Jangan simpan perasaan benci terhadap orang kerana lambat-laun boleh membibitkan perasaan sayang dan cinta. Siapa pula sangka, masakan juga boleh menjadi senjata untuk memikat hati seseorang! Itulah yang terjadi dalam drama bersiri terbaharu Nasi Minyak Kuah Cinta lakonan Nazrief Nazri dan Emma Maembong menerusi slot Dahlia selepas drama Bibik-Bibikku.
Drama yang mengandungi 20 episod ini bakal menemui penonton pada setiap Jumaat hingga Ahad, bermula 9 Oktober 2016 pada jam 6.58 petang. Turut membintangi drama yang penuh dengan unsur lucu dan romantis ini ialah Aishah Ilias, Shah Jaszle, Anas Ridzuan dan Idzham Ismail.
Nazrief Nazri Bercinta Dengan Emma Maembong dalam DRAMA NASI MINYAK KUAH CINTA
[dropcap]D[/dropcap]rama ini mengisahkan tentang Azka (Nazrief Nazri), seorang wartawan di sebuah stesen televisyen, secara tidak sengaja telah bertemu dengan Mia (Emma Maembong) di dalam sebuah bas ketika ingin bercuti pulang ke kampung. Mia baru sahaja menamatkan pengajian di peringkat ijazah dalam bidang komunikasi massa.
Ketika di dalam bas, Azka dan Mia mendapati nombor tempat duduk mereka sama. Oleh kerana kedua-duanya mempunyai tahap ego yang tinggi, maka tercetuslah pertengkaran antara mereka. Akhirnya, mereka berdua terpaksa menaiki bas yang berlainan setelah dihalau keluar oleh pemandu bas tersebut. Kedua-dua terpaksa mengambil bas di waktu petang. Mia menyalahkan Azka kerana tidak sempat menghantar ibu dan bapanya ke lapangan terbang untuk mengerjakan umrah.
[pullquote align=”right”]Drama bersiri terbaharu Nasi Minyak Kuah Cinta lakonan Nazrief Nazri dan Emma Maembong menemui penonton pada setiap Jumaat hingga Ahad, bermula 9 Oktober 2016 pada jam 6.58 petang.[/pullquote]
‘Drama’ antara mereka berdua berlanjutan apabila Mia mula menjalani latihan praktikal di stesen televisyen yang sama dengan Azka. Ini memberi peluang kepada Azka untuk membalas dendam terhadap Mia. Azka kurang bertuah dalam percintaan dan telah dua kali putus cinta. Mungkin disebabkan itu Azka agak dingin dengan perempuan dan menyerah soal jodoh kepada ibunya Azizah.
Satu hari, Azka menghantar kereta antik kesayangannya ke bengkel. Suraya (Aishah Ilias) yang merupakan seorang pengasas produk kecantikan, turut menghantar keretanya di bengkel yang sama. Suraya perli kereta Azka yang buruk itu. Azka tidak mengendahkan kata-kata Suraya. Tanpa disangka, Suraya bertemu semula dengan Azka kerana dia ditugaskan untuk membuat liputan produk kecantikan milik Suraya. Ini membuatkan Suraya berasa serba salah dan terus berubah perangai menjadi baik dan bermulut manis.
Di kampung, Azizah telah mengaturkan pertunangan Azka dengan gadis bernama Zulaikha. Pada masa yang sama, ibu dan bapa Mia juga telah mengaturkan jodoh untuk Mia dengan jejaka pilihan mereka bernama Putra. Sekali lagi ibu Azka menyuruh Azka pulang ke kampung untuk bertemu dengan Zulaikha.
Namun, Azka terpaksa pulang sehari selepas tarikh yang ditetapkan ibunya kerana Mia pun bercuti pada hari yang sama. Zulaikha ada meninggalkan nasi minyak dan kuah kari ayam yang dimasaknya untuk Azka. Selepas merasai masakan Zulaikha, Azka mula rasa terpikat lalu dia pun meminta ibunya untuk meminang Zulaikha.
Apa yang tidak diketahui oleh Mia dan Azka adalah mereka sebenarnya merupakan tunang masing-masing. Mia mesra dipanggil ‘Zulaikha’ oleh keluarganya kerana dia kuat menangis waktu kecil dahulu dan nama itu diberi oleh neneknya sebagai ‘pengubat’.
Pada masa yang sama, Mia bertanya tentang Putra kepada ibunya. Dia hanya pernah berbual dengan Putra melalui telefon sahaja. Sudah semestinya perasaan ingin tahu itu semakin kuat. Apakah perasaan Mia dan Putra selepas mendapat tahu bahawa mereka telah bertunang dengan musuh ketat mereka sendiri? Adakah perasaan benci itu akan bertukar menjadi cinta?
Jangan lupa untuk menonton Nasi Minyak Kuah Cinta, setiap hari Jumaat hingga Ahad, pukul 6.58 petang di slot Dahlia, TV3. Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman web www.tv3.com.my dan ikuti juga laman sosial Facebook, Twitter, Youtube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia.