Sebuah konsert berkonsepkan Back To 80’s bakal diadakan di Padang B, Plaza Angsana, Johor Bahru pada 25 Disember 2015 (Hari Cuti Krismas). KONSERT WINGS 30 TAHUN: BACK TO 80’S ini bakal mempersembahkan lagu-lagu malar hijau rock yang didendangkan oleh band tempatan yang mempersembahkan lagu-lagu dari Kumpulan Wings. Antaranya, persembahan dari kumpulan Titanium, Statik, The Mister, D’fender, Ucop & Friends dan Beta. Selain itu, ada juga persembahan dari bekas anggota Wings iaitu Mel, Sham dan Jojet. Juga sahabat Wings seperti Mail bekas anggota XPDC, Aweera, Ronnie, Ito, Lan Typewriter serta Yassin dan Apek.
Tiket-tiket berharga dari RM35 (Pelajar) hingga RM600 boleh didapati dengan melayari: www.tickethotline.com.mydan www.sayap2wings.com
Baru-baru ini, Wings juga turut terlibat dengan Kembara Jelajah Wings-AgeTech Ke Selatan. Di bawah ini ada coretan travelogue dan gambar-gambar kembara yang disertai oleh anggota Wings bersama Wings Riders dan AgeTech Riders.
KEMBARA JELAJAH WINGS-AGETECH KE SELATAN – KONSERT WINGS 30 TAHUN: BACK TO 80’S
Hari pertama: 10/12/2015
Konvoi dilepaskan dari perkarangan ibu pejabat JW Innovative Trade, pemilik jenama AgeTech di Dataran Pandan Prima, Kuala Lumpur kira-kira jam 10.30 pagi oleh Joe, Eddie & Black Wings.
Konvoi bermotor yang diketuai oleh Awie Wings disertai oleh kira-kira 30 buah motor berkuasa tinggi Harley Davidson gabungan Wings Riders dan AgeTech Riders serta 4 buah kenderaan pacuan 4 roda. Turut serta dalam konvoi bermotor adalah pemilik AgeTech, Dato; Shahrul Nizad, CEO AgeTech Dr. Rizal Ridzuan dan Pengarah Urusan AgeTech, Puan Mastura Ramli. Destinasi pertama persinggahan adalah di Palm Mall Seremban untuk acara sesi beramah mesra bersama peminat.
Konvoi kemudian bergerak ke Tampin untuk sesi bertemu peminat yang seterusnya. Konvoi disambut oleh Bikers dari Melaka di Plaza Tol Simpang Empat sebelum bergerak ke Diba Kitchen. Sesi bertemu peminat berjalan dengan lancar walaupun konvoi bermotor kebasahan ketika di Seremban akibat hujan.
Sesi terakhir pada hari ini adalah di Melaka di mana sesi bertemu peminat diadakan oleh stokis AgeTech di Taman Semabok Perdana, Melaka. Konvoi disambut meriah dan dimeriahkan oleh persembahan silap mata! Konvoi akhirnya berhenti untuk berehat dan bermalam di Melaka.
Hari kedua: 11/12/2015
Konvoi bergerak selepas makan tengahari yang ditaja oleh Hotel Prima. Destinasi pertama untuk hari ini adalah Muar. Sesi bertemu peminat sepatutnya diadakan di Dataran Tanjung Emas namun kerana hujan lebat memaksa destinasi diubah ke Kedai Kopi 434. Konvoi juga turut disertai oleh krew Melodi TV3 bermula di sini.
Setelah selesai sesi bertemu peminat di Muar, konvoi mula bergerak ke Batu Pahat diiringi kelab bermotor Batu Pahat. Destinasi bertemu peminat adalah di Ramli Corner, Batu Pahat Walk. Sesi berjalan dengan meriah kerana selain bertemu peminat, jualan barangan cenderahati Wings dan juga tiket konsert juga menerima sambutan yang menggalakkan. Konvoi kemudian bergerak ke destinasi terakhir untuk hari ini.
Destinasi terakhir untuk hari ini adalah di stokis AgeTech di Taman Sri Kluang, Kluang. Seperti biasa, sambutan yang diberikan oleh penduduk sekitar sangat meriah. Walaupun kebasahan akibat hujan sepanjang perjalanan ke Muar petang tadi, namun Awie tetap tidak menghampakan peminat yang datang untuk meminta tandatangan dan juga bergambar. Konvoi kemudian bergerak ke Bandar Kluang untuk berehat dan bermalam.
Hari ketiga: 12/12/2015
Konvoi mula bergerak ke Kota Tinggi untuk menyambung sesi jelajah kembara Wings-AgeTech ini. Destinasi yang dituju, Kip Mart Kota Tinggi. Konvoi disambut oleh pegawai dan timbalan pegawai daerah Kota Tinggi dan juga Yang DiPertua Majlis Daerah Kota Tinggi (YDP MDKT).
Di sini Awie juga berkesempatan merasmikan ‘Bingit Bike Fest’, sebuah acara bermotor yang bakal diadakan pada 29 April – 1 Mei 2016 oleh Kota Tinggi Bikers MD di mana YDP MDKT juga penaung bagi kelab bermotor tersebut.
Konvoi kemudian bergerak ke Pasir Gudang untuk sesi bertemu peminat di stokis AgeTech di Bandar Sri Alam, Masai. Konvoi ini selain daripada mempromosikan konsert Wings 30 Tahun yang bakal diadakan di Padang B, Plaza Angsana ia turut mempromosikan jenama AgeTech disamping menawarkan peluang untuk menjadi stokis AgeTech di setiap lokasi persinggahan.
Konvoi kemudian terus ke Plaza Angsana untuk sesi bertemu peminat di Chamek Kopitiam. Anggota Wings yang lain sudahpun menunggu rombongan bermotor tiba dan terus bergabung untuk sesi temuramah bersama media dan seterusnya sesi bertemu peminat. Sambutan yang diterima oleh Wings di Plaza Angsana amat menggalakkan. Jualan tiket konsert juga laris bagaikan pisang goreng panas!
Konvoi kemudiannya ke destinasi terakhir pada hari ini iaitu ke stokis AgeTech di UDA Business Center. Rombongan kemudiannya balik ke hotel untuk bermalam.
Hari Keempat: 13/12/2015
Konvoi dilepaskan di perkarangan hotel New York pada jam 12 tengahari untuk ke Singapura. Konvoi disambut oleh ‘marshall’ dari Harley Davidson Singapura di kompleks imigresen Woodlands sebelum dibawa ke Hard Rock Café Singapura untuk sidang media bersama media tempatan.
Selepas itu konvoi bermotor dan kumpulan Wings serta CEO dan Pengarah Urusan AgeTech terus ke restoran Charisma D’ Venue untuk sesi minum petang bersama-sama peminat Singapura. Konvoi akhirnya bergerak balik untuk sesi terakhir bertemu peminat di De Kayu Manis Café di Nong Chik Height, Johor Bahru.
Disediakan oleh: Sayap-Sayap Wings.