Berkongsi kisah yang realitinya berlaku dalam masyarakat kita, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam menghayati sambutan Hari Raya Korban yang masih diraikan menyiarkan sebuah telemovie kisah pengorbanan seorang ibu tunggal dalam membesarkan anak gadisnya.
Ternyata cabaran yang digalas seorang bergelar ibu bukannya mudah apatahlagi bila bergelar ibu tunggal. Tanggungjawab membesarkan anak terutama anak gadis yang baru mahu mengenal dunia sememangnya menuntut kesabaran yang tinggi.
Pengorbanan Ibu Tunggal Mendidik Anak Dalam Telemovie QASEH LEYLA Di TV2
[dropcap]M[/dropcap]enggandingkan pelakon Aida Aris menghayati watak ibu bernama Qaseh di samping Eyka Farhana sebagai Leyla, anaknya, telemovie bertajuk “Qaseh Leyla” arahan Suhaimi Abd Rahman ini mengisi slot popular Citra di TV2 pada 20 September ini, pukul 10.00 malam.
Turut menampilkan pelakon Taufiq Izmir, Alif Hadi dan Zamarul Hisyam, kisahnya berkembang dengan memperkenalkan watak utama bernama Qaseh, seorang ibu tunggal yang mempunyai seorang anak remaja bernama Leyla. Walaupun Qaseh mengajar anak-anak jiran mengaji, namun agak sukar untuk Qaseh membimbing Leyla yang semakin liar sejak berkawan dengan Zek.
Disebabkan merasakan dirinya dikongkong, Leyla telah keluar dari rumah. Qaseh terus mencari untuk memujuk Leyla kembali. Qaseh dibantu oleh anak sahabatnya yang bernama Shafiq. Leyla masih berdegil dan Qaseh pula bertemu dengan Ustaz Syed Alwi, rakan lamanya yang mengajak Qaseh mengajar mengaji di tahfiznya.
Pada suatu hari Leyla mengalami kemalangan dan memerlukan buah pinggang kerana kedua-dua buah pinggangnya rosak. Tanpa pengetahuan Leyla, Qaseh menderma salah satu dari buah pinggangya.
Setelah sihat, Shafiq mengawasi kehidupan Leyla dan membantunya hinggalah pada suatu hari Shafiq mendedahkan rahsia tentang ibunya. Leyla bertemu dengan ibunya dan memohon maaf atas segala dosa yang telah dilakukan. Leyla yang kini telah insaf dan kembali ke jalan lurus, kembali hidup bersama dengan Qaseh.
Namun adakah Leyla benar-benar ikhlas untuk berubah ke arah kebaikan atau sebaliknya? Bagaimana pula penerimaan Qaseh terhadap Leyla?
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.