Tersergam di tengah-tengah bandaraya Jakarta, hotel Aryaduta Jakarta berdiri megah menghiasi latar belakang bulatan di Tugu Tani di kawasan Menteng. Berdekatan dengan daerah yang terkenal dengan gerai serta makanan jalanan, hotel berjenama tempatan ini terus menjadi tumpuan mereka yang ingin bermalam dalam suasana mewah dan selesa, setaraf dengan jenama serta perkhidmatan hotel-hotel antarabangsa yang lain.
Hotel Aryaduta Jakarta telah lama juga membuka pintunya dan merupakan di antara pilihan terulung bagi tempat penginapan serta penganjuran mesyuarat-mesyuarat terpenting di ibunegara Indonesia ini. Sering menjadi tumpuan komuniti elit serta para profesional antarabangsa, hotel bertaraf lima bintang ini tersenarai sebagai salah satu hotel paling mewah di Jakarta.
Hotel ini mempunyai 304 buah bilik yang luas termasuk beberapa bilik suite yang hebat. Kesemua bilik-biliknya diberi sentuhan gaya klasik dan kontemporari bagi memenuhi keselesaan setiap tamu yang datang. Senireka dalaman serta hiasannya juga masih menerapkan unsur-unsur warisan Asia jenama tersebut selain sedikit penggabungan elemen tradisional Indonesia. Sejajar dengan tarafnya sebagai sebuah hotel lima bintang yang eksklusif, setiap bilik dilengkapi dengan kemudahan teknologi tercanggih yang merangkumi sambungan khas buat komputer serta iPod, TV LCD 42 inci, dan macam-macam lagi. Kelengkapan bilik mandi juga menggunakan barangan berkualiti tinggi serta barangan berjenama mewah yang lain.
Bagi tujuan menjamu selera pula, Aryaduta Jakarta menawarkan ajnas pilihan untuk bersantap. Mereka mempersembahkan beberapa buah tempat makan yang lain. Ini termasuklah JP Bistro: bagi tujuan sarapan, makan tengah hari dan makan malam, Ambiente: sebuah restoran Itali yang menghidangkan menu asli Itali, serta Restoran Shima yang menyajikan makanan Jepun terbaik. Tidak dilupakan juga adalah The Tavern German Restaurant & Pub bagi mereka yang ingin menikmati minuman sambil bersantai dengan alunan muzik, serta Pool Cafe yang terletak di kolam renang buat mereka yang ingin dikelilingi ketenangan selepas berenang atau bersenam di gimnasium.
Selain kolam renangnya dan juga pusat kesihatan serta senaman, hotel ini turut dilengkapi dengan ruangan mesyuarat buat pelbagai kegunaan. Ia juga sering menjadi pilihan untuk penganjuran acara-acara besar seperti perkahwinan dan seumpamanya.
Dengan pemandangan terhebat bandaraya Jakarta dari setiap jengukan jendela, hotel ini memang sesuai menjadi tempat penginapan buat mereka yang menghargai perkhidmatan berkualiti tinggi. Sekiranya berpeluang ke Jakarta, bermalamlah di Aryaduta Jakarta kerana pengalamannya tidak akan anda lupakan!
Suasana Mewah dan Megah di Aryaduta Jakarta, Tugu Tani
oleh Shah Shamshiri