Astro Kasih, sebuah badan yang menggerakkan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Astro telah menganjurkan projek bantuan banjir selama seminggu sempena musibah banjir yang melanda Kuching baru-baru ini.
Stesen radio ERA fm, hitz fm dan MY FM menjadi penggerak utama kempen dengan memberi laporan terkini mengenai situasi banjir dan berterusan menggalakkan para pendengar menderma barangan keperluan harian sebagai persediaan menghadapi pasca banjir.
Atas keprihatinan masyarakat di Sarawak, lebih 25 tan barangan keperluan harian berjaya dikumpul seperti beras, minyak masak, lampin pakai buang, susu tepung, air minuman, makanan bertin, alatan pembersihan dan sebagainya. Beberapa pusat pengumpulan sementara telah didirikan di EVERRISE BDC dan pasaraya E-MART di Matang dan Batukawah.
Datuk David Yap, Pengarah Hal Ehwal Komuniti, Astro menyerahkan hasil sumbangan tersebut kepada YB Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg, Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak di Dewan Batu Merpati Jepang pada pagi ini. Datuk Jake Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Astro Radio, Datu Dr Haji Yusoff Nook, Pengarah Unit Keselamatan Sarawak dan Kolonel (PA) Mohtar Samat, Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Sarawak turut hadir pada majlis tersebut.
YB Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari berkata,
“Setinggi-tinggi penghargaan buat Astro Kasih dan Astro Radio atas penganjuran program “Projek Tanggungjawab Sosial Astro Kasih Sarawak” di bawah inisiatif CSR mereka. Pada masa kini, media memainkan peranan penting bukan sahaja dalam membantu menyebarkan informasi mengenai bencana alam kepada orang ramai malah menjadi penggerak usaha bantuan buat masyarakat yang terjejas. Keikhlasan orang ramai menghulurkan sumbangan merupakan sesuatu yang amat bermakna buat mangsa banjir ini.”
Datuk David Yap berkata,
“Astro Kasih sentiasa berusaha untuk meningkatkan kesedaran dan mendorong masyarakat untuk bersama-sama menghulurkan bantuan buat mangsa banjir. Projek Tanggungjawab Sosial Astro Kasih Sarawak merupakan antara aktiviti kemasyarakatan yang kami anjurkan di seluruh Malaysia. Kami berharap usaha dan bantuan yang dihulurkan sedikit sebanyak dapat membantu keluarga yang terlibat.”
Selain itu, Astro Kasih juga memberi sumbangan sebanyak 2,500 set barangan sekolah seperti beg sekolah, buku nota dan baju buat para pelajar di sekitar Kuching dan Serian.
Dalam majlis yang berlainan, YB Dato’ Sri Richard Riot Anak Jaem, Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Serian turut menerima set barangan sekolah daripada Datuk David Yap untuk diagihkan kepada lapan buah sekolah di Serian yang terlibat dalam bencana banjir.
Majlis penyerahan tersebut telah diadakan di SK Serian dan turut dihadiri oleh Encik Yunus Apok, Pegawai Pelajaran Daerah Serian serta semua Guru Besar dari sekolah-sekolah yang terlibat.
Astro Kasih merupakan badan yang menggerakkan program Tanggungjawab Sosial Korporat Astro dan mempunyai empat cabang utama iaitu Pembelajaran Sepanjang Hayat, Pembangunan Masyarakat, Sukan dan Kesihatan serta Alam Sekitar. Setiap cabang ini mempunyai programnya tersendiri buat masyarakat seperti Kampus Astro, Astro Kasih Hostels, Astro Kasih Knowledge Zone, 1MCC – Astro Kem Bola dan Kem Badminton Astro serta Beautiful Malaysia.