Sabtu lalu acara padang iaitu Bazar Terima Kasih (BTK) yang mendekatkan Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) bersama penonton di Mesra Mall, Kemaman Terengganu telah disambut meriah oleh 3,000 pengunjung. Ini merupakan bazar Terima Kasih pertama dan seterusnya akan singgah ke Johor Bahru pada 10 Jun nanti.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Kamal Khalid, “Mesra Mall yang juga merupakan pusat beli belah di bawah pengurusan Kumpulan Suria KLCC menjadi destinasi pertama kami pada tahun ini. Kemeriahan bazar Terima Kasih ini telah diserikan dengan kehadiran duta-duta Terima Kasih, antaranya Ayda Jebat, Redza Rosli, Faizal Tahir, Zainal Ariffin dan Fakhrul Radhi dan selebriti seperti Adi Putra, Fizz Fairuz, Nina Iskandar, Da’i Tajdid, serta ramai lagi.
Kami juga memberikan sumbangan duit raya kepada 30 asnaf terpilih sekitar kawasan Kemasik, Kemaman. Selain itu, mereka turut diraikan di majlis berbuka puasa yang turu disertai oleh barisan selebriti yang hadir. Di bazar ini juga, Tabung Bersamamu turut disediakan untuk memudahkan orang ramai untuk memberikan sumbangan bagi mereka yang memerlukan di bulan yang mulia ini. Hasil daripada sumbangan orang ramai di bazar menrusi pembelian juadah berbuka, kami berjaya mengumpul RM5,000,” ujarnya lagi.
Antara aktiviti-aktiviti menarik yang berlangsung di sekitar bazar itu ialah sesi gotong-royong, jualan amal juadah berbuka puasa, pengagihan bubur lambuk secara percuma dan juga sesi ramah mesra bersama barisan duta Terima Kasih dan selebriti terlibat.
Selain daripada duta Terima Kasih di BTK Kemaman ini, beberapa artis yang terlibat dalam rancangan-rancangan Ramadan TV3 & TV9 turut menyerikan bazar ini. Mereka yang hadir adalah Adi Putra, Nina Iskandar, Fizz Fairuz, Afzan, Mustaqim Bahadon, Azhan Rani, Balqish Semundur Khan, Annie Ariffin, Shah Tapaw, Wanns Ahmad, Da’i Tajdid Hadhari, Hazwani Helmi, Da’i Syed dan Fimie Don.
Bazar Terima Kasih turut menjual sampul rantaian kasih yang mengandungi kad Touch N go dan juga pin ikrar edisi terhad bernilai RM20. Hasil sumbangan akan disalurkan kepada dana Skuad Terima Kasih.
Bazar Terima Kasih turut dimeriahkan lagi oleh tonton, Media Prima Digital, F&N Fun Flavours, Lazada, Lifebuoy, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) yang turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk para pengunjung.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.tv3.com.my, www.tv9.com.my dan juga www.tonton.com.my. Ikuti juga laman sosial Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube TV3Malaysia dan TV9Malaysia untuk berita dan informasi terkini mengenai kempen Terima Kasih. Hangatkan perbualan di laman sosial dengan menggunakan hashtag #TerimaKasih