Merupakan satu bentuk kembara pelancongan yang berkos rendah dan bebas, aktiviti backpacking seolah menjadi trend masa kini terutama di kalangan remaja.
Kebiasaannya backpacking dilakukan oleh mereka yang tidak mahu berbelanja lebih untuk hotel dan kenderaan peribadi serta mereka yang sukakan cabaran. Namun realitinya aktiviti ini lebih berkonsepkan pendidikan kerana para backpacker yang ingin merasai destinasi sebenar dan bukannya hanya percutian semata-mata.
Sharifah Amani Hos Travelog From France To Italy di TV1
Justeru sebagai berkongsi aktiviti mencabar ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan travelog bertajuk “From France to Italy” yang memaparkan perjalanan pelakon terkenal Sharifah Amani ke beberapa destinasi menarik di negara Perancis dan Itali.
Menariknya program bersiaran mulai 4 Februari ini, setiap Sabtu, pukul 2.30 petang di TV1 ini dalam 13 episodnya berkongsi tempat yang jarang didedahkan kepada pelancong Malaysia yang suka melancong kerana kurang mendapat pendedahan di media masa. Setiap episod memaparkan keunikan setiap tempat yang dijelajahi dalam perjalanannya ke setiap destinasi.
Ia memaparkan keseluruhan perjalanan Nani berkelana ke Eropah selama sebulan. Perjalanan Nani bermula sebaik sahaja tiba di lapangan terbang Nice di Perancis. Lokasi seterusnya, Saint Tropez.
Terkenal sebagai bandar pelabuhan kapal layar, ini kali kedua Nani ke sini. Sebagai seorang pelakon, pastinya Nani teruja nak ke Cannes. Bandar yang menghimpun bintang-bintang terkenal hampir setiap tahun dalam Festival Filem Cannes, antara festival filem paling berprestij di dunia.
Selesai di kawasan French Riviera, Nani menuju ke Utara Perancis, menuju kawasan pinggir gunung. Sepanjang di Perancis, Chamonix memang lokasi yang tak patut dilepaskan. Ketika di Chamonix, Nani tidak mahu melepaskan peluang sudah berada di sini, Nani naik kereta kabel menuju salah satu puncak.
Berhampiran Chamonix, ada sebuah lagi bandar yang berada di kaki pergunungan Alps iaitu Morzine. Nani ke sana untuk mencuba beberapa aktiviti yang menarik.
Dalam banyak-banyak lokasi, lokasi ini yang paling Nani teruja. Cinque Terre. Ia lima buah kampung yang setiap satu dihubungkan dengan menaiki keretapi. Nani kemudian ke Lake Como.
Nani memilih kawasan ini sebagai lokasi seterusnya kerana terpikat dengan keindahan pemandangan di tasik ini. Tasik luas dengan perkampungan yang tenang dan unik. Nani kemudiannya ke kota Romeo dan Juliet, kota Verona.
Lokasi terakhir kembara Nani kali ni, adalah ke kota cinta, Venice. Ini lokasi paling lama Nani dalam kembara kali ini. Hampir seminggu Nani berada di sini. Sempat juga Nani ke Murano, iaitu pulau yang terkenal sebagai pengeluar barangan kaca terkenal dunia.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.