Penyampaian tazkirah secara spontan di atas pentas telah memberikan cabaran baharu kepada 6 peserta Da’i yang masih berjuang pada episod kesembilan. Da’i Syed, Da’i Irfan dan Da’i Niezal menduduki tempat paling corot pada hari Ahad yang lepas dan keputusan muktamad daripada panel juri telah menyaksikan penyingkiran Da’i Irfan (Mohd Nourul Irfan bin Niamat), seorang pemuda berumur 25 tahun dari Madrasah At -Taklimiah AlKhairiah, Kedah.
Apa Sebab Da’i Irfan Kena Singkir di Da’i Pendakwah Nusantara
[dropcap]B[/dropcap]ertemakan “Sunnah Rasulullah”, Da’i Hazman, Da’i Irfan, Da’i Nasrul, Da’i Niezal, Da’i Saiful, dan Da’i Syed hanya mengetahui tajuk tazkirah yang akan disampaikan ketika berada di atas pentas. Episod kesembilan tersebut menampilkan tetamu nusantara iaitu Ustaz Muhamad Nuzhan Abdul Halim, Imam Eksekutif Masjid Jamiyah Arrabitah dari Singapura. Beliau juga memberikan komen-komen dan penilaian kepada para peserta di samping murabbi, Ustaz Zul Ramli dan Dr. Robiah K. Hamzah.
Da’i Niezal, peserta yang mendapat markah paling tinggi pada episod kelapan telah tampil sebagai peserta pertama. Tahajjud & Witir menjadi topik tazkirah yang disampaikan oleh Da’i Niezal bukan saja mendapat markah penuh daripada panel juri awam tetapi persembahan Da’i Niezal juga telah meletakkan aras yang tinggi bagi peserta-peserta seterusnya. Gaya penyampaian Da’i Niezal yang tenang dan tidak gugup, sentiasa bersenyum dan optimis juga menerima pujian daripada Ustaz Zarifi, juri tetap Da’i Pendakwah Nusantara.
Peserta kedua yang telah mendapat topik Fadhilat Doa iaitu Da’i Irfan gagal menyampaikan isi penting kerana sesi muqadimmah yang terlalu lama selain tidak peka dengan dalil yang dijadikan contoh. Dato Ustaz Dr. Izhar Arif memberikan komen supaya Da’i Ifran mencari dalil lain untuk melengkapkan dan mencantikkan penyampaian tazkirahnya.
[pullquote align=”right”]Kelemahan Da’i Irfan dalam menyampaikan tazkirah dengan berkesan telah menyebabkan dia tersenarai sebagai 3 peserta tercorot dan akhirnya disingkirkan pada penghujung rancangan pada malam Ahad yang lepas.[/pullquote]
Seterusnya, Da’i Hazman yang mendapat topik tazkirah bertajuk Keutamaan Sedekah telah memilih kaedah penceritaan dan berjaya menyampaikan mesej kepada para penonton. Ustaz Zarifi telah memberi komen agar Da’i Hazman untuk menjaga pandangan mata dengan penonton. Manakala Ustaz Muhamad Nuzhan Abdul Halim, Tetamu Nusantara yang diundang khas dari Singapura juga memuji intonasi suara Da’i Hazman. Beliau bukan saja menghayati tazkirah Da’i Hazman yang lahir dari hati malahan mendapat manfaat kerana boleh mempraktikkan amalan sedekah yang dikongsikan itu.
Da’i Syed pula mendapat topik Selawat Nabi sebagai topik tazkirah. Dato Ustaz Dr Izhar terlebih dahulu memuji Da’i Syed kerana berjaya menjadi pendakwah yang versatil sebelum memberikan komen yang membina untuk Da’i Syed menarik penonton untuk mengenali selawat dengan lebih dekat dan lebih mendalam seperti memberi contoh kaedah dan fadhilat dalam mengamalkan selawat. Juri awam, Balkisyh menyarankan agar Da’i Syed mendekati remaja dalam menyebarkan dakwah selepas ini.
Da’i Nasrul yang mempersembahkan Bicara Seperti Nabi pada episod yang lepas berjaya memanfaatkan empat minit yang diperuntukkan di atas pentas. Ustaz Zarifi memuji Da’i Nasrul kerana berjaya mengatasi kelemahan persembahannya pada minggu lepas. Tambahan lagi, Ustaz Zarifi meletakkan harapan yang sangat tinggi pada Da’i Nasrul kerana akhlaknya yang bagus, pekerti yang mulia, ketajaman minda, dan kesungguhannya dan berharap agar Da’i Nasrul bangkit menjadi ikon anak muda yang menjulang tinggi semangat komprehensif.
[pullquote align=“left”]Ustaz Muhamad Nuzhan Abdul Halim memuji Da’i Nasrul dan Da’i Syed kerana kedua-dua Da’i ini membuktikan hubungan yang sangat kuat, cinta, dan kenal akan Rasulullah SAW.[/pullquote]
Peserta paling muda iaitu Da’i Saiful mendapat topik tazkirah yang bertajuk Indahnya Taubat. Da’i Saiful berjaya mendapat markah penuh (10 markah) daripada juri awam. Dato’ Ustaz Dr Izhar telah mencadangkan Da’i Saiful untuk menarik semua orang untuk bermuhasabah atas dosa yang telah kita lakukan sebelum ini dan menyusun isi kandungan tazkirah dengan lebih teratur tentang kaedah untuk bertaubat.
Da’i Saiful juga dinasihatkan untuk elakkan kaedah menyanyi yang menonjolkan kelemahannya tetapi menggunakan bacaan Al-Quran dalam penyampaian tazkirahnya pada masa hadapan. Ustaz Muhamad Nuzhan Abdul Halim pula memuji Da’i Saiful kerana berkeupayaan untuk menyampaikan tazkirah dengan cemerlang pada usia yang masih muda ini.
Da’i Pendakwah Nusantara musim ke-4 dicergaskan oleh Almas Beauty & Health… Penghulu Segala Produk, bersiaran secara langsung dari studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral pada setiap hari Ahad, pukul 9.00 malam hingga 10.30 malam.
Fokus kepada golongan muda yang berkebolehan untuk berdakwah secara berhikmah, Da’i Pendakwah Nusantara yang mempunyai 12 episod menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM 50,000, sebuah trofi dan pakej umrah untuk 2 orang sekaligus merangkul gelaran juara musim keempat ini.
Panel juri awam pada malam tersebut terdiri daripada pengasas Almas Beauty & Health, pengasas Almas Beauty & Health, Datin Hajah Maziah Haji Mohamed, Fakhrul UNIC, Farid (penyampai radio Kool FM), Ammar (penyampai radio Hot FM), Naem (peserta Hero Oven), Shah Sulaiman, Balkisyh Semundur Khan dan Farah Farhana.
Senarai topik yang telah dipersembahkan oleh 6 peserta Da’i ialah:
Nama peserta | Topik |
Da’i Hazman (Mohd Hazman Yani bin Ahmad)
Alor Setar, Kedah 29 Tahun Ijazah Sarjana Undang – undang Universiti Kebangsaan Malaysia |
KEUTAMAAN SEDEKAH
Rasulullah s.a.w. bersabda : “Sedekah itu dapat menghapuskan dosa sebagaimana air itu memadamkan api.” (Hadis Riwayat At-Tirmidzi) |
Da’i Niezal (Mohd Sufwan Niezal bin Sabri)
Terengganu 19 Tahun Diploma Dakwah & Pengurusan di Kolej Universiti Islam Sultan Ahmad Shah, Pahang |
TAHAJJUD & WITIR
Rasulullah s.a.w. bersabda : “Solat yang paling baik selepas solat fardhu ialah solat (Tahajjud) di tengah malam.” (Hadith riwayat Muslim) |
Da’i Syed (Syed Shah Iqmal bin Syed Mohd Shaiful Jamalullail)
Arau, Perlis 21 Tahun Diploma Dirasat Islamiyyah, Kolej Maahad Buuth Al Islamiyah Kaherah, Mesir |
SELAWAT NABI
Dari Abu Bakar as-Shiddiq berkata bahawa aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda : “Barangsiapa yang berselawat kepadaku, maka aku akan memberinya syafaat pada hari kiamat.” (Hadits Riwayat Ibnu Syahiin dalam at-Targhib dan Ibnu Basykawal) |
Da’i Nasrul (Muhammad Nasrul Nizam bin Zamry)
Pasir Mas, Kelantan 20 Tahun Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, Sekolah Menengah Kebangsaan (agama) Falahiah |
BICARA SEPERTI NABI
Rasulullah s.a.w. kadangkala mengulangi (mengikut keperluan) sabda-sabdanya sebanyak tiga kali supaya para sahabat dapat mengikutinya dengan pengertian. |
Da’i Saiful (Mohamad Saiful bin Marzuki)
Permatang Pauh, Pulau Pinang 18 Tahun Sijil Pelajaran Malaysia, Sekolah Menengah kebangsaan Agama Al Irshad, Pulau Pinang |
INDAHNYA TAUBAT
Rasulullah s.a.w. bersabda : “Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba, selagi (nyawanya) belum sampai pada kerongkong.” (Hadis riwayat at-Tirmizi) |
Da’i Irfan (Mohd Nourul Irfan bin Niamat)
Kedah 25 Tahun Sijil Tinggi Agama Malaysia di Madrasah At-Taklimiah AlKhairiah |
FADHILAT DOA
Rasulullah s.a.w. bersabda : “Seorang hamba paling hampir kepada Tuhannya adalah ketika sujud, maka kamu perbanyakkanlah doa”. (Hadis Riwayat Muslim An-Nasa’i, Abu Daud dan Ahmad) |
Musim baharu ini menampilkan Datuk Rosyam Nor sebagai hos, Tuan Haji Zainal Ariffin Ismail sebagai hos bersama dan Datuk Ustaz Kazim Elias sebagai Mursyid (ketua mentor) yang akan memantau secara keseluruhan prestasi para peserta sambil dibantu oleh dua orang Murabbi (mentor) iaitu Ustaz Zul Ramli Mohamad Razali dan Dr. Robiah K. Hamzah.
Pada setiap minggu, para peserta perlu menyampaikan tazkirah mengikut topik yang telah ditetapkan secara berhikmah dengan gaya tersendiri dan penampilan menarik. Persembahan mereka dinilai oleh dua juri tetap profesional iaitu Ustaz Dr Izhar Ariff dan juga Ustaz Zarifi. Pemarkahan peserta terbahagi kepada 70% (juri profesional), 20% (murabbi – Ustaz Zul Ramli & Dr. Robiah K. Hamzah) dan 10% daripada juri awam.
Sidang produksi Da’i Pendakwah Nusantara diketuai oleh Tuan Haji Zainal Ariffin Ismail selaku penerbit eksekutif dan Shukri Ibrahim sebagai penerbit. Saksikan Da’i Pendakwah Nusantara musim ke-4 pada setiap hari Ahad, pukul 9.00 – 10.30 malam (siaran ulangan pada setiap hari Jumaat berikutnya pada pukul 10 pagi) dan rancangan Jurnal Da’i yang memaparkan aktiviti kelas bersama Murabbi (mentor) dan Mursyid, persediaan peserta serta emosi dan personaliti peserta pada setiap hari Sabtu dan Ahad, pukul 7.58 malam. Da’i Pendakwah Nusantara dimeriahkan lagi dengan rakan ukhwah iaitu stesen radio Kool FM dan portal video tonton.
Penonton boleh melayari www.tv3.com.my/dai untuk paparan video-video ekslusif, mengundi peserta pilihan kegemaran anda dan juga berpeluang untuk memenangi hadiah menarik di kuiz mingguan.
Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini, layari laman sosial Facebook, Instagram & Twitter TV3Malaysia.Gunakan hashtag #DaiTV3 untuk hangatkan lagi perbualan tentang program ini di laman sosial. Penonton juga boleh menyaksikan program ini melalui tonton di www.tonton.com.my.