Baru-baru ini telah diadakan satu program Kembara Kemanusiaan Bumi Tsunami Banda Aceh bersama Faizal Tahir yang telah disertai oleh 33 orang peserta. Kembara Kemanusiaan anjuran Usrah Billionaire dengan kerjasama iamFaithmen dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia Cawangan Aceh telah membawakan misinya tersendiri dalam menyantuni anak yatim dan golongan yang memerlukan.
Kembara Kemanusiaan Bumi Tsunami Bersama Faizal Tahir
[dropcap]P[/dropcap]eserta Kembara Kemanusiaan ini selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda Banda Aceh pada 15 September yang lalu telah disambut oleh barisan pimpinan PKPMI Cawangan Aceh.
Selain itu, mereka juga diraikan oleh mahasiswa mahasiswi Malaysia di Rumah Kegiatan Mahasiswa Malaysia di Banda Aceh dalam satu majlis “Sharing Moment Bersama Faizal Tahir.” Ketika majlis ini Faizal Tahir telah berkongsi pengalaman sepanjang beliau melakukan misi kemanusiaan.
[pullquote align=“left”]Perkongsian ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat agar dapat memupuk nilai kemanusiaan dan sikap saling membantu.[/pullquote]
Beliau berharap juga mahasiswa Malaysia yang berada di Banda Aceh menjadi mahasiswa yang mampu berbakti, baik dalam program seperti ini mahupun dalam pelajaran.
Menurutnya lagi, usaha seperti ini perlu diteruskan bagi mereka yang berkemampuan untuk menyalurkan bantuan dalam bentuk apapun kerana islam itu bersaudara selain cuba memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat.
Pada hari kedua misi kemanusiaan ini diteruskan lagi dengan aktiviti bersama anak yatim di Rumah Anak Yatim Serambi Melaka Gampong Neuhun. Di rumah anak yatim ini, kebanyakan dari mereka adalah anak-anak yatim yang telah kehilangan orang tuanya dalam tragedi bencana tsunami 12 tahun yang lalu. Misi bermula dari jam 4.00 petang sehinggan jam 6.45 petang.
Selain melakukan pelbagai aktiviti bersama anak-anak yatim, turut diadakan perkongsian cerita dari salah seorang mangsa tsunami yang telah kehilangan orang tuanya ketika datang tsunami. Turut hadir adalah Ketua Kampung Kompleks Neuhen dan ahli PKPMI Cawangan Aceh dalam menjayakan program.
Faizal Tahir ketika ditemui berkata,
“Misi Kembara Kemanusiaan yang dijalankan ini bukan sahaja menjadi platform persaudaraan dan berkongsi kegembiraan, malahan turut membawa bersama misi bantuan kepada mereka yang kurang berkemampuan. Sebagai saudara seagama, kita sewajarnya mengambil peduli dan membantu samada melalui sumbangan atau setidaknya kita sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka.”
Hari ketiga kembara kemanusiaan bumi tsunami bersama faizal tahir diteruskan lagi dengan melawat kawasan sekitar banda aceh yang merupakan tempat bersejarah kesan tinggalan tsunami yang telah mengorbankan ratusan ribu orang.
“Meskipun ia sudah berlalu hampir 12 tahun, namun kesannya masih lagi terasa hingga ke hari ini,” menurut salah seorang peserta kembara kemanusiaan ini.
Pengarah program yang juga merupakan Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia Di Indonesia Cawangan Aceh berkata, tujuan utama program kembara kemanusiaan ini diadakan adalah untuk memupuk rasa kemanusiaan terhadap insan lain yang serba kekurangan di samping menimbulkan kefahaman dan kesedaran manusiawi kepada peserta khususnya melalui aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan.
Menurutnya, setiap percutian yang dilakukan biarlah menjadi satu ibadah dan bukan perkara yang sia-sia.