Primeworks Distribution mengumumkan filem pertama Malaysia yang menggabungkan animasi 3D dan aksi hidup yang diterbitkan oleh Les’ Copaque Production dan KRU Studios ini bakal ditayangkan di 121 pawagam seluruh Malaysia dan Brunei bermula hari ini.
Upin & Ipin Jeng, Jeng, Jeng! mencipta sejarah sebagai filem tempatan pertama yang ditayangkan dengan jumlah pawagam yang terbanyak pada minggu pembukaan.
Filem UPIN & IPIN JENG, JENG, JENG! Ditayangkan di 121 Pawagam
“Kami sentiasa mencari peluang yang terbaik untuk mengedarkan filem-filem yang kami wakili. Kami juga turut berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada filem Upin & Ipin Jeng, Jeng, Jeng! dalam berkongsi francais kegemaran sekeluarga ini bersama dengan para penonton. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan pawagam kami kerana telah membantu kami untuk merealisasikan peluang ini,” kata Marini Ramlan, Pengurus Besar Inovasi & Pengedaran, Primeworks Distribution.
Filem ini dibintangi oleh Asyiela Putri (suara Upin & Ipin), Puteri Balqis, Awie, Sara Ali, Remy Ishak dan Gambit Saifullah dan ia menceritakan tentang seorang kanak-kanak perempuan, Balqis yang berusia 10 tahun. Balqis mempunyai keupayaan unik yang membolehkannya untuk bercakap dengan karakter kartun kegemarannya, Upin dan Ipin.
Tetapi kegembiraan di dalam hidup Balqis pudar apabila rumah anak yatim kesayangannya bakal dirampas oleh seorang ahli perniagaan yang tidak berhati perut. Balqis meminta bantuan kawan-kawannya serta Upin dan Ipin untuk mencari bintang rock yang dahulunya terkenal, Awie bagi menolong mereka untuk menyelamatkan rumah anak yatim tersebut.
Untuk maklumat lanjut mengenai filem ini dan senarai pawagam, layari akaun media sosial Primeworks Distribution di https://www.facebook.com/primeworks.distribution dan @Primeworks.distibution di Instagram. Jangan lupa juga untuk melayari laman sosial rasmi Upin & Ipin Jeng, Jeng, Jeng! di www.facebook.com/upinipinofficial.