Drama pertama bagi slot Seramadi di TV3 iaitu Misteri Wan Peah berjaya mencatat 10 Juta tontonan bagi rating terkumpul untuk semua episod. Manakala rating untuk satu jam siaran dari pukul 9.00 malam sehingga 10.00 malam pada episod akhir telah mencecah 3 juta penonton (sumber: Nielsen Audience Measurement).
Percubaan TV3 untuk memperkenalkan slot Seramedi ini ternyata mendapat respon yang sangat baik oleh para penonton. Elemen seram dan komedi yang menjadi nadi drama ini telah mengumpulkan peminatnya yang tersendiri, mereka juga terhibur dengan keletah para pelakon yang telah menjayakan drama 20 episod ini. Drama terbitan JS Pictures ini mula bersiaran pada 13 Februari dan tamat pada 31 Mac lalu ini dilakonkan oleh Acap Tokan, Zee Tokan, Faiz Tapaw, Saqia Dahuri, Indah Emerlda DFKL, Sweet Farhana, Sherry Al-Hadad, Ariff Aziz, Delimawati dan Usop Wilcha.
Menurut pengarah Misteri Wan Peah, Azman Hj. Yahya atau Jinggo berkata “Pertama kali saya bersyukur pada TV3 kerana memberi kepercayaan kepada JS Pictures untuk menjadi pelopor dan menjayakan slot seramedi yang baharu diperkenalkan ini. Semestinya saya berbangga apabila produk saya diterima, dinilai dan dihargai oleh masyarakat. Pada mulanya saya juga ragu-ragu samada drama ini akan mendapat sambutan atau tidak lebih-lebih lagi saya membariskan pelakon baharu sebagai pelakon utama iaitu Acap, Zee dan Faiz. Ternyata, walaupun mereka tidak mempunyai pakej seperti perumpamaan yang saya berikan kepada mereka iaitu “muka tak pergi, lakonan memberi”, mereka telah membawakan watak mereka dengan berkesan dan berjaya memikat hati penonton. Drama ini pasti tidak menjadi tanpa kerjasama dan komitmen yang sangat baik oleh kesemua pelakon yang telah menjayakan Misteri Wan Peah ini.
Sebagai penggiat industri saya mahu melahirkan lebih banyak bakat baharu. Kerana itu juga, saya dan Sheila Rusly selaku penerbit, bertanggungjawab untuk mencari bakat yang seimbang dan tidak hanya bersandarkan pada rupa yang cantik atau kacak semata-mata. Mereka juga harus diberikan peluang dan saya gembira mereka diterima oleh para penonton.” ujarnya lagi.
Kisah Misteri Wan Peah ini bermula apabila tiga rakan karib iaitu Yeh Kumbang (Acap Tokan), Li Kelubi (Zee Tokan) dan Ghani Gagap (Faiz Tapaw) pernah disergah oleh Wan Peah sewaktu mereka kecil sehingga mereka jatuh sakit. Peristiwa itu masih menghantui mereka sehingga mereka dewasa. Selama 12 tahun orang kampung tidak melihat kelibat Wan Peah, sehingga mereka berfikir bahawa Wan Peah sudah meninggal dunia. Tiada siapa peduli kerana mereka juga tidak berani untuk mendekati rumah Wan Peah. Kecoh seluruh kampung apabila kelibat Wan Peah kembali mengganggu orang kampung setelah kemunculan Cik Siti (Sasqia Dahuri), bersama anaknya, Aisyah (Indah Emerlda) dan adiknya Nurin (Sweet Farhana) yang baru berpindah bersebelahan rumah Wan Peah.
Kerana itu juga, Cik Siti tidak disukai oleh Cikgu Zaiton (Sherry) dan mula menjaja cerita Cik Siti diganggu Wan Peah hanya untuk meraih perhatian orang kampung. Lebih-lebih lagi apabila jejaka pujaan Cikgu Zaiton iaitu Farhan (Ariff Aziz) anak kepada ketua kampung, Tok Hashim (Usop Wilcha) berkawan rapat dengan Cik Siti. Kebenaran mengenai misteri Wan peah akhirnya telah terjawab, segala tuduhan yang dilemparkan hanyalah kerana dendam Tok Hashim pada Wan Peah kerana cinta mereka yang tidak kesampaian dan juga fitnah yang ditabur oleh isterinya sendiri, Mak Limah (Delimawati).
Selepas tamatnya drama ini, drama slot Samarinda Menanti Februari yang dibarisi pelakon hebat seperti Zul Ariffin, Fatiya Latif, Afiq Muiz dan Dato’ Rahim Razali akan mengambil alih slot Seramedi setiap hari Isnin hingga Rabu, jam 10 malam.