Memang benar bahawa kita mempunyai pantai-pantai yang indah di Malaysia. Biarpun sejumlah besar pantai-pantai yang dimaksudkan ini terletak di kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia serta di Sabah, itu tidak bermakna mereka yang tinggal di Lembah Kelang perlu merantau jauh untuk mencari pantai dan lautan.
Di antara pantai peranginan terdekat dengan Kuala Lumpur yang sering menjadi tumpuan sudah tentulah kawasan pantai Port Dickson yang terletak di Negeri Sembilan.
Lima Sebab LEXIS HIBISCUS PORT DICKSON Jadi Tumpuan
[dropcap]A[/dropcap]ndai tercari-cari tempat untuk menginap pula, pastikan Lexis Hibiscus menjadi pilihan terbaru anda. Resort mewah yang terletak di Batu 12 Jalan Pantai ini merupakan inovasi terbaru kota Port Dickson. Seperti Palm Atlantis di Dubai di mana rumah-rumahnya dibina dalam susunan mengikut bentuk pokok kelapa sawit, Lexis Hibiscus memaparkan vila-vila lautan mewah yang dibina di atas air dalam bentuk Bunga Raya! Resort ini sangat sesuai untuk mereka yang ingin berbulan madu ataupun bercuti bersama rakan-rakan serta keluarga. Malah, hotel ini merupakan salah satu resort mewah yang baru sahaja dibuka lebih kurang setahun.
- Dengan pemandangan pantai serta lautan lepas, para pengunjung boleh melakukan pelbagai aktiviti menarik di sini dan tidak hairanlah sekiranya ia bakal menjadi pilihan pelancong seluruh dunia.
- Dibangunkan dengan 522 vila lautan serta 117 bilik menara yang luas dan mewah, para pengunjung bebas bersantai semahu hati masing-masing. Setiap vila dan bilik diberi sentuhan moden kontemporari dan menimbulkan suasana yang sangat tenang dan romantis. Terdapat pilihan vila yang mempunyai pemandangan terus ke samudera lepas ataupun yang menghadap pancuran air setinggi 400 kaki. Sekali imbas, vila-vila lautan ini mirip vila-vila yang ada di resort-resort mewah Maldives!
- Kesemua vila mempunyai beranda dengan kolam renang kecil sendiri sekiranya tidak mahu berkongsi kolam renang umum yang lebih besar di kawasan utama hotel. Penghuni vila bebas bersantai di kolam renang kecil peribadi masing-masing tanpa perlu menghiraukan gangguan luar. Setiap unit kediaman turut dilengkapi kemudahan internet wi-fi secara percuma!
- Bagi anda yang suka mencuba makanan yang lazat apakata anda singgah di Roselle Coffee House yang terletak di bangunan utama hotel kerana ia menghidangkan pelbagai menu tempatan dan antarabangsa yang menarik. Ada juga restoran Jepun di situ iaitu UMI Japanese Restaurant yang menyediakan pelbagai juadah Jepun asli yang enak. Tersedia juga Hisbiscus Lounge dan Horizon Deck untuk bersantai. Namun tempat paling sesuai untuk menjamu selera dambil menikmati pemandangan keseluruhan adalah daripada Sky Lounge yang ada di tingkat paling atas bangunan utama. Dari situ tamu dapat melihat pemandangan Selat Melaka tanpa halangan! Pilihan kedua pula adalah di Lighthouse Club yang terletak di kawasan tengah kelopak Bunga Raya. Kawasan ini khas buat mereka yang menginap di Vila Panorama Pool dan suite sahaja. Dari tingkat atas di Wave Dining tamu dapat melihat pemandangan vila-vila sekeliling selain mencuba hidangan serta minuman di Captain’s Lounge dan juga Lighthouse Bar.
- Seperti kebanyakan tempat penginapan pantai lain, kemudahan spa merupakan sesuatu yang sangat sinonim dan Lexis Hibiscus mempunyai spa yang sangat hebat yang dikenali sebagai LexSpa! Hotel ini juga merupakan tempat yang amat sesuai untuk mengadakan pelbagai acara termasuk perkahwinan. Malah ia mempunyai dewan utama yang mampu memuatkan sekitar 350 orang. Dan dewan ini merupakan dewan acara tertinggi di Port Dickson!
Pendek kata resort ini memang sesuai buat penginapan di tepi pantai kerana konsepnya yang mewah lagi eksklusif. Apalagi dengan kedudukannya yang sangat strategik iaitu hanya kurang dari sejam ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, ketenangan persekitarannya pasti mendamaikan setiap yang berkunjung ke sini!
Secebis bayangan Dubai dan Maldives di Lexis Hibiscus Port Dickson
oleh Shah Shamshiri