Sejauh mana penantian anda untuk sebuah cinta sejati? Bagi membuka tirai tahun 2016, Astro Shaw dan produksi Nuansa bakal menampilkan sebuah filem terbaru berjudul ‘LANGIT CINTA’ yang akan menemui para penonton di layar perak pada 7 Januari 2016.
Filem bergenre romantik drama ini telah mendapat sentuhan dari pengarah berkaliber, Osman Ali. Menariknya lagi, beliau turut terlibat dalam hasil nukilan skrip untuk filem ini. Kemunculan Langit Cinta menggabungkan barisan pelakon mantap seperti Nur Fazura, Keith Foo, Farid Kamil, Siti Saleha, Fauziah Datuk Ahmad Daud (Ogy), Datuk Jalaluddin Hassan, Dian P Ramlee, Normah Damanhuri, Ammar Alfian Aziz, Aida Khalida, Zaidi Omar, Nadzmi Adhwa dan ramai lagi.
Kuasa Gandingan Romantis Fazura, Keith Foo, Farid Kamil & Siti Saleha
[dropcap]S[/dropcap]elain itu, istimewanya filem ini, penyanyi terkenal Dayang Nurfaizah turut mempertaruhkan vokalnya menerusi lagu tema filem yang bertajuk ‘Langit Cinta’. Padat dengan lakonan mantap dan dendangan lagu yang cukup merdu, filem ini dijangka dapat menghilangkan dahaga penonton tempatan yang merindukan filem romantik yang membelai jiwa.
Mengulas akan apa bezanya filem ini dengan filem-filem bergenre romantik yang lain, Osman Ali selaku pengarah filem mengulas bahawa sudut yang ditekankan menerusi filem ini adalah lebih luas skopnya. “Filem Langit Cinta yang saya tampilkan adalah berbeza dengan filem-filem yang pernah saya hasilkan kerana antagonis cintanya bukan hanya pada manusia, sebaliknya jodoh dan takdir yang menentukan segalanya”.
Najwa Abu Bakar merangkap Naib Presiden & Ketua Astro Shaw mengharapkan agar Langit Cinta menjadi pembuka tirai tahun 2016 yang positif buat Astro Shaw.
“Kejayaan filem Polis Evo yang berjaya meraih lebih RM18 juta pada tahun ini ternyata menjadi pemangkin semangat buat pihak kami untuk terus menerbitkan filem pelbagai genre termasuk Langit Cinta. Kami yakin, filem ini mempunyai pengikut yang tersindiri apabila ia telah diuar-uarkan di media sosial selain jalan ceritanya yang mudah diikuti oleh semua lapisan penonton.”
“Pemilihan Fazura, Keith Foo, Farid Kamil dan Siti Saleha sebagai tunjang utama filem ini adalah kerana kepercayaan pihak kami terhadap bakat mereka serta mampu menarik perhatian penonton untuk ke pawagam. Saya berharap penonton akan menerima baik taruhan filem Langit Cinta kerana intipati yang amat dekat dengan hati dan jiwa kita. Elemen kasih, cinta dan rindu adalah perkara yang sentiasa ada dalam diri kita.”
Mengulas lanjut, Najwa menyatakan perasaan besar hatinya akan sokongan penuh yang diperoleh dari penonton dan rakan media sepanjang penayangan filem-filem terbitan Astro Shaw pada tahun 2015.
“Pihak Astro Shaw juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua media cetak dan elektronik yang selama ini menyokong filem-filem terbitan Astro Shaw. Harapan kami agar hubungan baik ini berterusan bagi tahun-tahun yang akan datang untuk kepentingan perkembangan industri perfileman Malaysia,” tambah Najwa.
Astro Shaw menjadikan 2015 sebagai tahun yang terus memekarkan portfolio perfileman tanah air. Filem “Polis Evo” muncul sebagai Kutipan Filem Tertinggi di Malaysia. Manakala filem Suamiku Encik Perfect 10! berjaya meraih kutipan kedua filem melayu tertinggi pada tahun 2015 selepas filem Polis Evo.
Selepas Langit Cinta, Astro Shaw bakal muncul dengan sebuah filem berlatarbelakangkan bola sepak bergenre drama iaitu “OlaBola” yang menampilkan Bront Palarae dan JC Chee, Muhd Luqman Hafidz dan Saran Kumar sebagai watak utama. Filem OlaBola yang mencerminkan wajah Malaysia akan memulakan tayangan bermula 28 Januari 2016. Menyusul selepas itu, adalah filem hasil karya pengarah hebat, Faisal Ishak menerusi “Aliff Dalam 7 Dimensi” lakonan Izzue Islam dan Juliana Evans.
Nantikan filem Langit Cinta yang akan menemui para penonton di pawagam seluruh negara, mulai 7 Januari 2016. Untuk maklumat lanjut, serta info dan gambar eksklusif di balik tabir filem ini, sila layari www.facebook.com/AstroShaw atau sosial Facebook, Twitter, Instagram serta Youtube Astro Shaw untuk berita dan informasi terkini. Pengguna laman sosial boleh menggunakan tanda pagar #LangitCinta dan #CintaSampaiLangit bagi menyemarakkan lagi bahang filem ini.
Berikut adalah Trivia filem ‘Langit Cinta’ buat pengetahuan semua peminat industri perfileman tempatan:
- Fazura berlakon kali pertama di bawah arahan pengarah Osman Ali.
- Kisah Langit Cinta diinspirasikan dari kisah sebenar mak dan ayah Osman Ali.
- Gabungan pertama Fazura, Keith Foo, Farid Kamil dan Siti Saleha.
- Menjalani penggambaran di beberapa lokasi menarik seperti Langkawi, Sabah, Lembah Klang.
- Menggunakan khidmat penyanyi Dayang Nurfaizah, untuk lagu tema berjudul ‘Langit Cinta’.
- Lagu tema Langit Cinta merupakan lagu ost filem pertama Dayang Nurfaizah sepanjang
kerjayanya. - Filem ini telah diadaptasi ke novel dan novelnya bertajuk LANGIT CINTA. Ini adalah kali pertama
buat Astro Shaw dan Alaf 21 menjalinkan usahasama secara eksklusif untuk projek adaptasi ini. - Lakonan pertama Fazura sebagai gadis kampung dalam filem ini.
LANGIT CINTA mengisahkan tentang perjalanan hidup seorang gadis desa bernama Khadejah dalam penantian cinta sejati. Dia telah bertemu dengan Aliff, pemuda yang berasal dari sebuah keluarga berada dan sanggup melepaskan segala-galanya demi cintanya.
Namun, cinta suci mereka telah ditentang oleh keluarga Aliff lalu memisahkan ikatan mereka sebagai suami isteri. Khadeja terpaksa berjiwa kental untuk berdepan dengan pelbagai dugaan hidup meskipun Aliff tiada disisi. Di saat Khadeja hampir putus harapan pada cinta Aliff, Budiman menawarkan dirinya bagi merawat luka di hati Khadeja.