RENTAK JUARA SUKU AKHIR 1 : THE FINGERS DAN SILVERSOUND LAYAK KE PERINGKAT SEPARUH AKHIR
Memiliki kemahiran bermain alat muzik serta mampu membuat persembahan yang menghiburkan merupakan satu kemenangan buat dua kumpulan peserta Rentak Juara iaitu The Fingers dan Silversound yang berjaya ke Peringkat Separuh Akhir.
Seramai lima kumpulan peserta bertanding dalam Episod Pertama menerusi Konsert Suku Akhir 1 Rentak Juara di pentas Auditorium Perdana, Angkasapuri pada 1 Mei 2010, Sabtu yang bersiaran secara langsung pada jam 8.30 malam menerusi saluran TV2. Mereka antaranya The Fingers, Jesselton,Zabarjad, Silversound dan Chemistry.
Selain persembahan dari kelima-lima kumpulan dalam Konsert Suku Akhir 1 Rentak Juara yang menampilkan 3 orang pengacara unggul iaitu Muaz, Pool dan Nurata bakal menerajui konsert Rentak Juara pada setiap minggu.Persembahan turut dihangatkan oleh artis jemputan iaitu Azlan & The Typewriter pada pertandingan Rentak Juara episod pertama menerusi Konsert Suku Akhir 1 yang bersiaran secara langsung dari Auditorium Perdana di saluran TV2.
Kesemua peserta dinilai oleh para juru profesional iaitu Roslan Aziz selaku juri tetap dan dua juri jemputan iaitu Dato’ David Arumugam dan Eddie Kismilardy. Para peserta kumpulan ini akan dinilai dari segi persembahan muzik, vokal dan persembahan. The Fingers merupakan peserta kumpulan giliran pertama mempersembahkan lagu mereka iaitu Chow Kitt Road (Sudirman) dan Seruan (Lefthanded). Manakala kumpulan Silversound mempersembahkan dua lagu tempatan iaitu Kasih (Sudirman) dan lagu Berlari (Tomok).
Menurut komen dari Eddie Kasmilardy kepada kumpulan The Fingers, persembahan mereka cukup bagus kerana masing-masing ada individual aktiviti yang tersendiri,bermakna setiap ahli kumpulannya memainkan peranan dalam setiap bahagian dalam persembahannya. Kemahiran bermain alat muzik serta susunan vokal dan muzik mampu menarik perhatian juri. Segala persembahan amat menghiburkan pada malam konsert yang bertemakan Retro 80-an.
Kumpulan The Fingers terdiri daripada enam orang anak muda yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah ini telah mendendangkan dua buah lagu iaitu Chow Kit Road nyanyian Allahyarham Sudirman telah menggayakan pakaian ala retro dan mengenakan suit serba hitam pada konsert Suku Akhir 1 Rentak Juara. Lagu kedua bisa membuatkan penonton terhibur apabila kumpulan ini memilih lagu dari band idolanya iaitu Lefthanded dengan lagu bertajuk Seruan dengan gaya persembahan mereka yang tersendiri.
Nama The Fingers diilhamkan oleh ketua kumpulan mereka sendiri bernama Zuriman. Kumpulan ini ditubuhkan pada bulan Jun tahun 2008. Ahli-ahli The Fingers amat meminati muzik berkonsepkan ”Progressive Power Neo Classical Metal” . Selain pengalaman membuat persembahan, kumpulan ini juga telah menjuarai 6 buah pertandingan kugiran yang diadakan di sekitar Sabah dan Labuan. Idola mereka adalah Dream Theater, Lefthanded, Nightwish,Metalasia dan Symphony X.
Silversound juga tidak kurang hebat apabila persembahan mereka mendapat pujian dari Roslan Aziz apabila lagu pertama yang dipersembahkan amat menghiburkan. Penampilan ala Retro dan kemahiran mereka memetik gitar mampu memukau para penonton sewaktu kumpulan ini mempersembahkan lagu Kasih nyanyian Allahyarham Sudirman. Komen positif buat para juri terutama diakhir persembahan oleh Silversound sewaktu mempersembahkan lagu kedua bertajuk Berlari nyanyian Tomok.
Kumpulan yang bersal dari Ipoh, Perak mencipta nama sejak 8 tahun dan mana kumpulan ini diambil sempena nama negeri mereka iaitu Silver “Perak” Sound “Bunyi”. Silversound terdiri daripada 5 orang ahli kumpulan yang meminati irama muzik “Fusion & Rock”.
Mereka bekerja sepenuh masa di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan. Bercita-cita untuk menjadi sebuah band yang mantap, kumpulan Silversound juga ingin menjadikan sebuah band penghibur yang dapat memberi sumbangan kepada industry muzik dan budaya serta boleh memainkan pelbagai genre muzik dan peralatan muzik.
Namun tiga kumpulan yang tidak berjaya melayakkan diri ke peringkat Separuh Akhir akan dipilih melalui undian SMS. Antara 3 kumpulan yang gagal ialah Jesselton, Zabarjad dan Chemistry. Kesemua undian SMS untuk ketiga-tiga kumpulan ini akan ditutup pada hari (Jumaat) 7 Mei 2010 jam 4 petang dan hanya satu kumpulan sahaja akan dipilih untuk ke Peringkat Suku Akhir SMS.
Pada minggu ini konsert Suku Akhir 2 Rentak Juara menampilkan lima kumpulan yang seterusnya iaitu Putera Sari, Bintang,Razor, The Crown dan Mistaken. Masing-masing bakal berentap dalam Suku Akhir 2, dalam episod 2 pada 8 Mei 2010 (Sabtu), jam 8.30 malam bersiaran secara langsung dari Auditorium Perdana, Angkasapuri menerusi siaran di TV2.