Astro Prima turut umum secara rasmi barisan juri tetap dan pengacara yang bakal menerajui edisi istimewa musim terbaharu!
Setelah melakar kejayaan besar dalam mencipta fenomena baru dunia seni hiburan yang mengangkat bakat nyanyian generasi ‘otai’, kini pihak Astro Prima dengan berbesar hati membawakan kembali program realiti berkonsepkan pertandingan nyanyian ini dengan edisi istimewa iaitu Kilauan Emas Otai untuk musim yang terbaharu.
Rangkaian program Kilauan Emas Otai akan mula bersiaran secara eksklusif menerusi saluran Astro Prima (105) dan siaran serentak di Maya HD (135). Rutin para peserta dapat ditonton melalui liputan harian Nota Kilauan Emas Otai pada setiap hari Isnin dan Selasa, jam 9.30 malam bermula pada 7 Mac 2016.
Semangat Otai Terus Berbisa Di Pentas Kilauan Emas Otai
Manakala Konsert Mingguan KE Otai pula akan bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen CIDB, Jalan Cheras pada setiap hari Rabu, jam 9.30 malam mulai 9 Mac 2016. Menarik lagi, para peminat juga boleh menonton persembahan akustik menerusi kapsul Sembang Kilauan Emas Otai pada setiap hari Khamis hingga Ahad bermula 10 Mac 2016.
Sedikit berbeza dengan format seperti lima musim yang pernah diterbitkan sebelum ini, edisi kali ini menjanjikan persaingan yang amat sengit kerana ia akan menghimpunkan semula kesemua lima bekas juara Kilauan Emas yang layak menyertai pertandingan ini secara automatik serta sepuluh bekas peserta yang dipilih berdasarkan undian oleh orang ramai secara online sewaktu pusingan Hot Seat yang dibuka sejak 26 Januari hingga 14 Februari lalu menerusi portal rasmi www.kilauanemas.com.my.
Bagi merancakkan lagi penganjuran tahun ini, sepuluh calon peserta yang berjaya disenarai pendek menerusi pusingan Hot Seat perlu bersaing untuk ‘merebut tempat’ masing-masing sewaktu konsert Kilauan Emas Otai yang pertama sebelum layak diserap masuk sekaligus melengkapi jumlah keseluruhan senarai barisan peserta yang bertanding untuk musim ini.
Keputusan penuh hanya akan diumumkan sejurus tamat konsert tersebut. Kuasa mutlak pemilihan adalah 100% diserahkan kepada barisan juri profesional yang akan memilih peserta yang benar-benar layak dan menyerlah untuk menyertai musim ini.
Menurut Pengurus Saluran Astro Prima; Cik Farah Zainul berkata,
“Kembali semula membawa semangat otai yang lebih berbisa, penganjuran musim terbaharu dengan edisi istimewa yang pastinya lebih berprestrij ini menyaksikan beberapa pembaharuan yang ditambah baik telah diperkenalkan untuk memastikan kandungan program ini kekal relevan dan sentiasa segar selari mengikut peredaran semasa.
Untuk edisi kali ini, kami ingin mencari otai yang terhebat di kalangan yang terbaik. Oleh itu, buat julung kalinya kami telah memberi peluang kepada para peminat dari awal untuk memilih sendiri calon-calon kegemaran mereka yang dilihat benar-benar layak untuk mengisi tempat sebagai peserta musim ini. Ini sememangnya suatu pengalaman baru kepada peminat program ini.
Kami yakin dengan cara ini akan dapat menguatkan lagi sokongan mereka kepada calon-calon peserta walaupun program masih belum bermula. Sokongan-sokongan positif seperti inilah yang akan membantu para peserta untuk membina keyakinan diri bagi memberikan yang terbaik sekaligus membuktikan pilihan penyokong adalah tepat.
Kami amat positif dan berharap agar format yang dibawa masuk pada musim ini mampu melonjakkan lagi kegemilangan jenama Kilauan Emas yang menjadi aset serta testimoni utama saluran ini. Kami berjanji untuk memberikan sepenuh komitmen kami bagi menghasilkan sebuah lagi musim yang tidak dapat dilupakan menerusi Kilauan Emas Otai.”
Lima bekas juara musim terdahulu ialah ALI KE1 (Ali Bin Norpiah, 51, Pahang), FUAD KE2 (Ahmad Fuad Bin Zaharullail, 48, Perak), MIOR KE3 (Mior Yazid bin Ahmad, 47, Perak), ARIP KE4 (Omar Sharif Bin Mat Din, 44, Pahang) dan MUSTAR KE5 (Mustaffa Rasyid Bin Abd. Jabar, 47, Selangor).
Manakala 10 calon peserta yang telah disenarai pendek menerusi pusingan Hot Seat adalah terdiri daripada ELJI (Wan Muhammad Logan Bin Wan Abdul Rahman, 44, Johor), NAS (Mohammad Nasiruddin Bin Mohd Hashim, 45, Pahang), SILAH (Silahudin Bin Hj. Ali, 55, Johor), RINA (Jasrina Binti Jaafar, 51, Kedah), IDRIS (Idris Bin Mohd Shabidin, 54, Perak), AZIANA (Aziana Binti Ab Kadir, 48, Kuala Lumpur), RAIDA (Zuraidah Binti Mohd Zain, 43, Johor Bahru), BEN (Benasil Bin Kudong, 65, Sabah), TAURATH (Mohd Tauraht Bin Mohd Saed, 51, Sarawak) dan SHAMSIAH (Shamsiah Mohd Said, 54, Johor).
Untuk edisi kali ini, terdapat dua orang juri tetap yang akan dipertanggungjawabkan untuk menilai persembahan para peserta berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan. Pengarah muzik tersohor iaitu Datuk Haji Ramli MS dan selebriti popular yang cukup dikenali iaitu Erra Fazira bakal digandingkan bersama sebagai juri tetap untuk musim ini. Manakala seorang lagi juri akan diundang khas sebagai juri jemputan pada setiap minggu.
Selain itu, Kilauan Emas Otai juga bakal membawa masuk dua tenaga pengajar untuk menyumbangkan khidmat dan kepakaran masing-masing bagi membimbing peserta otai musim ini iaitu Siti Hajar sebagai Guru Vokal dan Ayai Ilusi sebagai Guru Seni Persembahan. Manakala Shah Slam pula dilantik sebagai Pengarah Muzik.
Musim ini juga turut mengekalkan pengacara, pelakon Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin atau lebih dikenali sebagai Kak Engku sebagai pengacara Konsert Kilauan Emas Otai. Manakala pelakon popular Zara Zya pula akan menggalas tanggungjawab sebagai pengacara untuk Nota Kilauan Emas Otai.
“Saya mewakili pihak Astro Prima dan produksi Kilauan Emas Otai ingin mengucapkan selamat kembali kepada barisan juri serta tidak ketinggalan juga kepada Kak Engku selaku pengacara konsert. Kami juga amat mengalu-alukan kehadiran Zara Zya yang terlibat buat pertama kali ke dalam keluarga Kilauan Emas untuk memeriahkan musim ini selaku pengacara nota.
Kesemua mereka yang akan terlibat dalam menjayakan edisi kali ni telahpun diberikan tugas serta pengkhususan tersendiri yang meliputi setiap aspek bagi memastikan penerbitan musim ini berjalan lancar seperti yang dirancang. Persetujuan dan komitmen mereka untuk sama-sama menyumbang kepada kejayaan Kilauan Emas Otai amat dihargai dan saya pasti musim ini akan lebih meriah dengan kehadiran mereka.”
Kilauan Emas Otai masih mengekalkan format pemarkahan asal seperti musim sebelum ini yang mana nasib para peserta akan diadili berdasarkan sistem pemarkahan 50% oleh juri tetap. Manakala 50% lagi akan ditentukan berdasarkan undian penonton melalui sistem pesanan ringkas (SMS). Peserta yang mendapat markah paling rendah pada setiap minggu akan disingkirkan. Talian undian secara SMS akan dibuka secara rasmi sejurus tamat konsert mingguan yang pertama pada 9 Mac kelak.
Juara Kilauan Emas Otai bakal membawa pulang hadiah lumayan iaitu wang tunai berjumlah RM150,000 beserta trofi sumbangan Astro. Naib juara pula bakal memenangi wang tunai RM50,000 dan trofi. Manakala pemenang tempat ketiga dan keempat pula masing-masing akan memenangi wang tunai RM30,000 dan RM10,000 beserta trofi. Pemenang untuk kategori Anugerah Khas Juri pula bakal menggondol hadiah wang tunai RM10,000 dan trofi.
Untuk musim ini, D’nars Lutox hadir selaku penaja. Manakala Radio Sinar FM dan THR Gegar pula hadir sebagai radio rasmi atau lebih dikenali sebagai radio ‘otai’ untuk menjayakan musim ini. Aplikasi Raku turut hadir memberi sokongan selaku radio digital ‘otai’.
Untuk sebarang maklumat lanjut mengenai program ini, sila layari laman web rasmi di www.kilauanemas.com.my