Program travelog “Destinasi Agung” bakal membawa penonton Radio Televisyen Malaysia (RTM) sepanjang Ramadan ini menjelajah dan memperlihatkan keunikan seni bina masjid selain turut dikongsikan sejarah dan makam yang terdapat di situ.
Khusus buat tatapan penonton setia TV1, “Destinasi Agung” disiarkan bermula 27 Mei ini, setiap Rabu hingga Sabtu, pukul 4.30 petang ini menampilkan pengacara Alif AF akan menjelajah ke 26 buah masjid secara backpakers juga menceritakan tentang sejarah penubuhan serta keunikan aktiviti yang dijalankan di masjid tersebut.
Travelog Destinasi Agung Dekati Masjid Seluruh Negara, Sepanjang Ramadan Ini di TV1
13 episod ini mendekati dua masjid di setiap negeri dan banyak perkongsian menarik dapat diketahui penonton. Pengacara Alif memulakan rancangan travelog dengan menjelajah negeri Perlis. Masjid pertama yang dikunjungi beliau ialah di Masjid Alwi, Kangar bercirikan Moghul Klasik. Antara kemudahan yang disediakan ialah tandas OKU yang jarang terdapat di masjid-masjid lain. Masjid Alwi diiktiraf sebagai Warisan Negara oleh Kementerian Warisan Negara. Masjid kedua yang dikunjungi Aliff ialah Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis yang siap dibina pada tahun 2016. Ianya juga digelar sebagai Masjid Terapung kerana lokasinya di pantai Kuala Perlis.
Alif kemudiannya menjelajah negeri Kedah meninjau 2 buah masjid dimulakan dengan Masjid Zahir yang terkenal di Malaysia dan dunia. Masjid Zahir merupakan masjid yang tercantik di Malaysia dan ke 4 tercantik di dunia. Pelbagai aktiviti seperti ceramah, khatam Al-Quran, derma darah, rumah musafir dan kemudahan koperasi disediakan. Masjid Lama Pengkalan Kakap di kawasan Lembah Bujang, Merbok juga dikunjungi Alif yang telah berusia melebihi 200 tahun.
Seterusnya jelajah tiba di negeri Pulau Pinang dan masjid pertama yang dikunjungi Masjid Kapitan Keling, Georgetown yang tertua dan berusia 200 tahun. Alif meneruskan pengembaraan ke Tanjung Bunga untuk melawat Masjid Terapung yang mempunyai 2 tingkat serta menara azan setinggi 7 tingkat. Aktiviti membudayakan al-Quran serta kelas agama dijalankan setiap hari yang menjadi antara aktiviti utama masjid tersebut.
Di Kuala Kangsar, Perak, Alif melawat Masjid Ihsaniah Iskandariah Kampung Kuala Dal, Padang Rengas terletak kira-kira 4.8 kilometer dari Bandar Diraja Kuala Kangsar. Aliff meneruskan lawatan ke masjid Ubudiah Bukit Chandan yang mempunyai reka bentuk yang cantik terutama di bahagian kubah yang berwarna keemasan dan dirikan pada tahun 1913.
Episod rancangan kali ini mengunjungi Masjid Muhammadi, Kota Bharu, Kelantan. Kelantan juga dikenali sebagai negeri Serambi Mekah kerana pengajian agama yang dipraktikkan di masjid tersebut adalah sama dengan yang diajar di Mekah. Masjid Muhammadi juga merupakan masjid kesayangan Baginda al-Sultan Kelantan, Sultan Muhammad ke-V yang selalu berangkat menunaikan solat fardhu. Seterusnya Aliff berkunjung ke Machang melawat Masjid Tok Pulai Chondong yang masih tegap dan kukuh berdiri meskipun sudah berusia 154 tahun.
Terengganu pula mengetengahkan Masjid Ulul Albab, Jerteh sebagai masjid pilihan. Ianya juga dikenali dengan nama Masjid Kayu di kalangan masyarakat tempatan dan menjadi tarikan pelancong. Aliff meneruskan perjalanan ke Kemaman dan melawat Masjid Lama Kampung Tuan yang sudah berusia 185 tahun.
Masjid Sultan Ahmad Shah, Kuantan, Pahang merupakan masjid pilihan episod seterusnya yang merupakan masjid yang terbesar di Pahang dengan kapasiti seramai 10,000 jemaah masjid. Aliff kemudiannya berkunjung ke Masjid Baru Daerah Temerloh yang mula dibina pada tahun 2014 dan disiapkan pada 2016, mampu menampung seramai 3500 orang jemaah. Antara program terbaru yang dianjurkan di masjid tersebut ialah Program Haji Cilik yang mendapat sambutan memberangsangkan.
Destinasi untuk episod berikutnya ke Masjid Sultan Ibrahim di Muar, Johor yang juga dikenali sebagai Masjid Kubur kerana terdapat banyak kubur di persekitaran masjid. Aliff kemudiannya berkunjung ke Masjid Sultan Ismail di seberang sungai Muar berhadapan dengan Masjid Sultan Ibrahim. Masjid Sultan Ismail ini dikenali juga sebagai Masjid Sultan Ibrahim 2 disebabkan reka bentuknya mirip Masjid Sultan Ibrahim.
Alif berkunjung ke Masjid Tengkera di Melaka Tengah, Melaka. Masjid ini juga adalah masjid yang kedua tertua di Malaysia selepas Masjid Kampung Hulu di Melaka. Alif kemudian mengunjungi Masjid Cina Negeri Melaka boleh memuatkan jemaah seramai 2000 orang dalam satu masa. Reka bentuk masjid dipengaruhi seni bina dari masjid-masjid di China khususnya di daerah Beijing, Shanghai dan Xi’an.
Destinasi berikutnya Masjid Bandar Baru Senawang yang siap dibina pada tahun 2004. Masjid ini pernah menjadi Johan Masjid Contoh peringkat negeri suatu ketika dahulu. Pelbagai aktiviti yang juga melibatkan penyertaan para belia seperti pertandingan memanah, lukis dan warna, forum perdana serta sambutan Maulidur Rasul. Masjid Jamek Seremban merupakan destinasi kedua Alif yang merupakan masjid tertua di Negeri Sembilan dan berusia lebih 100 tahun.
Aliff meneruskan pengembaraan menuju ke destinasi seterusnya Masjid Parit 4, Sungai Haji Dorani yang dibina pada tahun 2004 dan berkapasiti seramai 800 orang jemaah. Persekitaran masjid ini dikelilingi dengan suasana nyaman sawah padi manakala dinding serta tingkap masjid dihias dengan lukisan khat yang cukup cantik dan mengagumkan. Aliff kemudiannya melawat Masjid Al-Khairiyah, Batu Caves, Gombak yang pernah mendapat gelaran Masjid Terbaik Peringkat Negeri Selangor selama 3 tahun berdasarkan kepada prestasi pengurusan dan aktiviti yang dijalankan.
Destinasi yang ditujui Aliff dalam episod seterusnya Masjid Jamek Kuala Lumpur. Masjid tersebut siap dibina pada tahun 1908 dan terletak di lokasi pertemuan Sungai Gombak dan Sungai Klang. Masjid tersebut berusia lebih dari 100 tahun dan merupakan masjid tertua di Kuala Lumpur. Seterusnya Aliff berkunjung ke Masjid Muadz Bin Jabal, Setiawangsa yang siap dibina pada tahun 1998. Antara majlis agama yang besar pernah diadakan ialah ceramah dari ulama jemputan yang terkenal, Habib Umar.
Episod akhir Aliff berkunjung ke Kuching, Sarawak untuk melawat Masjid Bahagian Kuching yang merupakan masjid pertama dan tertua di Sarawak. Ia dibina pada tahun 1847 berlokasi di sebelah Sungai Sarawak dengan reka bentuk yang ringkas menggunakan kayu. Aliff kemudiannya mengunjungi Masjid Darul Hana yang terletak di Kampung Seberang Hilir.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.