Meneruskan program-program menarik di TV3 ialah sebuah drama bersiri, Human Target yang disiarkan melalui Fox di Amerika Syarikat.
Program siri inggeris yang ditayangkan di TV3 sebelum ini seperti Merlin, Smallville, Kyle XY, Supernatural sentiasa mendapat sambutan yang menggalakkan selain mendapat purata jumlah penontonan tinggi mencecah 2juta penonton.
Kini, terbaru ialah Human Target sebuah siri yang diadaptasi dari sebuah komik tahun 1972 tulisan Len Wein dan Carmine Infantino. Drama bersiri Human Target adalah sebuah produksi Bonanza Incorporated dengan kerjasama Wonderland Sound & Vision, DC Comics dan Warner Bros.
Human Target akan ditayangkan pada jam 10.00malam ketika sesi tayangan perdananya pada 11 April 2010 dan kemudian akan beralih ke waktu 10.30malam bermula 25 April 2010. Ianya mengikuti perjalanan kisah seorang penyiasat peribadi yang sangat unik. Siri ini dibawakan khas kepada penonton TV3 dan ditayangkan pertama kali di TV3 sebelum ianya ditayangkan di kaca televisyen lain di Malaysia.
Human Target dibintangi oleh Mark Valley sebagai Christopher Chance seorang yang mempunyai pelbagai keperibadian dan identiti berbeza, selain sebagai penyiasat peribadi, beliau juga mempunyai kemahiran sebagai seorang kontraktor dan pengawal peribadi bagi klien-kliennya. Bagi membolehkan Chance melindungi klien-kliennya, beliau menggunakan keupayaan pemikiran dan firasat untuk mengetahui tindakan lanjut oleh pihak musuh. Chance akan muncul bagi menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi oleh klien-kliennya.
Menurut Puan Nurul Aini Abu Bakar, Pengurus Besar, Kumpulan Pengurusan Jenama, TV3, Human Target akan membekalkan penonton dengan aksi-aksi berbahaya tanpa rintangan yang jelas. Siri ini cukup menarik dengan plot yang jelas di ikuti pula dengan subplot yang akan membuatkan penonton teruja dengan perjalanan cerita ini.
“Pastinya ramai peminat drama aksi Hollywood di luar sana yang tidak sabar menantikan siri hebat ini ditayangkan di TV3 selepas mendapat kritikan yang memberangsangkan daripada penonton di Amerika Syarikat dan juga Canada.
Sebahagian daripada pengisian untuk 2010, kami yakin Human Target mampu untuk mencetus minat penonton tempatan dengan penampilan barisan pelakon yang hebat dan juga jalan cerita yang penuh dengan aksi berselitkan elemen menyentuh emosi seperti yang belum pernah lagi diadaptasikan di kaca TV.
Bukan sahaja untuk hiburan bersama di kala malam minggu, drama bersiri ini juga mengajak penonton untuk mengupas isu-isu yang berkaitan dengan kehidupan seperti makna harga sebuah nyawa dan nilai harga diri seseorang individu kepada masyarakat.”
Turut membintangi Human Target ialah Chi McBride sebagai Winston dan Jackie Earle Haley sebagai Guerrero. Untuk mengetahui kisah selanjutnya, jangan lupa saksikan ‘Human Target’ setiap hari Ahad, di TV3 mulai 11 April 2010.