Kejayaan filem MARVEL’S GUARDIANS OF THE GALAXY pada 2014 secara tidak langsung menyuntik semangat, lebih-lebih lagi buat pengarah filem berkenaan, James Gunn untuk meneruskan sekuelnya.
Masih diarahkan oleh Gunn dan diterbitkan Kevin Feige, Guardians of the Galaxy Vol. 2 turut menyaksikan Gunn menulis sendiri skrip filem ini. berbanding bersama Nicole Perlman dalam filem pertama.
Sejak ditayangkan mulai 27 April lalu, filem MARVEL’S GUARDIANS OF THE GALAXY VOL.2 mendapat pujian pelbagai pihak malah majoriti pengikut setia karya itu berpuas hati dengan jalan ceritanya.
Masakan tidak, selitan emosi dalam filem terbabit meletakkan rendisi kedua Guardians Of The Galaxy dalam kelas tersendiri dan boleh dianggap antara produk terbitan Marvel terbaik pernah dihasilkan.
Lebih istimewa, kekuatan skrip yang tidak melupakan aspek kemanusiaan terutama perhubungan kekeluargaan menjadikan naskhah arahan James Gunn ini bertenaga dan sarat emosi.
Gunn tidak menafikan ramai penonton menantikan kesinambungan penjelajahan Star-Lord atau Peter Quill bersama teman wiranya.
“Saya percaya penonton tidak sabar melihat peranan setiap adiwira dalam filem ini. Proses menyiapkan filem ini berjalan dengan lancar tetapi perkara paling sukar bagi saya adalah memilih jalan cerita yang tepat memandangkan ada terlalu banyak idea. Pada waktu itu, saya tidak pasti sama ada filem ini perlu diteruskan. Namun, saya berpendapat kisah yang membabitkan bapa dan anak dalam filem ini wajar diceritakan lebih lanjut.”
Menurut Gunn lagi, ilham menghasilkan sekuel ini diperoleh pada hari pertama penggambaran filem pertama yang diterbitkan pada 2014.
Mengimbau kembali naskhah pertama, ia memaparkan Quill yang kematian ibu dipelihara lanun, Yondu Udonta sehingga menjadi penjaga angkasa lepas manakala dalam karya terbaru pula pemuda itu berusaha menjejaki bapa kandungnya.
Selepas pertarungan menewaskan Abilisk yang menyerang Sovereign, Quill, Gamora, Drax, Rocket Raccoon dan Baby Groot meninggalkan tempat berkenaan. Namun, mereka diekori sejumlah drone yang dihantar Ayesha, ketua Sovereign.
Ketika tercetusnya pertempuran di angkasa, mereka diselamatkan sebuah kapal angkasa yang dikemudi Ego. Lelaki itu kemudian memperkenalkan dirinya sebagai bapa kandung Quill yang juga penjaga dan pencipta planet Ego.
Mengulas identiti bapa Qull yang diubah, Gunn memberitahu dia sengaja berbuat demikian bagi mencari kelainan selain menambah elemen dramatik.
“Saya tidak suka karakter bapa Quill dalam komik. Saya mendapati hubungan bapa dan anak yang dipaparkan biasa saja untuk diangkat ke layar lebar. Lagipun, jalan ceritanya seakan-akan sama dengan Star Wars apabila si bapa adalah penjaga sebuah planet. Saya perlu tampilkan kelainan dan suka dengan perubahan yang dilakukan.”
Sekuel filem yang masih mengekalkan pelakon utamanya seperti Chris Pratt, Zoe Saldana, Dave Bautista, Vin Diesel, ini ternyata dinantikan apabila teasernya berjaya memecah rekod baru sekali gus mencipta sejarah bagi Studio Marvel.
Teaser Guardians of the Galaxy Vol. 2 yang menyaksikan aksi dan perwatakan baru yang lebih bertenaga dan ‘hidup’ ditambah pula gelagat lucu Baby Groot.
Menurut portal The Hollywood Reporter, hanya dalam masa 24 jam ditayangkan, teaser itu telah ditonton sebanyak 81 juta kali dan mengatasi jumlah tontonan trailer Captain America: Civil War.
Gunn berkata, proses produksi memakan masa 10 bulan termasuk pre-produksi dan penggambaran. Bermula Februari tahun lalu, mereka menghabiskan masa selama dua bulan untuk mencari dan menyiapkan prop.
“Kami membuat persiapan yang cukup teliti sebelum penggambaran bermula termasuk mendapatkan beberapa barang di eBay. Ada beberapa perubahan dan mungkin tidak sama seperti komik.Bagaimanapun perubahan itu tidaklah merosakkan jalan cerita filem ini. Tonton dulu dan anda akan tahu kenapa saya mengambil keputusan mengubah sedikit jalan ceritanya. Filem ini juga bukan mengenai aksi semata-mata, tapi saya terapkan moral dan mesej berguna untuk dihayati bersama.”
Menurut Gunn lagi, dia tidak berdepan sebarang masalah sepanjang penggambaran dan pelakon memberikan kerjasama yang baik. Beliau juga menerima apa saja idea yang dilontarkan oleh pelakon ketika proses penggambaran.
“Filem ini bukan idea fikiran saya seorang, saya benarkan mereka berkongsinya dan apabila ada yang sesuai, saya gunakan. Saya bekerja bersama mereka yang profesional dan komited, jadi ia tidak sukar.”
Filem ini memulakan penggambaran di Pinewood Atlanta Studios di Fayette County, Georgia. Katanya, kebanyakan krew adalah mereka yang terlibat dengan filem pertama seperti sinematografi, Ben Davis dan pereka produksi, Charles Wood. Gunn juga mahu penonton terhibur sepanjang tontonan.
“Jangan tinggalkan kerusi anda sehingga kredit akhir tamat kerana ada sesuatu di penghujungnya,”
Berikutan sambutan luar biasa terhadap Guardians of the Galaxy pada 2014 dan Jurassic World pada 2015, aktor Chris Pratt berjaya meletakkan dirinya sebagai pelakon gred A. Pratt yang membawa watak Peter Quill atau panggilan Star Lord sekali lagi mengetuai kumpulan pelindung galaksi itu.
Bersyukur dengan apa yang dimiliki hari ini, Pratt tidak menyangka wataknya sebagai Pete Quill atau Star Lord dalam sekuel Guardians of the Galaxy Vol. 2 disenangi penonton.
“Saya sedar dengan kejayaan Guardians of The Galaxy dan Jurassic World, penonton mula meletakkan harapan tinggi. Bagi menghargai sokongan peminat, saya akan terus melakonkan watak aksi.”
Bercerita mengenai wataknya dalam Guardians of The Galaxy Vol. 2, Pratt berkata, kali ini dia perlu berdepan situasi yang menyentuh emosi.
“Jatuh cinta adalah perkara paling mudah dan antara detik yang selalu kami bincangkan dalam filem ini. Sejujurnya, cinta bukan mengenai tiba di satu destinasi semata-mata tetapi ia lebih kepada perjalanan.”
Tambah Pratt, bagi memastikan karakter anak dan bapa meninggalkan impak yang besar, dia mencadangkan watak Ego dibintangi aktor ternama Kurt Rusell.
“Saya tidak boleh membayangkan wajah orang lain selain Rusell. Dia pelakon paling layak untuk bawa watak Ego. Kami serasi sebagai bapa dan anak. Malah saya dapati kami mempunyai persamaan dengan watak yang dilakonkan. Bagi saya Rusell pelakon yang hebat.”
Sementara itu pelakon jelita Zoe Saldana menyifatkan kejayaan Guardians Of The Galaxy adalah kerana kerjasama baik di antara semua pelakon dan kru.
Dia yang membawa watak Gamora berkata, semua yang terbabit dalam pembikinan filem itu sangat komited malah hubungan mereka rapat bak keluarga.
“Sepanjang menjalani penggambaran filem ini, saya sangat teruja kerana dikelilingi kru produksi yang baik dan ‘sporting’. Apa yang boleh saya katakan, filem ini dihasilkan dengan teliti dan kreatif. Saya tak nampak sebarang kelemahan dalam filem ini,”
Dalam filem ini, Zoe terpaksa menjalani rutin solekan selama empat jam bagi menghidupkan karakter Gamora berwarna hijau.
Bukan itu saja, apabila dia menyertai team Guardians of the Galaxy pada 2014, wataknya sebagai Gamora telah melonjakkan lagi namanya.
Kini wanita berusia 38 tahun ini kembali sebagai si hijau bernama Gamora menerusi Guardians of the Galaxy vol. 2 yang akan menemui penonton di Malaysia pada 27 April ini.
Berkongsi penglibatannya dalam filem ini, Saldana berkata, dia teruja ketika kembali menyertai penggambaran filem tersebut Februari tahun lalu.
“Saya sangat teruja seperti pulang ke kampung berjumpa keluarga. Kami ibarat satu keluarga besar dan saya sendiri sangat selesa bersama. Malah, Pengarah,James Gunn adalah seorang yang sangat memberi dorongan serta percaya saya boleh melakukan kebanyakan aksi di dalam filem ini,” katanya.
Saldana juga mengakui, cabaran terbesarnya adalah menurunkan berat badan selepas melahirkan kembar, Cy Aridio dan Bowie Ezio Perego-Saldana.
“Walaupun mereka lahir pada November 2014, namun saya mengambil masa lama untuk menghilangkan berat badan sebanyak 30 kilogram. Apabila saya mendapat tahu Guardians of the Galaxy akan dibuat filem kedua, saya mahu mendapat berat badan lama saya,” katanya.
Guardians of the Galaxy Vol. 2 yang akan menemui penonton di Malaysia pada 27 April depan mengisahkan Peter Quill a.k.a Star-Lord kembali mengetuai Guardians of the Galaxy dalam satu misi menyelamatkan galaksi yang diancam oleh kuasa jahat Thanos. Rahsia di sebalik asal-usul bapa Peter juga akan terbongkar.
Sudah menonton filem ini? Apa pendapat anda pula?