in

#sehatisejiwa Semarak Program Khas Bulan Kebangsaan

Bertemakan #sehatisejiwa, tahun ini Radio Televisyen Malaysia (RTM) menjanjikan pengisian program yang lebih menarik dan mantap. Setiap pengisian program dan acara yang disusun dalam sambutan bulan kebangsaan diselitkan dengan unsur-unsur kecintaan kepada negara melibatkan saluran TV1, TV2, TVi dan radio RTM.

Berpegang kepada pendirian bersatu padu penting untuk menentukan agar negara aman damai dan stabil, rancangan dipilih bertemakan kepelbagaian etnik dan sejarah negara, bertujuan mengangkat budaya dan bangsa Malaysia.

Program utama yang diterbitkan khas termasuk dokumentari dan majalah, telemovie, konsert dan program bersepadu di lokasi, “Aspirasi Merdeka” yang kesemuanya menyuntik semangat penyatuan sehati sejiwa dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa.

#sehatisejiwa Semarak Program Khas Bulan Kebangsaan di RTM

DOKU DRAMA “SENOI PRAAQ : MENJEJAK BERET MERAH”
24 – 31 Ogos 2016, 10.30 malam

Sinopsis :
Mengisahkan keberanian dan kepahlawanan orang asli rejimen Senoi Praaq yang juga digelar Beret Merah dalam perjuangan menentang komunis, juga menyertakan temu bual dengan individu penting yang pernah berkhidmat dalam menawan serta menewaskan musuh negara yang cukup digeruni ketika itu.

PANORAMA KHAS “SUBUH BERDARAH DI KUALA KRAU, PAHANG DAN TAIPING BANDAR WARISAN”
30 Ogos 2016, 9.00 malam

Sinopsis :
Tidak ramai mengetahui peristiwa Balai Polis Kuala Krau, Pahang yang pernah diserang oleh sekumpulan komunis pada awal pagi 11 September 1949. Mereka merancang merampas senjata yang terdapat di balai tersebut. Kisah yang digelar tragedi subuh berdarah ini menunjukkan semangat juang anggota polis dalam mempertahankannya. Topik seterusnya tentang Taiping, bandar warisan yang mempunyai banyak kesan sejarah yang masih boleh dilihat sehingga ke hari ini. Antaranya Muzium Perak, muzium pertama di Malaysia yang dibina pada tahun 1883 juga Muzium Matang atau dikenali sebagai Kompleks Sejarah Kota Ngah Ibrahim. Ia kini dijadikan muzium mempamerkan tentang sejarah industri bijih timah di Larut, Perak.
Pengacara : Wan Aliazar Wan Halim

TELEMOVIE “TRANSMISI KAMPUNG”
31 Ogos 2016, 10.30 pagi

Sinopsis :
Mengisahkan seorang Tok dalang, Tok Din yang telah berhijrah ke luar Kelantan untuk mengembangkan seni wayang kulit ke sebuah kampung yang masih belum menerima elektrik pada tahun awal 70an. Bagaimanapun, sokongan peduduk kampung telah semakin beralih kepada peti televisyen yang muncul di warung Ah Lim. Pada masa yang sama, muncul En. Taib, seorang penerbit rancangan dokumentari TV yang sedang mencari bahan kesenian yang ingin dijadikan rancangan di televisyen. Pertemuannya dengan Tok Din memberi peluang dan kegembiraan kepada Tok Din dan pemain muzik pengiringnya untuk muncul di kaca TV. Masa berubah zaman, Zaiton yang dahulunya hanyalah seorang peminat tegar kepada kesenian arwah ayahnya, kini telah menjadi seorang tenaga pengajar dalam kesenian Wayang Kulit.
Pelakon : Namron, Mohd. Kamarulbahri, Nurul Fateha, Kian Yap dan Jayden Sow.

KONSERT “SAYA ANAK MALAYSIA”
28 Ogos 2016, 9.00 malam

Sinopsis :
Konsert khas Hari Kebangsaan “Saya Anak Malaysia” diterbitkan Unit Hiburan TV RTM bertempat di Perkarangan Tempat Letak Kereta B, Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Artis : Hujan, Bunkface dan Emmet Roslan Ishak (Butterfingers).

DOKUMENTARI “IBRAHIM PAHLAWAN MELAYU”
31 Ogos 2016, 4.00 petang

Sinopsis :
Perjuangan seorang anak Melayu, demi bangsa dan negara tersayang. Menceritakan perjalanan kehidupan seorang wira negara dari zaman pemerintahan kerajaan Jepun, hinggalah ke akhir hayatnya. Dokumentari ini diasaskan dari sebuah buku bertajuk “Sudah Awak Bertemu Mariam” hasil nukilan Allahyarham Jeneral Tun Ibrahim Ismail sendiri. Ia memaparkan pendirian anak Melayu bersama angkatan tentera British yang bermula sejak penaklukan pemerintahan tentera Jepun. Muzium Tentera Darat didirikan bagi mengabadikan keperibadian seorang pejuang bangsa yang unggul dan dihormati. Paparan episod secara lakon semula dan foto-foto, mempertontonkan perjalanan sebahagian hidup yang telah dilalui oleh Allahyarham sebagai seorang pejuang ulung Melayu yang tidak mengenali apa itu erti kekalahan dan disegani hingga kini.

DOKUMENTARI “LOST OVER FRANCE – MALAYSIAN’S UNSUNG HERO”
31 Ogos 2016, 10.00 pagi

Sinopsis :
Dokumentari ini adalah mengenai seorang pemuda Malaysia, Henry Talalla, yang pernah bersekolah di Victoria Institution, mempunyai minat yang mendalam dalam bidang penerbangan kapal terbang. Oleh itu beliau dengan adiknya, Jimmy Talalla menyertai tentera udara British semasa Perang Dunia 2. Setelah tempoh latihan yang singkat, mereka dihantar untuk memandu kapal perang, Hawker Typhoon. Dalam perang menentang serangan tentera Jerman terhadap Perancis, Henry Talalla terbunuh di kawasan Airon, Perancis Utara. Namun tiada orang ambil berat tentang kematian Henry. Atas usaha keluarga Talalla sendiri mereka dapat kesan tempat kapal terbang Henry terhempas dan kuburnya.

TELEFILEM “KABUT” (UNIT DRAMA TV RTM)
30 Ogos 2016, 10.00 malam

Sinopsis :
Ah Fook dibesarkan dalam suasana kehidupan sederhana bersama ayahnya, Kui Lan. Kejadian kebakaran yang menimpanya pada usia 7 tahun dan Al-quran yang dijumpanya di tempat kebakaran menyebabkan Ah fook tergerak hati untuk mendalami agama Islam. Minatnya dari kecil sehingga besar mendengar tazkirah dari Sheikh Rahim di Madrasah Ar-Rahman membawa perubahan besar dalam hidupnya apabila dia dengan rela hati memeluk agama Islam dan merahsiakan hal tersebut dari bapanya. Konflik berlaku apabila bapanya tidak merestui Ah Fook memeluk Islam dan merungkaikan asal usul Ah Fook yang sebenarnya anak angkatnya sahaja. Ah Fook kecewa dan meneruskan kehidupan di Madrasah. Kerana kesetiaan dan kegigihannya, akhirnya Ah Fook berjaya merealisasikan impian bapanya untuk melanjutkan pelajaran. Bapanya akur bahawa Ah Fook memang dilahirkan sebagai seorang muslim dan akan kekal sebagai muslim.
Pelakon : Hasnul Rahmat, Azhar Zainal, Tan Ting, Azhan Rani, dan Anas Ridzuan Iskandar Zulkarnain.

TELEFILEM “LUMPUR DI KERIKIL”
4 September 2016, 10.00 malam

Sinopsis :
Memaparkan kisah seorang bekas tentera Major (B) Mohsin yang selalu diganggu igauan zaman lampau semasa dia bertempuran dengan komunis dan nyaris maut kalau tidak diselamatkan oleh Ah Lai, seorang penduduk kampung yang sama dengannya. Ah Lai kini sudah memeluk agama Islam dan menjalankan ternakan ikan di kolam di kampungnya. Ah Lai memakai nama Baktiar. Anak Mejar (B) Mohsin bercinta dengan Firdaus anak Bidin yang rupa-rupanya ialah anak Baktiar yang dirahsiakan dari pengetahuan orang. Satu hari Baktiar dan Firdaus ditangkap oleh penjahat yang menjalankan kegiatan jahat di kampung itu. Mereka marah kepada Firdaus yang menjadi Penolong Pegawai Daerah di kampung itu dan telah membantutkan kegiatan jahat mereka. Pada akhir cereka, Mejar (B) Mohsin menyedari kesilapannya dan meminta maaf dari Baktiar. Dia bersetuju Firdaus berkahwin dengan anaknya.
Pelakon : Rahim Jailani, Anuar Chew Abdullah dan Nubhan Ahmad

TELEMOVIE “ABANGKU PATRIOT”
31 Ogos 2016, 2.00 petang

Sinopsis :
Mengisahkan keputusan Zaimi untuk menyertai tentera mendapat tentangan keluarga, apatah lagi adiknya, Zaharin turut menyalahkan Zaimi atas kematian ibu bapa mereka. Namun Zaimi tetap meneruskan cita-cita untuk menjadi askar komando. Zaimi terkorban semasa pertempuran dengan penceroboh di Lahad Datu, Sabah. Kematian Zaimi telah menyedarkan Zaharin betapa pentingnya tugas tentera dalam menjaga keamanan negara.
Pelakon : Talha Harith, Hafizul Kamal, Mardiana Alwi, Esma Danial, Leeza Zain dan Mah Wai Kit.

PROGRAM “ASPIRASI MERDEKA”

Program bersepadu di lokasi, “Aspirasi Merdeka” melibatkan tujuh stesen radio nasional RTM iaitu NASIONALfm, Radio Klasik, KLfm, TRAXXfm, MINNALfm, Aifm dan ASYIKfm juga stesen negeri iaitu KEDAHfm, TERENGGANUfm, JOHORfm dan NEGERIfm. Penganjuran program ini bagi menyemarakkan lagi bulan kemerdekaan negara dengan aktiviti-aktiviti menarik untuk pelajar sekolah menengah rendah bagi mewujudkan semangat patriotik dan semangat cintakan negara dalam kalangan pelajar sekolah menengah rendah dengan suntikan semangat patriotik di peringkat awal. Empat lokasi tersebut ialah Rumah Merdeka, Kedah (6 Ogos 2016), Muzium Kota, Johor Lama (13 Ogos 2016), Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu (20 Ogos 2016) dan Muzium Tentera Darat, Port Dickson (27 Ogos 2016).

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Orang Pahang BerDRAMA SANGAT Bersama Selebriti

Drama Bersiri SENAFAS CINTA Lakonan Fouziah Gous