SAMBUTAN RTM KE-64 : “JOM JENGUK” KE ANGKASAPURI 3-4 APRIL 2010
Sempena Ulang Tahun RTM Ke-64, dilangsungkan program Sorakan 1Malaysia 1Dunia dan Gegar Generasiku yang mengalu-alukan kehadiran orang ramai dua hari berturut-turut pada 3 dan 4 April 2010 seawal 8.00 pagi bertempat di perkarangan Kompleks Angkasapuri, Kuala Lumpur.
Bertujuan untuk mendekati rakyat iaitu penonton dan pendengar agar dapat memahami secara jelas dan terbuka mengenai organisasi, operasi serta kandungan program yang disiarkan di TV dan radio RTM sekaligus menyakinkan masyarakat bahawa RTM sebenarnya adalah stesen milik rakyat, kelompok sasaran utama program ini adalah golongan muda terdiri daripada remaja dan belia.
Penganjurannya dilihat menyumbang kepada ruang bertemu dan berkomunikasi dengan masyarakat secara terbuka melalui penerangan secara terperinci dan ruang promosi kepada aktiviti dan program-program RTM.
Malahan turut memberikan peluang kepada orang ramai mendekati dan bersemuka bersama Personaliti RTM serta artis-artis popular yang lahir menerusi program RTM.
Berkonsepkan hari terbuka dalam usaha ‘merakyatkan RTM’ dengan menggabungkan tiga aktiviti serentak iaitu; Sambutan Ulang Tahun RTM Ke-64 (1 April), Sorakan 1Malaysia 1Dunia : Piala Dunia FIFA 2010 dan Gegar Generasiku (3 dan 4 April 2010).
Lebih 40 pameran melibatkan bahagian penerbitan seperti;Unit Drama, Unit Hiburan, Unit Majalah dan Dokumentasi selain dari Unit Ehwal Semasa, Unit Sukan, radio-radio RTM termasuklah Klasik Nasional, MUZIKfm, KLfm, Traxxfm, Minnalfm dan Asyikfm.
Pengisian segmen FIFA 2010 merupakan usaha mempromosi kejayaan RTM memperolehi hak siaran ekslusif Piala Dunia FIFA 2010 sebagai penyiar berlesen, pengisisannya ialah pameran, pertandingan futsal serta pelbagai permainan lain yang bercirikan bola sepak serta Piala Dunia bersama personaliti RTM dan artis. Ia termasuklah pertandingan cage futsal, foosball, playstation 2 FIFA, Infratable Games, football & kids, Giant Cubic Puzzle dan Giant Board Games.
Penonton turut berpeluang menyertai kuiz bola sepak dan teka suara penyampai sukan selain mendekati personaliti RTM dan artis dengan menyertai pertandingan yang melibatkan penyertaan mereka. Malah kepada pengunjung yang berminat menjadi penyampai sukan juga berpeluang menyertai pencarian penyampai sukan dan penyampai radio.
Manakala pengisian segmen Gegar Generasiku pula lebih kepada aktiviti pertunjukan dan pameran yang bercirikan permotoran dan sukan lasak. Turut diadakan pertandingan “Battle of The Band” selain tidak ketinggalan persembahan artis-artis popular masa kini selama dua hari karnival berlangsung.