Apa nak cakap, memang ramai yang cemburu dengan keintiman dan keserasian dua pelakon sensasi Fattah Amin dan Nur Fazura. Kedua-dua mereka menerima kecaman oleh haters di sosial media malah lebih teruk apabila dikecam oleh beberapa selebriti tertentu secara terang-terangan di laman sosial. Tidak kurang ada penggodam yang telah menggodam akaun peminat serta klien Fattah Amin dan Fazura yang mempromosikan hashtag HSC dan Hero Seorang Cinderella.
Petang ini, Berita Harian ada melaporkan tentang kenyataan yang dikeluarkan oleh Nur Fazura tentang isu ini.
Fattah, Fazura akur jadi mangsa cemburu
Tunjang utama drama rantaian Hero Seorang Cinderella (HSC) akur dengan hakikat dicemburui dan dimusuhi banyak pihak yang tidak senang melihat kemesraan serta keserasian ditunjukkan mereka dalam drama mahupun di luar lokasi.
Nur Fazura Sharifuddin dan Fattah Amin, berkata walaupun terpaksa berdepan pelbagai ujian seperti dikecam netizen, selain segelintir golongan selebriti yang secara terang-terangan meluahkan perasaan tidak puas hati di laman sosial, mereka enggan melatah serta lebih selesa mengambil pendekatan untuk terus berdiam diri.
“Saya dengan Fattah selalu cakap, kita tak boleh membaca hati orang. Kita juga tidak mampu untuk menduga niat seseorang sama ada baik atau sebaliknya. “Cuma, apa yang kita boleh buat adalah terus bersabar dan percaya apabila sesuatu perkara hendak berjaya, akan ada halangan sedemikian,” kata Fazura ketika ditemui pada majlis sesi ramah mesra bersama pelakon Hero Seorang Cinderella di pusat beli-belah Quill City Mall, di sini semalam.
Walaupun enggan melayan perkara yang disifatkan sebagai remeh, Fattah yang juga Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH 3.0 tetap melahirkan rasa terkilannya apabila golongan ‘pembenci’ berkenaan bertindak di luar batasan.
“Pernah berlaku ketika saya menghadiri satu sesi promosi, tiba-tiba ‘client’ saya tidak dapat memuat naik gambar kerana akaun Instagram kami digodam. “Tak sangka ada pihak yang busuk hati sampai ke tahap hendak menutup periuk nasi orang.
Saya serahkan perkara ini kepada pihak pengurusan untuk melakukan siasatan dan mungkin tindakan susulan akan dibuat terhadap pihak tidak bertanggungjawab itu,” kata Fattah.
Pada majlis terbabit, pasangan berkenaan turut meluangkan masa beramah mesra dan menandatangani novel HSC untuk peminat bertuah.