in

Astro Bella RaikanHari Wanita Sedunia Mac ini

Bersempena dengan sambutan Hari Wanita Sedunia yang disambut pada 8 Mac setiap tahun, Astro Bella (saluran 133) yang merupakan saluran pertama di Malaysia yang memberi tumpuan khusus kepada gaya hidup terkini golongan wanita bakal menganjurkan kempen ’Astro Bella Raikan Wanita’ sepanjang bulan Mac ini.

Lebih mengujakan, pelbagai aktiviti menarik disediakan bagi meraikan pencapaian wanita daripada pelbagai bidang. Antara program utama yang bakal berlangsung sepanjang Mac ini adalah penayangan program istimewa di lima buah saluran berbahasa Melayu Astro iaitu Astro Bella, Astro Ria, Astro Prima, Astro Citra dan Mustika HD, penganjuran bengkel ’Astro Bella Raikan Wanita’ serta peraduan khas menerusi platform media sosial.

Kempen ’Astro Bella Raikan Wanita’ ini bakal bermula dengan pesanan khidmat masyarakat (PSA) yang mana selebriti lelaki tempatan berkongsi tentang ikon wanita yang menjadi sumber inspirasi dalam hidup mereka.

Selain penayangan program-program istimewa di lima buah saluran berbahasa Melayu Astro, Astro Bella juga berbesar hati membawakan dua program khas untuk meraikan golongan wanita pada 8 Mac ini iaitu program senaman ringkas ’Astro Bella Homeworkout’ yang dihoskan oleh Nana Al Haleq bersama tetamu jemputan Nana Mahazan serta Adeline Tsen, dan sebuah program travelog kesihatan dan kecergasan berjudul ’Hello Ferringhi’ yang bakal dikendalikan oleh pengacara H!live Shenty Feliziana dan Nina Nadira. ’Hello Ferringhi’ merupakan program berdurasi 30 minit yang mana hos akan menerokai tempat-tempat menarik di sekitar Shangri-La Rasa Sayang Penang dan akan mengetengahkan aktiviti gaya hidup sihat kepada para penonton.

Sementara itu, Astro Bella dengan kerjasama pengeluar produk Nouvelles Visages turut membawakan program ’on ground’ khas buat kaum Hawa iaitu bengkel ’Astro Bella Raikan Wanita’ yang bakal berlangsung di Hotel Holiday Villa, Subang, Selangor selaku penaja lokasi pada 27 Mac (Ahad) ini.

Natasha Hashim

Bengkel ini bertujuan untuk memberi maklumat, berkongsi tips-tips dan rahsia kejayaan serta meningkatkan tahap keyakinan diri seterusnya membantu golongan wanita mencapai kejayaan dalam hidup mereka. Lebih bermakna, bengkel ini akan dijayakan oleh speaker jemputan yang mempunyai nama besar dalam bidang yang mereka ceburi. Antara speaker yang bakal terlibat ialah Rita Susilawati (pengasas Nouvelles Visages) dan Shalin Zulkifli ( bekas pemain boling negara). Bengkel ini juga akan menyaksikan pembabitan selebriti tanah air yang bakal diketahui kelak.

Astro Bella Raikan Wanita gambar 1

Untuk makluman, 150 pendaftar terawal berpeluang mengikuti bengkel ini selama satu hari bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang secara percuma ini dengan hanya mengesahkan (RSVP) kedatangan dengan emelkan maklumat peribadi (Nama, No.Kad Pengenalan dan No.Telefon) di [email protected]. Penyertaan untuk mengikuti program ini akan dibuka bermula 9 Mac hingga 22 Mac ini.

Dalam pada itu, Astro Bella bakal melancarkan peraduan di laman sosial Instagram Astro Gempak (@astrogempak) di mana tiga pemenang berpeluang menikmati pakej penginapan selama tiga hari dua malam tajaan Holiday Villa Hotels & Resorts. Pemenang utama bakal memenangi percutian ke Holiday Villa Hotel & Suites London, United Kingdom. Tempat kedua percutian di Holiday Villa Arosa Switzerland dan pemenang ketiga di Holiday Villa Resort & Spa Langkawi, Malaysia

Bagi yang ingin menyertai peraduan ini, peserta perlu memuat naik gambar bersama wanita yang mempengaruhi hidup mereka selama ini dan ceritakan momen tersebut di kapsyen beserta hashtag #astrobellaraikanwanita. Peraduan ini akan bermula 23 Mac sehingga 3 April 2016.

Menurut Pengurus Saluran Astro Bella, Natasha Hashim,

“Kempen Astro Bella Raikan Wanita ini merupakan inisiatif kami selepas melihat beberapa kejayaan program yang dianjurkan Astro Bella seperti MWM Astro Bella 5km sempena Hari Wanita Sedunia, Astro Bella Untukmu Ibu sempena Hari Ibu, Astro Bella Pink Charity Ride 2015 sempena Kempen Kesedaran Barah Payu Dara, dan Seminar Kesihatan Kanser Serviks sempena kempen kesedaran kanser serviks yang berlangsung pada Januari lalu.

“Astro Bella terpanggil untuk mengadakan kempen ini kerana Hari Wanita Sedunia disambut setiap tahun sebagai platform bagi memberikan pengiktirafan sewajarnya kepada golongan wanita terhadap sumbangan mereka kepada pembangunan negara di samping sebagai perangsang kepada kaum wanita untuk terus bergiat aktif kearah pembangunan keluarga, masyarakat dan negara.

“Jadi sebagai saluran yang khusus memenuhi cita rasa penonton wanita, kami akan terus komited dan menyediakan pelbagai aktiviti serta program-program menarik kerana peranan kaum Hawa pada hari ini semakin meluas dan ia tidak terhad dengan tugasan di dapur semata-mata”.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Video Keputusan Pemenang Anugerah MeleTop Era 2016

Media Prima Bakal Umum Stesen Radio Terbaharu Petang Ini