Pelakon, Rita Rudaini, 40, mengakui sedang berkawan rapat dengan pengacara HLive, Donna Muslim, 27, sejak beberapa bulan lalu. Rita atau nama penuhnya Rita Rudaini Mokhtar bagaimanapun menafikan dakwaan netizen yang mengatakan mereka sedang menjalinkan percintaan.
“Kami berkawan saja dan saya pun selesa mengenali dirinya. Dia antara lelaki yang paling rapat dengan saya ketika ini. “Saya mula mengenalinya pada tahun lalu, tetapi ketika itu perkenalan kami biasa saja,”
Perhubungan antara mereka mula menjadi persoalan netizen apabila aktres itu memanggil Donna ‘boyfriend’ di Instagram. Dakwaan itu lebih kukuh apabila Donna kerap dilihat berkunjung ke restoran milik Rita, Rumah Kueh, dan mereka juga dilihat sangat mesra.
Sementara itu, ditanya adakah Donna lelaki idamannya, kata Rita, sikap dan personaliti pemuda terbabit membuatkan beliau senang berkawan dengannya.
“Saya lihat, dia seorang lelaki yang menghormati orang di sekelilingnya dan kurang bersosial. Pada masa sama, kami serasi dalam apa saja topik yang dibualkan.
“Ada juga saya membaca komen-komen peminat yang mendoakan jodoh kami berdua. Namun bagi saya, ia sekadar satu usikan,” katanya.
Sementara itu, bercerita mengenai perniagaan Rumah Kueh, Rita tidak menyangka ia berkembang dengan baik sekali. Menurutnya, meskipun tiada pengalaman di bidang makanan, beliau bersama kumpulannya sentiasa memberi idea yang pelbagai bagi mengukuhkan perniagaan berkenaan.
“Alhamdulillah, Rumah Kueh dibuka sebelum bulan puasa lagi dan ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.
“Lebih-lebih lagi, saya mengambil pendekatan berjumpa dengan peminat di restoran ini, sekali gus ia merapatkan lagi silaturahim antara kami,” ujarnya.
Sumber: Berita Harian