Memetik berita dari Harian Metro yang disiarkan pada hari ini. Ada yang kata blogger tu Budiey. Setakat ni, Budiey tak keluarkan apa2 berita atau ulasan kat blog ni. Apa-apa pun, harap kedua artis ni berdamai la ya. Puasa dah nak dekat ni. Tak elok gaduh-gaduh.
Syarikat Glass Go Media yang juga penganjur program Fenomena Aidilfitri mengaku bertanggungjawab atas insiden pertelingkahan yang berlaku di antara selebriti popular Nora Danish dan Fasha Sandha, semalam.
Pengarahnya, Amiruddin Rizuan Ali berkata, sebagai penganjur, tindakan pihaknya memaklumkan kononnya Nora tidak mahu Fasha turut hadir di majlis dilakukan atas keputusan sendiri dan bukan atas arahan Nora atau sesiapa.
“Sebagai penganjur, saya cuba untuk mengelak perkara tidak diingini berlaku dan itu adalah kerana kekeliruan saya sendiri,” katanya.
Amiruddin juga menjelaskan bahawa tiada sebarang kenyataan tarik diri daripada Nora.
“Pihak Nora tidak mengeluarkan kenyataan untuk menarik diri dari acara terbabit dan tidak berlaku sebarang insiden menghalau atau sebagainya,” katanya.
Menurut Amiruddin, dia akan bertemu sendiri dengan kedua-dua belah pihak bagi menyelesaikan perkara itu.
“Saya sudah bertemu dengan pihak Nora dan sedang berusaha untuk berjumpa dengan Fasha bagi membetulkan keadaan.
“Saya sekali lagi memohon maaf kepada Nora dan Fasha kerana menimbulkan konflik ini,” katanya.
Sementara itu, Nora ketika ditemui berkata, dia sudah memfailkan tuntutan saman fitnah terhadap Fasha dan seorang penulis blog kerana apa yang berlaku memberi kesan kepadanya terutama perniagaan.
“Saya perlu menjaga maruah diri, keluarga dan keluarga mentua. Lebih menyedihkan, insiden yang berlaku memberi kesan buruk kepada perniagaan saya.
“Peminat saya juga ada yang sudah beralih arah, sekali gus memberikan pelbagai komen di laman sosial,” katanya.
Ditanya sama ada dia menyalahkan pihak penganjur di atas apa yang berlaku, Nora memaklumkan dia tiada sebarang masalah dengan mereka.
“Saya faham apa yang dilakukan penganjur kerana mereka tentunya mahukan majlis yang dapat berjalan dengan lancar.
“Saya sendiri sudah memaafkan pihak Glass Go Media, namun tindakan undang-undang yang saya ambil kepada pihak yang memfitnah saya adalah kerana tindakannya yang melulu tanpa usul periksa.
“Penulis blog yang menulis mengenai insiden itu juga nampak berat sebelah, sekali gus mencalarkan reputasi saya,” katanya.
Dalam pada itu, Amiruddin berkata, pihaknya akan mengadakan sidang media kedua berkemungkinan bersama Fasha bagi menjernihkan keadaan dalam masa terdekat ini.
Fasha menerusi Instagramnya semalam memuat naik status yang mendakwa ada artis yang jenamanya turut terbabit dalam pertunjukan fesyen itu akan menarik diri sekiranya Fasha hadir.
“Pada mulanya pihak pengurusan jenama artis itu tidak mahu saya hadir ke majlis itu, tetapi mereka kemudian menukar fikiran dan membenarkan saya hadir.
“Saya benar-benar keliru dan kusut dengan situasi terbabit,” tulisnya di Instagram.
Sumber: Harian Metro