Bakal menghiasi Ramadhan ini di slot Akasia TV3 merupakan sebuah drama cinta dan kerohanian terbitan Zeel Production. Seindah Takdir Cinta diadaptasi daripada novel tulisan Kamsiah Abu merupakan kisah cinta kerohanian.
Bakal memulakan tayangan pada 25 Mei ini, menampilakan Amyra Rosli, Saharul Ridzwan dan Redza Rosli sebagai teraju utama, drama bersiri 28 episod ini turut dibantu oleh Ben Ali, Tatty Hassan, Ifa Raziah, Azri Iskandar, Raja Ema, Mahmud Ali Bashah , Nazzaty Rusli, Nada Syuhada, Lydiawati, Mubarak Majid dan ramai lagi.
Drama ini telah memulakan penggambaran pada pertengahan Januari dan membabitkan lokasi sekitar Kuala Lumpur, Satun Thailand serta Jeddah dan Makkah. Menampilkan lagu tema nyanyian dua penyanyi tersohor yakni Fauziah Latiff dan Dato Siti Nurhaliza. Lagu berjudul Takdir Cintaku nyanyian Fauziah Latiff dicipta dan ditulis oleh Sharon Paul dan Ahmad Fedtri Yahya sementara Engkau nyanyian Dato Siti Nurhaliza ciptaan sepenuhnya oleh composer Indonesia – Ade Govinda.
Drama bersiri yang diarahkan oleh Zulhuzaimy ini membawakan kisah cinta gadis yang hanyut dalam hidup bernama Mia Karmila (lakonan Amyra Rosly) yang terkejut dengan kematian sahabat baiknya, Zila dalam satu tragedy. Akibat daripada kematian itu, Mia mula merasa insaf dan mula ingin berubah. Dan takdir membawanya bertemu dengan seorang pemandu teksi bernama Shariman (lakonan Saharul Ridzwan).
Ibu dan ayah Shariman turut mengusahakan madrasah anak yatim. Ilmu agama yang tebal dalam dirinya membuatkan Shariman sentiasa dihormati.
Siapa sangka, perkenalan yang seketika memberikan rasa cinta lahir di hati Mia. Pun begitu, Adrian (lakonan Redza Rosli) turut memendam perasaan kepada Mia.
Ditambah pula hubungan baik dia bersama keluarga Mia membuatkan dia ingin memiliki Mia. Kerana berada di dalam dilemma, Mia yang mula menaruh perasaan kepada Shariman akhirnya mencabar Adrian untuk menghafal beberapa surah di Al Quran.
Siapa sangka, takdir membawa Adrian berkenalan dengan Shariman. Adrian meminta Shariman yang mengajarkannya. Secara tak langsung, daripada seorang kasanova liar, Adrian mula menerima hidayah. Mia Karmila akur dengan Adrian yang sanggup menerima dan berjaya memenuhi cabarannya.
Tanpa diketahui, ada rahsia dan kedukaan jauh lebih besar tersimpan di dalam hati ketiga insan ini dalam meniti takdir mencari cinta yang sejati. Apakah rahsia itu? Apakah akhirnya takdir cinta mereka? Semuanya dalam Seindah Takdir Cinta – Isnin hingga Khamis 7 malam di TV3.