Pertunjukan fesyen busana Muslimah yang kali pertama bakal diadakan dalam koc keretapi transit aliran ringan (LRT) di Malaysia telah ditukar tarikhnya ke 3 April 2016 bagi mengelakkan kemungkinan pertembungan dengan perhimpunan politik yang dirancang di ibu kota hujung minggu ini.
“Setelah mempertimbangkan semua faktor terutamanya dari aspek keselamatan dan keselesaan, kami membuat keputusan untuk menunda pertunjukan fesyen ‘Runway Busana Muslimah on the Move’ yang julung-julung kali diadakan di dalam koc LRT bergerak ini ke tarikh baru iaitu pada Ahad 3 April 2016,” kata Hazlina Çhurai Mee, pemilik HCM Biz Services yang merupakan penganjur utama acara tersebut.
Pertunjukan fesyen yang mendapat kerjasama Prasana Malaysia Berhad ini pada mulanya dijadualkan pada 27 Mac ini.
Menurut Hazlina, selain pertukaran tarikh, pertunjukan fesyen ‘Runway Busana Muslimah on the Move’ itu masih seperti rancangan asal. Pertunjukan akan bermula dari jam 2 petang sehingga 4 petang dengan LRT berlepas dari Stesen Kampung Baru menuju ke pusat bandar dan diteruskan lagi di pentas peragaan di Stesen Masjid Jamek.
“Kami mengajak para peminat fesyen untuk beramai-ramai memeriahkan acara ini pada 3 April nanti. Pelbagai variasi pakaian yang menepati citarasa dan gaya hidup terkini akan dipertunjukkan, dari pakaian ke pejabat, untuk ke majlis rasmi mahupun santai, sehinggalah pakaian sukan. Walaupun bertemakan Muslimah, acara ini sesuai untuk semua golongan dan sebagai aktiviti keluarga hujung minggu,” jelas Hazlina.
Maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari laman Facebook HCM BIZ Services.