Pelawak dan pengacara popular tanah air, Nabil Ahmad kini meluaskan ruang lingkup kerjaya seni beliau dengan pembabitan secara langsung selaku penerbit bagi sebuah rancangan terbaharu berkonsepkan sitkom, Bas Stop!. Rancangan sebanyak 13 episod ini bakal bersiaran di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (124) pada setiap Jumaat mulai 9 Jun 2017 jam 11.00 malam. Untuk lebih pilihan platform tontonan, Bas Stop! turut terdapat di aplikasi Astro Go dan on demand.
Bas Stop! merupakan sebuah sitkom yang mengetengahkan isu semasa berkaitan kehidupan pengguna perkhidmatan pengangkutan awam. Berdurasi selama 30 minit, setiap episod membawa mesej yang tersendiri dan disampaikan dalam suasana santai.
Semua kisah yang dipersembahkan dalam sitkom ini berlatarbelakangkan suasana di ibu kota, di sekitar stesen menunggu bas dan sebuah gerai jualan kecil di sebelahnya. Uniknya program ini, setiap selebriti undangan akan dibawa masuk ke studio rakaman menggunakan bas persiaran.
Bas Stop! Kembalikan Zaman Kegemilangan Sitkom di Malaysia
Mengulas mengenai program Bas Stop!, Pengurus Saluran Astro Warna, Norzeha Mohd Salleh berkata,
“Pihak Astro Warna sentiasa mencari cara penyampaian mesej yang berbeza dan idea-idea yang segar untuk disajikan kepada penonton. Bagi program Bas Stop! ini, isu yang dikupas pada setiap minggu merupakan isu yang dekat dengan hati masyarakat seperti isu kehilangan kanak-kanak, gelandangan, fenomena viral dan sebagainya. Setiap isu yang diketengahkan diolah dalam bentuk sketsa komedi secara santai oleh lima watak utama dan seorang selebriti undangan.
Kekuatan utama sitkom ini terletak pada kandungan program iaitu isu-isu semasa yang berkait rapat dengan kehidupan bermasyarakat. Dengan adanya Bas Stop! di aplikasi Astro Go dan on demand, ia akan memudahkan penonton untuk menonton program ini pada bila-bila masa dan di mana-mana juga menerusi alat peranti mudah alih masing-masing. Diharap kehadiran progam ini di ruang digital dapat membantu menyebarkan benih-benih positif yang dibawakan oleh program Bas Stop! dengan lebih meluas dalam kalangan masyarakat di negara ini.”
Sitkom Komedi Menjadi Pertaruhan Sulung Nabil Ahmad Selaku Penerbit
Lima watak utama yang menerajui Bas Stop! dilakonkan oleh Ebby Yus, Sherry Alhadad, Ippo Hafiz, Angah Raja Lawak dan Nabil Ahmad. Watak-watak lakonan mereka ini merupakan watak yang sinonim dalam kehidupan harian masyarakat Malaysia terutamanya bagi pengguna perkhidmatan awam iaitu pemandu teksi, peniaga kedai runcit, tukang kasut, pemuzik jalanan dan seorang lagi watak yang berubah-ubah karektarnya mengikut kesesuaian isu pada episod tersebut. Selebriti undangan pula akan melakonkan watak sampingan.
Norzeha menambah, “Pujian harus diberikan kepada Nabil atas keberanian beliau mengambil inisiatif untuk menghidupkan kembali sitkom dalam arena seni hiburan di Malaysia. Meskipun terjun ke dunia hiburan sebagai seorang pelawak, Nabil dilihat tidak gentar untuk mencuba sesuatu yang baru seperti bidang pengacaraan dan lakonan. Kali ini, menerusi program Bas Stop! ini, beliau terbabit dalam kerja-kerja di belakang tabir pula apabila menggalas tanggungjawab selaku penerbit dan penglibatan secara langsung dalam penulisan skrip.
Selain dapat menarik minat penonton masa kini terhadap program berkonsepkan sitkom, penonton juga secara tidak langsung dapat manfaat daripada isu yang diketengahkan. Justeru tu, kami sentiasa mengalu-alukan buah fikiran yang bernas untuk disajikan kepada penonton kami. Apa yang penting, selain daripada kandungan, program tersebut haruslah mempunyai daya tarikannya yang tersendiri seperti program Bas Stop! ini.”
Jangan lupa saksikan program sitkom terbaru, Bas Stop! yang akan bersiaran pada setiap hari Jumaat mulai 9 Jun 2017 pada jam 11.00 malam di saluran Astro Warna (132) dan Warna HD (saluran 124) serta di aplikasi Astro Go dan on demand. Selamat menonton!