TV AlHijrah buat julung kalinya akan menganjurkan Majlis Qiamullail Perdana Sabtu ini, 17 Jun 2017 bersamaan 22 Ramadan 1438H secara langsung (LIVE) sebagai salah satu lagi pengisian bagi mengimarahkan Ramadan serta mendapat keberkatan di bulan yang mulia ini.
Diadakan di Masjid Asy-Syakirin KLCC, Majlis Qimalullail Perdana TV AlHijrah dijangka disertai 5,000 muslimin dan muslimat terutamanya yang berada mereka yang berada sekitar Lembah Klang termasuk penonton setia TV AlHijrah.
Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah Tuan Haji Izelan Basar berkata,
“Program Qiamullail Perdana dianjurkan sebagai salah satu pengisian pada sepuluh hari terakhir Ramadan. Penglibatan TV AlHijrah di Masjid Asy-Syakirin KLCC akan bermula dari Solat dan Khutbah Jumaat pada 16 Jun 2017 dan seterusnya akan diisi dengan beberapa program tazkirah menjelang berbuka puasa.”
Sementara Majlis Qiamullail Perdana akan dibimbing oleh Ustaz Shahrizan Daud At-Turabi tepat jam 3 pagi, 17 Jun 2017 dan berakhir dengan kuliah Subuh.
“Justeru, kita mengajak orang ramai khususnya yang tinggal berhampiran untuk bersama-sama mengimarahkan majlis kerohanian ini. Sambil kita merapatkan saf, kita dapat menggandakan amal ibadat di bulan mulia ini,” katanya.
Selain itu, TV AlHijrah juga ingin mengambil peluang ini untuk sama-sama mendoakan kesejahteraan Malaysia dan umat Islam seluruh dunia terutamanya saudara kita yang berada di Palestin, Syria, Lubnan, Afrika Selatan dan lain-lain.
Antara agamawan yang akan terlibat menjayakan program Qiamullail Perdana ini adalah seperti Ustaz Ahmad Rosidi Mohmad, Ustaz Saniza Ismail, Ustaz Abdul Aziz Yusof, Ustaz Mohd Shaarani Ahmad, Ustaz Subky dan beberapa nama lain.