AirAsia menyambut penerbangan sulungnya dari Ho Chi Minh City ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang hari ini, menjadikannya salah satu daripada bandar-bandar IndoChina pertama yang disambungkan terus ke negeri Pulau Pinang.
Tetamu yang tiba dari Bandar Ho Chi Minh telah disambut oleh YAB Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang dan Aireen Omar, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad sebagai sebahagian daripada upacara majlis sambutan yang diadakan hari ini di lapangan terbang.
AirAsia meraikan penerbangan sulung dari Bandar Ho Chi Minh ke Pulau Pinang
- Penerbangan terus 4 kali seminggu antara Pulau Pinang dan Bandar Ho Chi Minh, Vietnam
- Tambang pengenalan istimewa termasuk semua dari RM99* sehala bagi menyambut laluan baru ini
AirAsia menawarkan promosi tambang termasuk semua bermula dari RM99* sehala dari Pulau Pinang ke Bandar Ho Chi Minh sempena sambutan penerbangan sulung ini. Tambang promosi ini boleh didapati untuk tempahan di airasia.com hari ini hingga 7 Februari 2016 bagi tempoh perjalanan dari 25 Januari 2016 hingga 24 November 2016.
Aireen Omar, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad berkata,
“Kami sangat berbangga untuk menyambut para tetamu dari Bandar Ho Chi Minh ke Pulau Pinang hari ini. AirAsia adalah satu-satunya syarikat penerbangan yang menawarkan perkhidmatan ke laluan ini, menghubungkan warga Pulau Pinang dan masyarakat utara ke bandar meriah Ho Chi Minh di Vietnam. Ini adalah laluan antarabangsa keenam dari Pulau Pinang dan kami berharap untuk memperkukuhkan lagi hab ini dengan penyambungan yang lebih baik.”
“Baru-baru ini kami juga telah menambah sambungan terus dari Yangon, Myanmar ke Pulau Pinang yang akan bermula beroperasi pada bulan Mac dan kami berharap laluan ini akan mengalakkan aktiviti percutian dan perniagaan antara kedua-dua bandar Asean ini,” katanya.
YAB Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, “Aktiviti pelancongan terus menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang. Contohnya, kapasiti maksimum Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sebanyak 6.5 juta penumpang telah dicapai pada tahun 2015; lima tahun lebih awal daripada yang dijadualkan iaitu pada tahun 2020. Saya yakin bahawa ketibaan pelancong di Pulau Pinang akan terus meningkat dengan pengenalan penerbangan terus AirAsia dari Ho Chi Minh.”
Selain daripada Pulau Pinang, AirAsia juga menawarkan penerbangan terus ke Ho Chi Minh dari Kuala Lumpur lima kali sehari dan setiap hari dari Johor Bahru.
AirAsia juga telah meraikan dua penerbangan sulung baru-baru ini, yang pertama dari Wuhan ke Kota Kinabalu pada 22 Januari dan semalam, 24 Januari dari Guangzhou ke Langkawi.
Vietnam memberi pelancong peluang untuk mengalami tradisi pengaruh kolonial Perancis yang masih kekal di negara itu dan juga pantai-pantai yang menakjubkan.
Lawatan ke Ho Chi Minh City (sebelum ini dikenali sebagai ‘Saigon’), adalah titik permulaan yang sempurna untuk meneroka selatan Vietnam; bandar yang sibuk dan bertenaga. Keseronokan berada di pusat perdagangan negara ini dapat dinikmati dengan cara terbaik dari kerusi sebuah kafe yang terletak di tepi jalan dengan secawan kopi ais Vietnam, ‘Ca Phe Sua Da’ dan kemudian berjalan-jalan sambil menghayati seni bina yang terkenal di pusat bandar itu, Katedral Notre Dame Saigon.
Untuk menghargai budaya tempatan, pelancong boleh mencuba pelbagai produk segar dan hidangan makanan dari Pasar Ba Chieu, pasaran tempatan dimana terdapatnya sandwich baguette yang terkenal, ‘Banh Mi’ ataupun ‘Com Tam’, yang menggunakan beras hancur dan dihidangkan bersama daging panggang; atau pergi membeli-belah untuk pelbagai jenis kain yang berkualiti pada harga yang berpatutan di pasar terkenal Ben Thanh. Jika anda meminati sejarah, lawati muzium The War Remnants atau terowong Cu Chi yang terkenal untuk melihat cara kehidupan pada zaman peperangan.
Terus kemas kini bersama promosi dan aktiviti terkini AirAsia menerusi Twitter (twitter.com/AirAsia)) dan Facebook (facebook.com/AirAsia).
Jadual Penerbangan bagi laluan Pulau Pinang, Malaysia (PEN) – Ho Chi Minh City, Vietnam (SGN)
No Penerbangan | Dari | Ke | Berlepas | Ketibaan | Kekerapan |
AK 1502 | PEN | SGN | 1220 hrs | 1305 hrs | Isnin, Rabu, Jumaat, Ahad |
AK 1503 | SGN | PEN | 1335 hrs | 1615 hrs | Isnin, Rabu, Jumaat, Ahad |
Nota: Semua masa yang dipapar adalah masa tempatan di destinasi masing-masing.
*Tambang termasuk semua yang disebut adalah bagi penerbangan sehala sahaja dan termasuk cukai. Tertakluk kepada terma dan syarat.