkan lagi perjalanan rakaman FTV ini. Terima kasih diucapkan kepada mereka yang terlibat.”
Perkahwinan Armand (Alif Satar) dan Kayla (Tiz Zaqyah) dilihat mula goyah apabila kedua-dua mereka terlampau sibuk dengan kerjaya masing-masing. Armand merupakan seorang Chef dan perunding makanan untuk restoran-restoran terkemuka di Kuala Lumpur. Manakala isterinya, Kayla pula merupakan seorang wanita berkerjaya yang sentiasa sibuk dengan tugas di pejabat (agensi pengiklanan). Tuntutan tugas menjadikan kedua-dua mereka sentiasa berada di dalam keadaan tertekan sehinggakan tidak mempunyai masa untuk diluangkan bersama.
Keadaan dilihat menjadi semakin keruh apabila Kayla terdengar perbualan telefon di antara Armand dan kawan baiknya, Camelia (Siti Saleha) yang turut merupakan bekas teman wanita Armand. Kayla mulai cemburu dan hubungan mereka semakin berantakan sehinggakan beliau ingin berpisah dari Armand.
Armand ternyata tidak ingin mengaku kalah dan beliau mencuba sedaya upaya untuk menyelamatkan kembali perkahwinan yang dibina ini. Pendekatan beliau adalah menerusi masakan-masakan tradisional yang dihidangkan kepada Kayla ketika berbuka puasa.
Sepanjang 30 hari Ramadan, Armand meminta Kayla untuk pulang ke rumah dan berbuka puasa bersama dengan hidangan yang disediakan khas olehnya. Kayla bersetuju dengan syarat yang diberikan Armand dan jika cubaan ini gagal, Kayla tetap dengan keputusannya untuk berpisah dengan Armand.
Dalam pada itu, Armand dilihat sentiasa bertemu dengan Camelia untuk membantu beliau dengan masakan yang disediakan. Camelia juga merupakan seorang Chef dan memiliki sebuah restoran di pusat bandar.
Pada masa yang sama, Camelia turut menasihati Armand akan cara-cara untuk memenangi hati isterinya kembali. Namun begitu, perjumpaan tersebut telah di salah-ertikan oleh Kayla dan beliau merasakan perkahwinan ini adalah sia-sia dan tidak lagi dapat diselamatkan.
Kayla kemudiannya membuat keputusan untuk keluar dari rumah, meninggalkan Armand dan membawa diri ke luar negara. Armand masih lagi tidak mengalah. Beliau menyediakan masakan kegemaran Kayla, pajeri nanas dan berkejaran ke lapangan terbang untuk sekali lagi memujuk hati Kayla.
Berjayakah Armand memenangi kembali hati Kayla?
Jangan lupa saksikan ‘Memori Pajeri Nanas’ di Astro First Eksklusif, saluran 480 mulai 20 Julai 2017. Dengan hanya RM 15.90 (termasuk GST) untuk sebuah filem, penonton boleh menyaksikan filem ini berulang kali dalam tempoh 48 jam dari waktu pembelian.
# TAMAT #