Skop Productions mempersembahkan MUNAFIK, hasil karya dan arahan pengarah berbakat besar, Syamsul Yusof.
Nama Syamsul Yusof bagaikan sepi dalam industri perfileman tanahair. Tiada lagi hasil karya beliau dipertontonkan di layar perak selepas filem KL Gangster 2 pada tahun 2013. Sejak itu para peminat setianya dilihat tertanya-tanya kemunculan karya Syamsul yang seterusnya kerana mereka ini benar-benar merindui karya-karya Syamsul yang sebelum ini pernah menambat hati sebilangan besar penonton di tanahair.
Seperti yang umum khususnya masyarakat Malaysia ketahui bahawa Syamsul Yusof telah ‘berehat’ sebagai sutradara filem sejak 2013. Syamsul tiba-tiba menyepikan diri dari dunia seni buat seketika apabila filem KL Gangster 2 yang pernah ditayangkan pada 3 Oktober 2013 telah dicetak rompak dengan begitu ‘ganas’ sekali.
Peristiwa itu seolah-olah bagai meragut jiwa dan perasaannya sebagai pengarah. Peristiwa ‘hitam’ itu tidak hanya mengejutkan dirinya malah industri perfileman tanahair juga turut gempar kerana rompakan ke atas filem KL Gangster 2 telah dilakukan dengan begitu berani sekali dalam tempoh sebulan sebelum ianya ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura.
Tindakan kejam itu benar-benar telah mengguris hati dan perasaan serta mencabar kredibiliti Syamsul sebagai sutradara yang telah mengabdikan dirinya untuk menghasilkan kualiti persembahan yang baik menerusi KL Gangster 2.
Tapi kini Syamsul sudah bersedia mempertaruhkan semangat dan harapan baharu untuk meneruskan perjuangan seninya dan kembali terjun ke gelanggang perfileman dengan karyanya yang ke 9 berjudul Munafik. Syamsul mula menyedari bahawa perjuangan dalam memartabatkan industri seni tanah air tiada noktahnya. Sekali lagi Skop Productions memberi kepercayaan kepada Syamsul untuk mengemudi Munafik.
Syamsul sekali lagi mengambil inisiatif menghasilkan sebuah karya genre seram tapi penuh dengan perisian keagamaan (Islamic) yang mensasarkan penonton di kalangan golongan muda yang kini dilihat sudah semakin melangkah jauh ke hadapan dalam mendalami ilmu agama Islam dan ini mendorong Syamsul tekad menampilkan Munafik dengan gaya persembahan yang baharu dan bermotivasi.
Munafik menampilkan Nabila Huda buat kali ke 3 selepas filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam (2009) dan Jalan Kembali (2012). Bakat lakonan beliau yang cukup berkesan mampu menghidupkan watak Maria yang menuntut pengawalan emosi sebagai seorang yang menderita penyakit mental-kronik depresi gara-gara sering tertekan akibat diganggu jin/syaitan.
Selain itu ramai lagi pelakon-pelakon hebat seperti Fizz Fairuz dan Pekin Ibrahim turut membintangi Munafik. Dan satu lagi nama besar dalam dunia seni, Datuk Rahim Razali tampil sebagai pelakon undangan buat pertama kali di bawah arahan Syamsul.
Berbekalkan pengalaman Syamsul melalui beberapa buah filem hasil karyanya seperti Evolusi KL Drift, Bohsia… Jangan Pilih Jalan Hitam, Evolusi KL Drift 2, Khurafat, KL Gangster, Aku Bukan Tomboy, Jalan Kembali (Bohsia 2) dan KL Gangster 2 kini beliau semakin bersemangat dan berani untuk menghasilkan sebuah lagi karya yang mencabar kredibilitinya sebagai seorang pengarah ‘versatile’ menerusi Munafik.
“Insya-Allah saya akan mengumpul segala tenaga yang dianugerahi Tuhan kepada saya melalui bakat seni yang mengalir dalam darah saya ini untuk terus berjuang dan cuba menghasilkan kreativiti yang lebih mantap dalam Munafik. Semoga Tuhan memberkati hasil perjuangan saya ini.” Itulah janji Syamsul kepada para penonton.
Dalam perkembangan lain, ketika dunia menuju ke era digital, Skop Productions kini melangkah setapak lagi apabila kini memiliki WeChat Official Account (OA) mulai hari ini. Aplikasi We Chat merupakan Mobile Apps Top 5 di Malaysia dan dunia. Malah, di Malaysia juga pengguna WeChat sudah menjangkau 30 juta pengguna.
Oleh yang demikian, pihak kami menyeru kepada peminat-pemunat filem terbitan Skop Productions menjadi pengikut WeChat OA Skop Productions bagi mengetahui berita-berita terkini, perkembangan Skop Productions dari semasa ke semasa.
Buat permulaan, seramai 50 pengikut pertama WeChat OA Skop Productions berpeluang memenangi sekeping Complimentary filem Munafik dan yang selebihnya akan memenangi poster Munafik yang ditandatangani oleh Syamsul Yusof.
Hasil karya
➢ Karya Asal / Skrip – Syamsul Yusof
➢ Pengarah – Syamsul Yusof
Pelakon
➢ Nabila Huda, Syamsul Yusof, Pekin Ibrahim, Fizz Fairuz, Sabrina Ali, Datuk Rahim Razali & A. Galak
Mula penggambaran
➢ 12 Mac 2015 / 46 hari
Mula tayangan
➢ 25 Februari 2016
Melibatkan penggambaran di lokasi
➢ Kuala Lumpur / Putrajaya / Port Klang
Kos pembikinan & Promosi / CGI
➢ RM1.7 juta
Sistem bunyi
➢ Dolby Digital Surround
Filem
➢ Ke 39 Terbitan Skop Productions Sdn Bhd
Syarikat
➢ Skop Productions Sdn Bhd
Penerbit
➢ Datuk Yusof Haslam