Pelakon dan pengacara Zulin Aziz mendakwa dirinya menjadi mangsa keadaan apabila video pergaduhan membabitkan peminatnya dalam pawagam menjadi viral.
Menurut Zulin, dia langsung tidak tahu menahu mengenai video itu namun semalam salah seorang peminatnya mendakwa mereka diminta oleh individu tidak dikenali untuk berbuat demikian bagi mempromosikan filem terbaharu lakonannya, Bo-Peng.
“Sumpah demi Allah saya tidak tahu apa-apa mengenai video terbabit sehinggalah peminat saya memberitahu mereka diminta untuk berbuat demikian.
“Saya kesal apabila ada pihak sanggup mengambil kesempatan mengenai bentuk fizikal dan rupa paras saya bagi tujuan promosi.
“Bagi saya, perkara seperti ini sensitif untuk diperkatakan sesiapa pun. Saya harap penyebar video ini tampil ke depan dan bertanggungjawab di atas perbuatannya.
“Video ini hanya memburukkan nama saya dan peminat. Kalau betul nak buat promosi, mintalah izin dan pendapat terlebih dahulu. Ini main buat saja tanpa memikirkan sensitiviti orang lain,” katanya.
Semalam video berdurasi hampir seminit yang dirakam di sebuah panggung wayang memaparkan peminat Zulin bergaduh dengan beberapa individu yang menghina pelakon itu.
Zulin berkata, dia ada menghubungi pihak produksi filem berkenaan bagi mendapatkan penjelasan dan mencari dalangnya namun tiada sesiapa yang mengaku.
“Apabila saya tanya mereka kata tidak tahu apa-apa.
“Nak kata promosi kurang, rasanya semua pelakon sudah memberikan komitmen untuk sesi ramah mesra bersama peminat. Apa lagi yang tak cukup?” katanya.
Tambah Zulin, apabila perkara ini sampai ke pengetahuannya, dia tidak melatah tetapi kecewa apabila sering dikaitkan dengan isu yang kurang enak didengar.
“Saya tidak marah kerana faham asam garam dunia hiburan. Sudah lapan tahun saya berada dalam bidang ini.
“Cuma, saya kesal apabila ada pihak sengaja ambil kesempatan terhadap fizikal saya yang besar. Kebelakangan ini netizen menghina bentuk badan saya malah ada yang mendakwa saya mempunyai ‘anak ikan’,” katanya.
Sumber: Harian Metro