Memasuki hari ke-13 tayangan, filem OlaBola telah berjaya mencatat kutipan RM8 juta box office menerusi 120 pawagam di seluruh Malaysia dan Brunei.
Sambutan memberangsangkan untuk minggu kedua tayangan ini didorong oleh reaksi positif para peminat yang telah menontonnya sejak 28 Januari 2016 lalu selain daripada rangka promosi yang masih giat berjalan.
Filem ini ternyata memberikan impak besar di laman-laman sosial apabila pengguna memperkatakan mengenai filem ini. Secara keseluruhan, OlaBola berjaya mendapat melebihi 200,000 ribu pendedahan di media sosial. Malah filem ini telah menjadi trending sebanyak 9 kali di laman Twitter.
Manakala jumlah tontonan trailer dari Facebook dan Youtube buat masa ini telah mencatat 1.6 juta tontonan dan dijangka meningkat hari demi hari.
Berlatarbelakangkan era 1980-an, Ola Bola merupakan kisah kejayaan tentang keberanian dan semangat bersatu yang memberi inspirasi kepada barisan pemain bola sepak Malaysia untuk bangkit dari kekecewaan dan muncul menjadi wira negara.
Kisah yang diilhamkan dari peristiwa sebenar ini bukan sahaja memaparkan semangat juang dan maruah pasukan bola sepak negara, tetapi juga menyaksikan kepayahan dan kesungguhan barisan pemain mengatasi masalah peribadi dan juga yang berkaitan dengan pasukan.
Kisah ini juga mendalami kehidupan seharian dan memaparkan semangat waja yang tidak kenal erti putus asa walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran. Filem yang diarahkan oleh pengarah hebat Chiu Keng Guan ini merupakan satu perjalanan inspirasi yang dijangka akan menambat hati para penonton Malaysia.
Untuk mengikuti info terkini tentang OlaBola, sila layari www.olabola.com.my, www.olabola.tv, www.youtube.com/astroshaw, www.facebook.com/astroshaw dan www.instagram.com/astroshaw.